Seronok saya melihat gelagat Hanan menggoyang-goyangkan badan ke kiri dan ke kanan berulang-ulang ketika mendengar dendangan lagu daripada kumpulan Rabbani. Lucu dan geli hati pun ada. Memang sejak dari awal saya bercadang hendak membawa Anfaal menonton Konsert Kembara Sufi di UTP. Hanan pula tinggal saja dengan baba di rumah supaya boleh tidur awal. Namun lain pula ceritanya yang terjadi. Sebaik kami hendak keluar rumah, Hanan sibuk menangis hendak ikut sama. Akhirnya saya bawa juga Hanan pergi sekali walaupun tahu risikonya jika Hanan tidur nanti jauh hendak mendukung dia ke kereta (dan itulah yang berlaku..masyaAllah! kebas tangan mama dibuatnya!)
Kumpulan Rabbani
Niat saya membawa anak-anak menonton konsert tiada lain cuma untuk mendedahkan mereka kepada bentuk hiburan sebenar yang diharuskan dalam Islam. Ada sebabnya kenapa saya melarang mereka menyanyi lagu-lagu pop yang mengarut itu dan kenapa pula lagu-lagu yang ini boleh? Biar mereka tahu bahawa tidak salah untuk berhibur cuma biarlah kena pada tempatnya. Lagipun sudah menjadi fitrah manusia sukakan hiburan dan Islam tidak pernah bersifat jumud sehingga menyekat fitrah dan naluri insan normal.
Saya sendiri juga rindu hendak menyaksikan persembahan nasyid secara langsung daripada kumpulan Rabbani yang sering membuat persembahan semasa di UKM dahulu. Memang ketara kelunakan suara Allahyarham Ustaz Asri begitu dirindui semua peminat nasyid. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Persembahan Azhan Atan dan kumpulan Shoutul Harakah juga tidak kurang hebat. Mantap sekali. Paling penting mereka bukan sekadar bernasyid untuk menghiburkan orang tetapi mesej dakwah yang ingin disampaikan lebih utama. 'Bingkai Kehidupan', 'Mana Milik Kita' dan lagu untuk saudara-saudara kita di Palestin (tidak ingat tajuk sebenarnya) adalah tiga buah lagu yang paling mengusik jiwa saya pada malam itu. Masih terngiang-ngiang lagi bait-bait liriknya di telinga saya.
Azhan Atan