Wednesday, April 15

Mendekati alam di Taman Negara Pulau Pinang

Ahad lepas saya telah berkesempatan berkunjung ke Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang, Pulau Pinang membawa kumpulan mentee saya. Satu pengalaman baru juga kerana saya telah membawa Hanan bersama dan ini kali pertama Hanan menaiki bas. Hal ini kerana pengasuh Hanan tidak dapat membantu mengasuh pada hari tersebut. Baba juga mempunyai program sekolah di Teluk Batik. Begitulah kalau masing-masing mempunyai banyak tanggungjawab dan amanah yang perlu disempurnakan. Maka, kami telah mengambil keputusan iaitu Anfaal mengikut baba ke Teluk Batik dan Hanan saya bawa bersama ke Taman Negara.

Kami berdua bertolak bersama mentee-mentee saya seramai 15 orang menaiki bas kolej pada awal pagi. Setibanya di Teluk Bahang, saya dan Hanan menaiki bot untuk ke Pantai Kerachut. Sebenarnya untuk ke Pantai Kerachut terdapat dua cara iaitu sama ada menaiki bot atau melalui jalan darat iaitu trekking menyusuri pantai Pasir Pandak, denai Sungai Tukun dan Tasik Meromiktik. Pada awalnya saya juga merancang untuk trekking tetapi mengubah fikiran kerana tidak bersedia membawa Hanan bersama meneroka rimba. Lama juga saya memujuk dan menenangkan Hanan yang takut melihat laut dan mendengar bunyi ombak yang menghempas pantai.

Perkara menarik tentang Taman Negara Pulau Pinang dan lawatan kami:

1. Taman Negara ini merupakan yang terkecil di dunia.

2. Tasik Meromiktik yang terdapat satu-satunya di negara ini
sangat unik kerana mempunyai 2 lapisan; air masin dan air tawar.
3. Pemandangan di Pantai Kerachut amat menarik, bersih dan tidak sesibuk pantai peranginan
biasa. Di situ juga terdapat Pusat Konservasi Penyu, tapak perkhemahan, tempat barbeku, tempat untuk solat, tandas dan bilik air yang selesa dan terjaga.
4. Pada bulan-bulan laut bergelora hanya jalan darat sahaja yang boleh digunakan dan saya dimaklumkan oleh pemandu pelancong kami bahawa kawasan Taman Negara sentiasa dibanjiri oleh pengunjung ketika musim cuti sekolah.

Hanan di ribaan saya di samping kakak-kakak@makcik-makcik iaitu pelajar-pelajar mentee saya.


Hanan sedang bermain jemur-jemur kain.


Berehat sebentar di tepi jeti setelah pening-pening lalat turun dari bot.


Hanan seronok melihat gelagat manusia di bandar Georgetown menerusi tingkap bas. Masih kelihatan parut-parut pasca 'chicken pox' di mukanya.


Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengannya hujan itu buah-buahan yang beranika macam jenisnya. Dan di antara gunung-ganang itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya (dan jenisnya)”.(Surah al-Fathir:27)


No comments: