Sunday, May 31

Menyambut Kelahiran Hitam, Putih dan Kelabu

Mentari pagi masih belum menampakkan dirinya. Saya terpisat-pisat bangkit daripada tidur. Ada bunyi aneh yang kedengaran dari arah dapur. Bilik hadapan saya jenguk. Kelihatan baba sedang menunaikan fardhu Subuh. Saya lantas melangkah ke arah dapur. Sah! Bunyi itu datang dari arah luar rumah. Perlahan-lahan tingkap dapur saya buka. Mata saya yang masih kabur-kabur terus saja membulat..Subhanallah! Saya cepat-cepat memanggil baba yang baru selesai memberikan salam yang kedua. "Bang..cepat! Arnab kita dah bersalin!" Rupa-rupanya bunyi yang saya dengar tadi adalah bunyi salah seekor makhluk kecil itu menjerit kerana dipijak si bapa iaitu arnab jantan si Bubu. Mungkin si bapa terkejut dan 'nervous' agaknya.

Sebaik pintu dapur dikuak kelihatan bayi-bayi yang masih merah. Salah seekor daripadanya telahpun berada di atas lantai, bolos dari kandang. Cepat-cepat baba kutip dan letak di dalam besen kecil dialas dengan kain. "Yang mana satu ibunya? Si Koko atau si Hitam?" Kalut juga kami suami isteri menguruskan kelahiran baru tersebut. Almaklumlah kelahiran sulung, kembar tiga pula. Anfaal dan Hanan pun bukan main seronok sebaik terbangun dek kekecohan mama dan babanya. "Anfaal tak nak pergi sekolah tadika hari ni..nak tolong mama jaga baby arnab" Sibuk dua orang anak kecil hendak menjadi jururawat si arnab. Alhamdulillah, arnab-arnab yang kami pelihara sejak enam bulan lepas kini sudah melahirkan generasi keduanya; si Hitam, si Putih dan si Kelabu.

Tuesday, May 26

Untungnya Ada Anak Perempuan

Artikel berikut saya terima dalam 'inbox' mel elektronik saya. Sangat menarik untuk dikongsikan dan direnungkan bersama terutama bagi insan seperti saya yang ditakdirkan masih belum dikurniakan anak lelaki.


Masih ingat lagi tentang masyarakat Jahiliyah yang kita belajar satu ketika dahulu? Dalam
masyarakat Jahiliyah, memperoleh anak perempuan merupakan satu musibah kepada keluarga tersebut. Apa tidaknya, pada waktu itu anak perempuan dianggap hanya mendatangkan sial dan memalukan keluarga. Lantaran itu, ramai ibu bapa yang merasa terhina dengan anugerah ini, bahkan sehingga ada yang sanggup membunuh dan menanam hidup-hidup demi menjaga maruah keluarga.

Malangnya, pemikiran orang-orang zaman sekarang pun masih sama seperti mereka pada zaman Jahiliyah dahulu. Pernah saya mendengar perbualan seorang bapa bertanyakan jantina bayi yang baru dilahirkan oleh isterinya di wad bersalin. Setelah dimaklumkan jururawat bertugas yang si bapa dikurniakan bayi perempuan, saya terdengar nada suaranya sedikit mengeluh, "Oh.. perempuan lagi..." Saya yang mendengar, sedikit terkilan, seolah-olah si bapa kecewa dengan anugerah Allah SWT.

Saya juga pernah menonton video kelahiran seorang bayi perempuan yang rupa parasnya menyerupai ular. Kononnya ibu yang melahirkan bayi tersebut amat-amat berkehendakkan bayi lelaki kerana telah memiliki 2 atau 3 orang anak perempuan sebelum kelahiran anak tersebut. Semasa membuat pemeriksaan kandungan, doktor telah memaklumkan yang si ibu mengandungkan bayi perempuan dan berita itu sangat mengecewakannya. Apabila rakan-rakan bertanya jantina bayi yang dikandung, si ibu terus menjawab yang dia sedang mengandungkan anak ular. Subhanallah! Apabila tiba saat kelahiran, memang si ibu telah melahirkan seorang bayi perempuan yang menyerupai ular. Saya kurrang pasti kesahihan berita ini, tetapi menurut video yang ditonton, peristiwa ini terjadi di negara Timur Tengah.

Pada zaman ini, menjaga anak perempuan terutamanya pada peringkat usia remaja merupakan satu cabaran yang besar buat ibu bapa. Banyak gejala negatif yang melanda kehidupan anak gadis masa kini, menjadikan kita semakin bimbang dengan keselamatan diri mereka. Apakah benar kehadiran dan kurniaan ini menjadi bebanan pada ibu bapa? Atau cabaran kepada ibu dan bapanya? Satu ketika dahulu, kita sukar melihat anak-anak gadis berjalan-jalan di pekan kecil atau pun di kota besar. Saya masih ingat, ayah sering menemani ke mana saja saya pergi, boleh dikatakan ayahlah 'body guard' dan ayah jugalah 'chauffeur' ke mana saja saya pergi. Memang agak sukar untuk kita terserempak dengan remaja perempuan berpimpinan tangan di bandar-bandar, di pusat membeli-belah atau di mana sahaja. Kini, yang bertudung tanpa segan silu mempersendakan tuntutan agama sekaligus mempersendakan perintah Allah Taala. Yang tidak bertudung pula, sama sahaja… tiada yang kurang dan tiada yang lebih. Berani lakukan apa sahaja demi mengikut jiwa remajanya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan karenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka." Seorang lelaki bertanya, "Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?" Sabda baginda, "Juga untuk dua anak perempuan." Seorang lelaki berkata, "atau untuk seorang wahai Rasulullah?" Rasulullah SAW menjawab, "Juga untuk seorang." (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara saudara perempuan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah r.a., dari Rasulullah SAW baginda telah bersabda yang maksudnya, "Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Sesungguhnya perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka. Daripada hadis-hadis di atas, dapat kita pelajari bahawa kedua ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.
Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud, "Takutlah kamu kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita." Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan dan isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah SWT.

Pernahkah anda mendengar, kata orang tua, menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang’? Kemungkinan ini ada benarnya yang mana apabila kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan sahaja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya. Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.
Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan memberi faedah kepada ibu bapanya semasa hidup dan selepas mati bahkan secara logiknya tiada ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka di dunia apalagi di akhirat kelak.

Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mempunyai anak perempuan, lalu mereka mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Mendidik anak perempuan sememangnya mencabar, tetapi cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan kesungguhan serta tabah menghadapi kerenah mereka, Allah Taala dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang amat besar. Nah! Masih tidak berbangga memiliki anak-anak perempuan? Renung-renungkan!


Puteri-puteri kami. Sudah tentu mama dan baba sangat berbangga dan bersyukur memiliki Anfaal dan Hanan!



Firman Allah SWT :[7:179] "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai."

Saturday, May 23

Jadi Pendidik Senang??


Terima Kasih dan Senyuman

"Terima kasih banyak-banyak, puan." Ringkas ucapan A sambil tangannya menghulur sebuah objek kecil berbungkus cantik kepada saya. Saya terkedu namun bibir mengulum senyum. "Cantiknya hadiah ni..terima kasih kembali ya A" ucap saya lantas kami bersalaman sebelum A meminta diri. A merupakan salah seorang pelajar semester akhir di kolej ini. Dia juga sempat memohon saya mendoakan agar dia berjaya dalam ujian memandunya pada keesokan hari. Hati saya sedikit tersentuh dan terharu. Ini bukanlah kali pertama pelajar menghadiahkan sesuatu kepada saya tetapi penghargaan dan ucapan terima kasih itu begitu bernilai bagi seorang pendidik seperti saya. Memang kalimah itu mudah, sekadar dua buah perkataan. Meskipun begitu, bukan setiap hari ada pelajar yang datang bertemu saya secara peribadi seperti itu semata-mata untuk mengucapkan terima kasih kerana telah mengajar atau mendidik mereka. Tambahan pula institusi ini bukanlah sebuah sekolah. Pelajar-pelajar di sini semuanya sudah di peringkat usia awal dewasa. Bagi saya tidak perlu sejambak bunga atau sekotak hadiah. Kami juga bukan minta disanjung atau dipuja. Cukuplah dengan lafaz ucapan terima kasih dan sebuah senyuman ikhlas buat penghibur jiwa kami para pendidik.




