Seusai bengkel penulisan di UIA petang semalam saya terus bergegas menuju ke stesen LRT Putra yang terdekat kerana tiket bas yang saya beli dijadualkan bertolak pada jam 6.30 petang. Waktu itu jam di tangan sudahpun pukul 5 petang. Mujurlah kak K dan temannya yang juga peserta bengkel sudi menumpangkan saya ke stesen. Teksi yang saya hubungi tidak dapat datang kerana hujan lebat turun mencurah-curah(?). Seronok juga dapat berkenalan dengan kak K dan temannya, kedua-dua mereka berpangkat kapten dalam perkhidmatan tentera darat. Kami berpisah di stesen LRT Putra Setiawangsa dengan azam masing-masing untuk menghasilkan sebuah artikel seperti yang diminta oleh En Zamri Mohamad, pengendali bengkel.
Sudah agak lama saya tidak menggunakan perkhidmatan LRT di KL. Bagi saya, kalau hendak melihat pelbagai gelagat dan ragam manusia di dalam LRTlah tempatnya. Perjalanan selama hampir 35 minit itu sudah cukup membuktikan. Melihat gelagat remaja-remaja di dalam LRT itu sangatlah memualkan. Berasak-asak manusia keluar masuk dengan pelbagai gaya dan fesyen pakaian. Dalam hati saya amat bersyukur kerana tidak perlu lagi bekerja atau menjalani hidup di KL/ Lembah Kelang sejak tahun 2004. Saya tidak yakin dapat membesarkan anak-anak saya sebaiknya di Lembah Kelang dengan kualiti hidup yang semakin merosot dan masuknya pelbagai budaya yang pelik dan jelik. Meskipun pada masa itu saya berasa sangat sayang untuk berpindah kerana di situlah saya mula mendapat tarbiyyah. Memang benarlah apa yang Allah tentukan itu adalah yang terbaik untuk kita walaupun kita mungkin tidak suka.
"..Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk dan barangsiapa yang disesatkan-Nya maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpinpun yang dapat memberi petunjuk kepadanya." (Surah Al-Kahfi: 17)
No comments:
Post a Comment