Sunday, December 20

Yang Dekat Di Hati


"Marilah dik..sepuluh ringgit saja satu pusingan" pelawa pakcik beca itu. "Tak apa ke pakcik? Kami ni berat..kesian pula nanti pakcik nak bawa kami" beritahu suami saya sambil kami tersenyum-senyum pada pakcik beca. "Alah bisa tegal biasa dik.." tambah pakcik beca. "Tak apa, adik pergilah jalan-jalan dulu ambil gambar. Sekejap lagi datang." Kami sekadar menggangguk tanda setuju. Lagipun semua beca yang pada awalnya diparkir di tepi jalan itu semuanya telah dinaiki pelancong dalam kami sibuk tawar-menawar tadi. Nampaknya seperti pakcik itu merupakan pengurus kepada perjalanan sewa beca di kawasan tersebut. Dia tidak mengayuh beca. Cuma menguruskan tawar-menawar dengan pelancong atau bakal penumpang beca sahaja. Jika ada yang berkenan menaiki beca maka pengayuh-pengayuh beca pun dipanggilnya. 




Kami mengambil kesempatan melihat model-model keretapi dan replika kereta lembu yang ada sementara menunggu beca kosong tiba. Negeri Hang Tuah sememangnya tidak asing bagi saya kerana ayah kandung saya adalah anak jati negeri ini. Cuma setelah bertahun-tahun tidak singgah di sini keadaannya sudah jauh berbeza. Saya masih ingat, dahulu Dataran Pahlawan merupakan sebuah padang yang luas, tempat orang menaiki kereta lembu. Sekarang tiada lagi kereta lembu. Yang ada cuma replikanya sahaja. Kota A' Famosa juga sudah tampak begitu kerdil. Bangunan pusat membeli-belah yang gah berdiri telah menenggelamkan tarikan asal  bandaraya tinggalan Parameswara itu. Kami hampir-hampir tidak perasan di mana duduk sebenarnya Kota A' Famosa sekiranya tidak menaiki Menara Taming Sari pada awalnya tadi. 

Selepas agak lama menunggu, beca kami akhirnya tiba. Kami memilih menaiki dua buah beca. Takut nanti tidak terkayuh pula pakcik beca itu kalau kami berempat menaiki satu beca sahaja:) Saya seronok mendengar cerita Pakcik Osman yang mengayuh beca yang membawa saya dan Anfaal. "Yang ini muzium..yang itu mahkamah..Kalau adik nak bezakan bangunan tinggalan Portugis yang berbatu-bata, orang Belanda pulak yang berwarna merah dan kalau 'orang putih' bangunan tinggalannya berwarna putih tu" jelas Pakcik Osman dengan panjang lebar ibarat pemandu pelancong. Pemilik-pemilik beca di situ memang sangat kreatif. Setiap beca dihias indah sekali. Beca Pakcik Osman yang kami naiki siap dipasang pemain cakera padat yang memainkan lagu Hindustan. Saya terasa seolah-olah seperti pengantin yang sedang diarak pula. 




  Melaka alaf baru. Pemandangan dari atas Menara Taming Sari.




Melaka, memang dekat di hati saya. Bukan hanya disebabkan ia adalah tanah asal nenek moyang saya tetapi kerana nilai negeri itu sendiri yang mewah dengan sejarah dan pelbagai tarikan.


 

Thursday, December 17

Beradu Di Atas Ombak

"Di sana tu! Itulah tempatnya" Kami masing-masing melihat ke arah yang ditunjukkan nun jauh ke tengah laut. "Tak bahaya ke untuk budak-budak ni?" soal saya ragu-ragu. "Kena perhatikan betul-betul lah, tak boleh leka. Kalau tidak, boleh terjatuh ke dalam laut." Selepas mengambil sedikit masa untuk berbincang maka akhirnya kami semua bersetuju untuk bermalam di atas rumah rakit itu. Ini kali pertama seisi keluarga mertua saya pergi bercuti bersama-sama. Perancangan oleh ibu mertua saya pada asalnya sedikit berbeza namun alhamdulillah terlaksana juga.


Percutian di atas rumah rakit di Tanjung Buai tempoh hari menyedarkan saya. Sebenarnya terdapat begitu banyak lagi destinasi atau perkara menarik di negara kita ini yang masih belum diterokai oleh warganya sendiri. Pertama kali saya merasakan pengalaman tinggal semalaman di atas rakit. Adakalanya terasa juga sedikit pening kepala ketika gelombang yang kuat tetapi ia ternyata pengalaman baru yang menyeronokkan walaupun kadang-kadang terhoyong-hayang juga dibuatnya.


Melayan karenah Anfaal, Hanan dan Aiman sepupu mereka.


Kemudahan yang disediakan cukup selesa. Bilik tidur dilengkapi dengan kipas angin atau penghawa dingin dan televisyen. Kemudian terdapat bilik air, tempat barbeku, dapur, ruang makan, dan surau. Semua peralatan elektrik menggunakan kuasa generator. Kalau hendak mendapatkan apa-apa keperluan pun tiada masalah kerana bot sentiasa bersedia untuk ke daratan. Tiada caj tambahan yang dikenakan kerana ia termasuk dalam bayaran sewa rakit.

Aktiviti barbeku bersama dan memancing di atas rakit dapat mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan. Menikmati hidangan makanan laut yang segar sambil disapa bayu laut dan dipayungi langit beribu bintang amat menyenangkan. Subhanallah..betapa banyak nikmat yang Allah berikan untuk kita nikmati, hargai dan syukuri. Pertama kali juga bagi saya makan telur belangkas. Rasanya pelik namun setelah lama dikunyah rasanya bertukar agak lemak seperti kacang hijau.



Telur belangkas bakar.

