Monday, April 20

Yang Baik Itu Budi Yang Indah Itu Bahasa

"Minta maaf makcik, ini nombor tempat duduk kami," saya memberitahu makcik dan budak perempuan yang mungkin cucunya. "Tak apa, boleh duduk di mana-mana tempat yang penting kocnya betul." Tindakan makcik itu yang enggan meninggalkan tempat duduk kami disokong pula oleh anaknya yang duduk di tempat duduk rakan sekerja saya Huda. Menantu lelakinya yang tiba sejurus selepas itu membawa tiket-tiket tertulis nombor tempat duduk mereka yang sebenar juga tidak langsung menunjukkan tanda-tanda mahu bertukar tempat duduk. Kami berlalu mencari tempat duduk yang masih kosong di bahagian tengah koc keretapi. Perasaan dalam hati sedikit marah dan terkilan dengan tindakan makcik itu dan keluarganya.

Setibanya kami di stesen Kampar sepasang remaja berbangsa Cina mengakui tiket mereka tertulis nombor tempat duduk yang sedang saya dan Hanan duduki. Saya menjelaskan keadaan yang berlaku dan memohon maaf kepada kedua-duanya. Mujurlah remaja yang lelaki itu fasih berbahasa Melayu dan dapat memahami penerangan saya. Mereka lantas mengambil tempat duduk di belakang kami yang masih kosong. Keadaan agak kelam kabut juga ketika itu kerana susunan tempat duduk yang telah berubah-ubah disebabkan tindakan makcik tadi sekeluarga. Aduhai! Geramnya saya dengan sikap makcik itu tadi dan keluarganya yang telah menyusahkan ramai orang. Syukurlah hati ini masih berbenteng kesabaran. Kalau terkena orang yang panas baran atau kurang sabarnya barulah bertemu buku dengan ruas. Insiden ini menyedarkan saya bahawa kebanyakan peraturan(ada juga peraturan yang bersifat birokrasi dan menyusahkan!) yang dicipta adalah bertujuan untuk melancarkan dan memudahkan kehidupan kita sebenarnya. Sekiranya kita memandang remeh dan tidak ambil kisah maka tanpa kita sedari kita telah menyusahkan orang lain. Contoh lain ialah peraturan di jalan raya seperti tidak boleh memotong di sebelah kiri dan memberi isyarat ketika hendak memasuki simpang.



Insiden yang menyakitkan hati itu sedikit demi sedikit berjaya dilupakan dengan menikmati pemandangan indah melalui tingkap keretapi sambil melayani karenah Hanan. Kami berdua yakni saya dan rakan sekerja saya Huda sedang dalam perjalanan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur mewakili jabatan masing-masing bagi memilih buku untuk perpustakaan kolej. Kami dijadualkan bertemu pembekal buku di sana bersama rakan-rakan yang lain. Hanan saya bawa bersama kerana baba dan Anfaal juga tiada di rumah. Mereka telahpun bertolak menaiki bas untuk pulang ke Kota Tinggi menziarahi yaie, nyai dan keluarga di kampung. Saya sebenarnya sudah lama tidak menaiki keretapi. Kali terakhir ialah pada tujuh atau lapan tahun dahulu. Nampaknya perkhidmatan tren keretapi antarabandar kini sudah semakin baik. Koc superior yang saya naiki kelihatan bersih dan dilengkapi dengan dua televisyen berskrin rata. Tambang satu tempat duduk cuma rm16 sehala. Harga makanan dalam keretapi pula ternyata lebih mahal kerana harga bagi karipap bersaiz biasa ialah rm0.60 sebiji.


Hujung minggu ini buat pertama kalinya Anfaal menaiki bas ekspres dan Hanan menaiki keretapi. Semestinya hal ini merupakan pengalaman baru dan pendidikan yang praktikal buat kedua-dua anak saya dan saya sendiri. Anfaal dan Hanan perlu tahu bahawa terdapat ramai lagi orang di luar sana yang menaiki pelbagai jenis kenderaan awam kerana itu sahaja pilihan yang mereka ada ataupun mereka tidak mampu memiliki kenderaan sendiri. Anfaal dan Hanan juga patut bersyukur kerana alhamdulillah baba dan mama mereka mempunyai kereta sendiri walaupun ia bukanlah kereta mewah untuk membawa mereka ke mana-mana. InsyaAllah selepas ini mungkin baba dan mama akan bawa Anfaal dan Hanan menaiki pesawat pula jika berkesempatan:)

"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Surah Luqman: 18)

No comments: