Thursday, March 18

Pandainya Budak Ini!

"Wahh..pandainya budak ni." Itu reaksi pertama saya ketika membaca sebuah laman web  tentang seorang kanak-kanak perempuan di Amerika yang baru berumur sepuluh tahun tetapi sudah bergelar pereka fesyen yang sebenar. Bukan yang main-main lukis atas kertas sahaja seperti ketika saya kanak-kanak dahulu. 

Cecilia Cassini nama budak perempuan ini dan produk-produk pakaian yang dikeluarkannya juga turut menggunakan jenama yang sama. Ketika budak perempuan seusia yang lain sibuk bermain anak patung dan mengulum gula-gula, dia pula sibuk menjahit dan lebih tertarik ke kedai fabrik. Pastinya budak ini seorang yang genius dan istimewa. Menurut laman yang saya baca itu, Cecilia mula menunjukkan minat terhadap fesyen dan jahitan sejak berusia 3 tahun dan mula belajar menjahit sejak umurnya 6 tahun selepas neneknya menghadiahkannya sebuah mesin jahit. 

Saya yakin kita di Malaysia ini pasti berasa pelik sekiranya tiba-tiba ada anak-anak kita yang berusia empat lima tahun hendak belajar menjahit..pastinya budak itu akan dimarahi dan disuruh belajar buku bacaan tadika ataupun disuruh mengaji Iqra' agaknya..Hendak dekat dengan mesin jahit pun dilarang apatah lagi memegang jarum yang tajam. Iyalah, sistem pendidikan negara kita adalah berasaskan peperiksaan dan tidak meraikan kanak-kanak atau individu yang mempunyai kelebihan yang bukan bersifat akademik. Hakikatnya, kecerdasan dan kepintaran itu hadir dalam bentuk yang pelbagai. Kurniaan Allah terhadap seseorang itu juga bukankah berbeza?




Wednesday, March 17

Rehlah Keluarga Humaira'

Sudah berminggu-minggu tidak menitiskan tinta di sini. Terasa rindu sekali hendak mencatat sesuatu tetapi ada saja halangan. Ada blog sendiri suatu perkara, hendak memastikan ia sentiasa dikemaskini suatu perkara lain pula..

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Riang sekali ahli-ahli keluarga Humaira' apabila kami tiba di kawasan rekreasi Gunung Lang pagi hujung minggu lalu. Manakan tidak, suasana di kawasan itu begitu privasi. Hijau, tenang, pemandangan yang indah dan yang penting tiada orang yang melihat ketika mereka bermain alat-alat permainan kanak-kanak di taman itu:). Kesemua kami adalah pertama kali sampai ke kawasan rekreasi itu dan ternyata kunjungan kami tidak menghampakan. Kawasan rekreasi ini terletak di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh. Untuk ke seberang tasik, pengunjung perlu menaiki bot dengan tambang RM3 sahaja. 
Rehlah yang telah dirancang 2 minggu lebih awal ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara ahli-ahli keluarga Humaira'. Kita tidak akan kenal peribadi sebenar sahabat kita selagi kita belum makan, bermalam dan berjaulah bersama-sama. Jadi, aktiviti rehlah ini adalah sebagai salah satu cara berta'aruf.

Selepas menikmati sandwich 'air tangan' Jannah dan Fatin serta mihun goreng Fasha, masing-masing mengambil kesempatan bersiar-siar melihat keindahan flora dan fauna di Gunung Lang. Burung unta, sang kancil dan arnab antara haiwan yang dipelihara di situ selain daripada monyet-monyet liar dan anjing kurus yang kelaparan. Ketika sang mentari hampir tertegak di atas kepala, tetamu merangkap penyampai tazkirah jemputan yang ditunggu-tunggu pun tiba. Alhamdulillah, keluarga Humaira' pulang dari Gunung Lang tengahari itu selepas menjalani rekreasi fizikal dan spiritual.    


 
Santai namun tekun mendengar tazkirah daripada Makcik Yatty.



 
Lapan daripada sembilan ahli keluarga Humaira'.
Zur, Fara, Fasha, Jannah, Shara, Fatin, Aimuni, Huda dan Nazirah yang sedang berjuang menghadapi dugaan  Hodgkin lymphoma.
InsyaAllah kalian sentiasa berada di dalam hati dan doa saya.



