Wednesday, February 25

Yang Diidamkan..

"Seronoknya! Alhamdulillah." Saya sedikit menjerit di dalam hati. Itulah reaksi saya tatkala kedua-dua buah buku ini mula-mula berada di tangan. Memang sudah lama saya idamkan untuk memilikinya..syukur hasrat saya termakbul jua. Buku 'bestseller' tulisan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni itu sebelum ini cuma saya baca di perpustakaan kolej dan dalam versi yang berbeza. Rezeki saya, mama naqibah saya telah menghadiahkannya sebagai tanda perpisahan.


Manakala buku Cinta di Rumah Hasan Al Banna yang juga buku 'bestseller' itu telah lama saya cari di kedai-kedai buku namun tidak berhasil. Sekadar terjumpa di laman web dan dijual pula oleh penerbit dari negara seberang. Akhirnya saya berjaya membelinya ketika menghadiri program daurah di Ipoh tempoh hari dalam versi bahasa Melayu bukan bahasa Indonesia. Sekarang masanya untuk saya menghabiskan membaca buku-buku idaman ini pula.

Kenapa buku-buku ini begitu menarik perhatian saya serta ramai hamba Allah di luar sana? Namanya pun sudah 'bestseller', tentu sahaja kandungannya istimewa. Pada pandangan saya perkara-perkara yang terkandung dalam buku La Tahzan kebanyakannya adalah perkara-perkara yang sudah sering didengar atau umumnya sudahpun diketahui. Namun pendekatan Dr. 'Aidh yang menulis dalam bab yang pendek-pendek tetapi penuh bermakna menjadikan ia menarik dan tidak stress sewaktu membacanya. Ia memang pengubat jiwa dan penawar duka.

Buku kedua juga serupa. Terasa lapang membacanya. Ia adalah manual praktikal dalam mendidik anak-anak menjadi generasi soleh wa musleh zaman ini menurut acuan Imam Hasan Al Banna, mujtahid yang tidak asing lagi. Sebelum ini saya cuma kenal atau tahu Imam Hasan Al Banna sebagai murabbi agung yang dikagumi melalui gerakan Ikhwanul Muslimin. Menerusi buku ini saya mengetahui bahawa Imam Banna juga adalah seorang suami dan ayah yang hebat. Beliau begitu prihatin, penyayang dan sangat mementingkan pendidikan anak-anak. Saya tidak hairan jika Rasulullah s.a.w digelar suami atau ayah yang hebat kerana baginda seorang rasul dan bersifat maksum tetapi Hasan Al Banna bukan maksum. Subhanallah, bagi saya beliau seorang insan yang hampir sempurna.

Sekiranya buku Cinta di Rumah Hasan Al Banna ini juga menjadi idaman anda, saya kini membantu menjual buku ini. Harganya cuma RM 13 sahaja, lebih murah daripada belanja makan sehari bagi sesetengah orang. Mudah-mudahan lebih ramai orang yang akan mendapat manfaat daripadanya.

"Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat" (Hadith Rasulullah s.a.w)




No comments: