Thursday, December 30

Projek 'keras tangan' bersama Anfaal dan Hanan

Waktu cuti yang panjang tidak wajar dibiarkan berlalu begitu sahaja. Inilah masa yang paling sesuai untuk beraktiviti bersama anak-anak tersayang. Kalau tidak anak-anak saya, Anfaal dan Hanan pasti akan menghadap televisyen sahaja pada waktu petang bermula daripada siaran 'Wonderpets" jam 2.30 petang sehingga Upin Ipin jam 5.30 petang. Hebat sungguh pengaruh media elektronik terhadap kanak-kanak. Sepertimana yang pernah dikatakan oleh seorang tokoh; "televisyen itu ibarat peluru ajaib". Lebih berbahaya daripada peluru sebenar. Memang tidak silap lagi pendapat tokoh tersebut.


Bagi mengelakkan Anfaal dan Hanan melekat sahaja di hadapan peti elektronik itu maka saya pun mengajak anak-anak saya melakukan aktiviti kraftangan iaitu membuat penanda pintu bilik daripada tanah liat polimer. Proses hendak membuat penanda pintu tidaklah susah pun kerana ia dalam bentuk kit siap yang telah saya beli di sebuah kedai kraftangan. Kedai The Craft Workshop ini saya temui secara kebetulan semasa pulang daripada Hospital Pantai selepas salah satu sesi temujanji saya di sana. Kedai tersebut begitu menarik perhatian dan menjual banyak bahan kraftangan. Pemilik kedai  mencadangkan saya membeli kit tanah liat yang comel berharga RM18.90 itu berdasarkan usia anak-anak saya. Apabila saya tunjukkan sahaja kit tersebut kepada Anfaal dan Hanan, mereka begitu teruja dan tidak sabar-sabar lagi hendak memulakan projek. Kit tanah liat ini memang mudah digunakan oleh kanak-kanak di bawah pengawasan dan bimbingan ibu bapa. Cuma perlu bancuhkan serbuk tanah liat, masukkan ke dalam acuan, tunggu sehingga kering dan warnakan ikut kreativiti, kemudian taburkan "glitter".


Masing-masing sedang tekun mewarna tetapi terpaksa bergilir-gilir sebab berus hanya ada satu.
 


Tadaaa..sudah siap pun penanda pintu bilik Anfaal dan Hanan. Selepas warna dan "glitter" kering sepenuhnya bolehlah tuliskan nama Anfaal dan Hanan menggunakan pen penanda berdakwat kekal.



Tuesday, December 28

Langkawi Yang Mahal

 

Memang sudah lama saya teringin hendak ke Langkawi. Sejak baru lepas mendirikan rumah tangga sehingga kini sudah beranak dua barulah hasrat itu tercapai..alhamdulillah. Seumur hidup saya inilah kali pertama sampai ke sana (kesian saya!). Pergi pula pada masa yang semuanya sudah mahal. Kalau beberapa tahun dahulu harga tiket feri ke Langkawi cuma RM12 tapi sekarang sudah menjangkau RM20. Hendak naik kereta kabel di Gunung Mat Chincang, seorang dewasa dikenakan tiket RM15. Pendek kata semua tempat tarikan pelancong di Langkawi adalah berbayar! Mujurlah bersiar-siar dan mandi di pantai tidak dikenakan bayaran. Kadar sewa hotel dan chalet juga naik melambung-lambung pada musim cuti begini.

Walau bagaimanapun memang tidak dinafikan program cuti-cuti 3 hari 2 malam kami  ke Langkawi memang menyeronokkan. Cuma hajat hendak mengikuti 'island hopping' tidak kesampaian kerana faktor masa yang tidak mengizinkan. Apapun kami berpuas hati sebab boleh dikatakan satu pulau kami sudah pusing. Kalau mahu meneroka semua tempat memanglah tidak sempat. Bagi saya Langkawi memang sebuah lokasi pelancongan yang sangat menarik dan ciptaan Allah yang amat indah tetapi kalau diberi peluang untuk menetap di sana rasanya saya akan berfikir sepuluh kali terlebih dahulu. Melancong ke sana beberapa hari mungkin seronok tetapi untuk 'terperap' di sebuah pulau untuk bertahun-tahun lamanya...hmm, itu memang bukan saya. 
Bermain pasir di Pantai Cenang.

Wildlife Park - salah sebuah tempat yang saya syorkan sesuai untuk bawa anak-anak kecil.
Seram dan gayat juga menaiki kereta kabel. Kami naik bersama sepasang pelancong dari Peghancis.


 Anfaal dan Hanan di hadapan chalet tempat kami menginap - Desa Motel di Pantai Cenang. Terima kasih kepada pemiliknya kerana menyediakan tempat yang sangat selesa dan berpatutan.



Thursday, October 21

ETS, pantas tetapi...

Penat baru pulang daripada berkursus di Jawi hujung minggu lalu belum pun  hilang. Pulang bekerja keesokan harinya dimaklumkan yang saya perlu menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur pula. Allah! Saya hanya mampu mengeluh tetapi akur juga kerana sudah tugas dan amanah. Dalam pada itu saya turut teruja sebab inilah peluang untuk mencuba perkhidmatan ETS (Electric-Train-Set) yang menjadi bualan orang sekarang ini. Tiketnya boleh tahan..boleh tahan mahalnya seperti yang diperkatakan. Saya memilih tren pada waktu pagi buta jam 4.10 pagi dari Batu Gajah ke KL Sentral. Ternyata ETS memang menepati waktu dan bergerak lebih laju daripada tren biasa. Cuma bagi saya kurang sedap mata memandang kerana petugas-petugas wanita yang berperanan sebagai pramugari di dalam tren berpakaian ketat dan tidak menutup aurat. Saya tertanya-tanya di dalam hati, imej apakah yang hendak ditonjolkan oleh pengurusan ETS dengan uniform yang sebegitu rupa? Saya yakin tidak ada ruginya jika pengurusan ETS mensyaratkan semua petugas wanita Islam berpakaian sopan dan menutup aurat.  Semasa perjalanan pulang juga tidak ada beza. Bahkan agak teruk kerana laluan ke platform ETS di stesen KL Sentral tidak dibuka sedangkan tren sudahpun tiba. Akibatnya ada penumpang yang nyaris-nyaris terlepas menaiki tren. Tidak pasti kebenarannya tetapi berdasarkan pemerhatian saya seakan ada konflik pula antara staf pengurusan tren KTM biasa dengan staf tren ETS. Mungkin itu hanya pandangan peribadi saya namun mengambil kira faktor perkhidmatan ETS yang masih baru beroperasi maka kekurangan itu bolehlah dimaafkan dengan harapan ia akan semakin dipertingkatkan seiring berlalunya masa.

Friday, September 10

Thursday, September 9

Ziarah Ke Rumah Nurkasih

Ramadhan kali ini terasa cepat sekali berlalu. Rasanya tiap-tiap tahun pun begitu tapi kali ini memang amat terasa. Mungkin sebab usia alam ini juga sudah hampir sampai ke penghujungnya. Masa yang berlalu dirasakan bagai air sungai yang mengalir. Alhamdulillah keluarga Salsabila diberi kesempatan memanfaatkan madrasah Ramadhan kali ini dengan berziarah ke rumah anak-anak yatim dan miskin Nurkasih Bestari di Bota. Merapati anak-anak di rumah tersebut membuatkan kita memuhasabah diri bahawa kehidupan kita ini sebenarnya begitu selesa. Di samping itu kami dapat juga berkenalan dengan beberapa orang teman baru yang terdiri daripada orang perseorangan yang prihatin akan nasib anak-anak di situ. Semoga lebih ramai insan-insan
yang bermurah hati hadir menghulurkan bantuan meskipun selepas Ramadhan berlalu pergi. 

Seronoknya adik-adik ni dapat baju baru!