Saturday, February 6

Beberapa Perkara

Sedar tidak sedar sudah melangkah ke bulan kedua kita dalam tahun ini. Begitu cepatnya masa berlalu. Hampir dua bulan setelah pembedahan lutut kiri saya. Alhamdulillah, keadaan semakin baik tetapi ia perlu masa sekurang-kurangnya tiga bulan lagi untuk pulih sepenuhnya. Ubat yang mesti diambil 2 biji sehari pun ada 2 kotak lagi. Kadangkala saya terlepas juga makan ubat tersebut. Apabila semester akademik bermula bermakna ia waktu marathon bagi semua perkara. Adakala terasa, ya Allah..berikan saya waktu rehat sebentar untuk menghela nafas dan menyantuni diri sendiri. Beratnya tanggungjawab menjadi isteri dan ibu lebih-lebih lagi pada zaman ini. 

Beberapa perkara mengganggu emosi saya dalam sebulan dua ini. Anfaal dan Hanan yang semakin membesar semakin banyak keletah dan eksperimennya. Tiga minggu pertama sesi pra-sekolah  tahun ini, Anfaal hadapi masalah menyesuaikan diri dengan guru-guru dan rakan-rakan baru di tadikanya. Jenuh juga saya dan babanya memujuk. Susah hati juga kami memikirkan hal tersebut. Alhamdulillah setelah pelbagai pendekatan digunakan sekarang Anfaal sudah ok, seronok ke tadika dan bersemangat untuk belajar. 

Minggu lalu saya mendapat berita buruk tentang pelajar yang juga merupakan anak usrah saya. Beliau telah disahkan menghidap kanser hodgkin lymphoma. Kasihan dan simpati pada keadaannya yang terpaksa menangguh pengajian kerana perlu mengikuti sesi kimoterapi. Ibarat cubit peha kiri, peha kanan juga terasa sakitnya. Saya akan sentiasa mendoakan dirinya agar kuat menghadapi ujian ini dan sembuh seperti sediakala insyaAllah. Setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada sebab dan hikmahnya. Beliau  telah dipilih oleh Allah dan Allah tidak pernah menganiaya hamba-Nya.     





Wednesday, January 6

Memberi Untuk Menerima



Ketika di hospital tempoh hari saya habiskan banyak masa dengan membaca. Mungkin itu antara hikmahnya kerana sebelum ini saya selalu berharap agar saya punya masa yang lebih panjang untuk membaca. Rutin harian yang dipenuhi pelbagai tuntutan menyebabkan saya jarang dapat menghabiskan masa yang panjang untuk membaca. Dua naskah  majalah, dua buah buku dan dua naskah akhbar telah saya baca dari kulit ke kulit sepanjang berada di wad. Seronoknya dapat membaca secara berterusan tanpa gangguan.

Topik utama "Hidup Untuk Memberi" dalam majalah Solusi yang saya baca mengetuk minda saya supaya pada tahun baru ini saya lebih banyak memberi daripada menerima. Mengambil iktibar daripada kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w yang sentiasa memberi bukan sahaja sewaktu senang malah sewaktu Baginda susah membuatkan saya terasa malu dengan diri sendiri. Iyalah, pada zaman dahulu, Baginda cuma makan roti, tamar dan tidur pula di atas tanah tetapi  Baginda tidak putus-putus memberi. Diriwayatkan bahawa pemurahnya sifat Rasulullah menyumbang kebajikan lebih kencang daripada angin yang kencang. Sedangkan kita pula pada zaman ini dapat makan yang sedap-sedap sehingga membazir dan tidur di atas tilam yang empuk namun masih berat tangan untuk memberi. Alangkah bahagianya dunia ini jika semua insan lebih pentingkan bagaimana untuk memberi berbanding bagaimana untuk mendapatkan. 

"We are here to complete not to compete"
"What you give you get back"
"No man becomes rich unless he enriches others"
"We make a living by what we get but we make a life by what we give"

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Allah berfirman, 'Berinfaklah, nescaya Aku akan memberi nafkah kepadamu.' Rasulullah kemudian berkata, "Tangan Allah sentiasa berisi penuh dan tidak akan pernah habis meskipun dinafkahkan siang dan malam. Apakah kalian mengetahui apa yang telah dinafkahkan oleh Allah sejak Dia menciptakan langit dan bumi? Sesungguhnya apa yang ada di tangan-Nya tidak akan pernah habis. Singgahsana-Nya ada di atas air, dan di tangan-Nya ada timbangan.'"

(Riwayat al-Bukhari)