Kami pulang keesokan harinya berbekalkan sekotak ikan kerapu dan siakap, ketam serta belangkas segar dari sangkar di rumah rakit. Tidak lupa, kenangan manis beradu di atas ombak laut Cina Selatan di Tanjung Buai yang sememangnya seakan membuai-buai.






"Maka nikmat Rab (Tuhan) kamu yang manakah yang kamu dustakan?" (Surah Ar-Rahman)

Wednesday, December 16

Surah Al-Fatihah dan Yaasin Buat Atuk

Panggilan telefon daripada Pak Uteh sedikit mengejutkan saya. Sudah lama bapa saudara saya ini tidak menghubungi saya kecuali ada hal-hal tertentu sahaja. Hati saya berdebar-debar. Entah mengapa saya dapat merasakan sesuatu. "Atuk dah nazak. Sekarang ni di hospital" beritahu Pak Uteh dicorong telefon. Seakan ditakdirkanNya, saya dan keluarga memang berada tidak jauh dari Hospital Melaka waktu itu kerana berhenti rehat dalam perjalanan pulang selepas bercuti di Kota Tinggi, Johor. Kami sekeluarga bergegas ke lokasi yang dimaksudkan. Hati saya sebak sebaik melihat atuk terlantar di atas katil dalam keadaan yang amat uzur. Sudah 'nyawa-nyawa ikan' bak kata orang. Pernafasan atuk sekadar berbantukan mesin. Mata atuk tertutup rapat, mulutnya pula sedikit terbuka. Kaki kanan atuk rupa-rupanya baru sahaja seminggu diamputasi sehingga paras lutut akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya sudah semakin serius. Tangan kiri juga sudah mula membengkak kesan penyakit itu. Saya sempat mengusap dahi atuk dan membisikkan kalimah syahadah di telinganya. Waktu itu air mata saya tidak dapat dibendung lagi. Sedih dan gementar membayangkan sakaratul maut yang sedang dilalui oleh atuk ketika itu. Selepas berbincang dengan doktor yang merawat, akhirnya keputusan dibuat supaya atuk dibawa pulang ke rumah. Atuk menghembuskan nafas terakhirnya sebaik mesin sokongan pernafasan dibuka lewat petang itu disisi isteri tercinta, semua anaknya, cucu-cucu, cicit-cicit juga sanak saudara pada usia 82 tahun.

Kali terakhir saya bertemu atuk ialah pada Aidilfitri yang lalu. Waktu itupun kesihatan atuk sudah semakin merosot dan ibu jari kaki kanannya baru saja diamputasi namun atuk masih mampu bergurau. Kini, tiada lagi atuk yang selalu menghubungi saya bertanyakan bila saya hendak pulang ke kampung di Tg Minyak? Tiada lagi atuk yang selalu cuba berusaha merapatkan hubungan saya dan adik dengan ayah yang telah meninggalkan kami sejak kecil. Tiada lagi atuk saya yang tidak pernah melupakan saya walaupun cucunya ini selalu tidak ingat akan satu-satunya datuknya yang masih ada sebelum ini. Hanya surah al-Fatihah dan Yaasin buat mengiringi Allahyarham atuk yang sangat saya sayangi. Semoga atuk tenang di sana dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman..amin.


Thursday, December 3

Ke Kuala Kangsar

Kami sekeluarga akan bertolak ke Kuala Kangsar petang ini. Hujung minggu ini bakal berlangsung majlis Perhimpunan Perwakilan Nasional yang diadakan setiap tahun. Istimewa dan mencabarnya tahun ini kami di Perak menjadi tuan rumah. Berdebar sungguh memikirkan majlis yang bakal bermula esok. Seluruh perwakilan dari segenap ceruk tanahair akan berhimpun di Dewan Kolej Islam Darul Ridzuan yang menjadi lokasi mesyuarat. Waktu ini sememangnya dinanti-nantikan saban tahun kerana ia menjadi medan perjumpaan untuk berkongsi citra dan mengukuhkan idealisme perjuangan dakwah. Buat semua ikhwah akhawat yang bakal ke mari didoakan mudah-mudahan selamat pergi dan pulang. Diucapkan selamat datang ke Peghak buat kome semua. Semoga majlis perhimpunan kita akan berjalan dengan lancar dan jayanya..ameen.


Wednesday, December 2

Berita Baik


Mungkin bagi orang lain hal ini bukanlah perkara besar. Saya baru mendapat maklumat yang Malaysia telah menghasilkan keju buatan Muslim yang halal lagi toyyib. Maklumat ini saya perolehi daripada majalah Anis edisi Disember yang turut memaparkan resepi-resepi menarik dan mudah berasaskan keju. Sebenarnya saya bukanlah suka sangat makan keju. Kalau sudah lidah belacan dan tempoyak tetaplah seleranya begitu. Cuma sekali sekala teringin hendak masak kek keju atau makanan yang ada keju. Dengan adanya keju berjenama D'Qisra Tja Cheez ini masyarakat Islam tidak perlu rasa ragu-ragu lagi untuk membeli keju. Cuma buat masa ini pasaran keju Tja ini tidaklah seperti jenama keju lain seperti Cheesdale yang mudah didapati di mana-mana pasaraya. Namun tidak mustahil jenama ini mampu berada sebaris dengan jenama keju yang sedia ada jika kita pengguna Islam memberikan sokongan padu.

Apa yang lebih membanggakan saya ialah teknologi ini dipelopori oleh orang Islam. Setelah meneliti laman web D'Qisra barulah saya tahu rupa-rupanya ladang keju ini terletak di negeri kelahiran saya sendiri. Kalau berkesempatan nanti bolehlah singgah di Janda Baik untuk melihat sendiri proses keju ini dihasilkan.