Sambutan Hari Guru Yang Ceria

"Diminta para peserta acara mencari harta karun berkumpul mengikut jabatan masing-masing" umum pengendali acara iaitu Encik K. Tidak berapa lama kemudian acara pun bermula. Saya merupakan salah seorang ahli kumpulan yang mewakili jabatan saya untuk acara ini. Kami lantas berkejar-kejaran ke enam buah lokasi 'checkpoint' yang berbeza di sekitar kawasan kolej. Bagi menyelesaikan misi mencari harta karun, kami dikehendaki menyelesaikan permainan Sudoku, menghabiskan sebotol air teh pekat tanpa gula dan Twisties perisa wasabee kemudian masuk pula ke dalam kolam ikan bagi mencari sepuluh keping syiling 1 sen. Usaha kami tidak sia-sia kerana jabatan saya muncul juara pencarian harta karun. Hadiahnya? Harta karun yang rupa-rupanya hanyalah sebungkus mee segera. Geram ada, geli hati pun ada. Tidak mengapa, yang penting aktiviti-aktiviti seumpama ini dapat juga mengurangkan tekanan menyemak tugasan dan kertas peperiksaan pelajar pada akhir semester ini. Siapa kata jadi guru atau pendidik itu senang? Jika benar masakan penghuni di hospital mental Tg Rambutan sana paling ramai di kalangan pendidik. Ini bukan omongan tetapi betul-betul kejadian..


Bungkusan comel daripada A. Semoga anda akan terus berjaya dalam hidup..ameen.

Tuesday, May 19

Memperingati Ulangtahun Nakbah Ke-61

Apabila Israel melancarkan serangan teramat biadap ke atas Gaza pada penghujung bulan Disember 2008 dan berakhir pada 23 Januari 2009, seluruh dunia amat terkejut dan bangkit membuat bantahan yang terbesar pernah disaksikan. Bantahan dan kemarahan ini tiba-tiba reda dan berakhir apabila Israel menghentikan operasi ‘Cast lead’nya di Gaza. Meskipun media masih memberi liputan tentang kemusnahan dan penderitaan rakyat Gaza terutama pendirian Mesir yang terus menutup sempadan dan menyekat rakyat Gaza yang tercedera menyeberang di sempadan Rafah untuk mendapat rawatan, namun tumpuan kepada isu ini dalam media antarabangsa hanya bertahan sekitar dua minggu sebelum ia dilupakan samasekali. Kini isu Gaza bahkan isu Palestin kembali kepada status qou iaitu satu konflik yang berpanjangan sejak 1948 tanpa menunjukkan sebarang petanda ia dapat diselesaikan dalam masa beberapa tahun bahkan beberapa dekad akan datang. Realiti inilah yang mungkin menjadikan tumpuan terhadap isu ini turun dan naik seiring dengan insiden serangan besar-besaran atau pencerobohan regim Israel ke atas mana-mana wilayah Palestin dari masa ke semasa.

Kebetulan bulan Mei ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 61. Peristiwa Nakbah atau ‘Malapetaka besar’ dalam Bahasa Arab secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengistiharan Negara haram Israel pada 15 Mei atau disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan ‘War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan) ke atas wilayah Palestin yang mereka rampas dan kuasai dengan cara-cara penuh biadap dan kebinatangan. Apa yang berlaku, Negara Israel yang diistiharkan pada 15 Mei 1948 itu adalah kemuncak kepada penderitaan rakyat Palestin yang diusir dan terdedah kepada aksi-aksi terorisme, gerombolan bersenjata Yahudi yang di bekalkan oleh penjajah British.. Maka peristiwa Nakbah merujuk kepada pengusiran 800,000 rakyat Palestin dari rumah dan kampong halaman mereka lalu mencari perlindungan di wilayah sempadan Syria,. Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.

Kini enam puluh satu tahun peristiwa Nakbah berlalu, namun penderitaan yang ditanggung oleh 800,000 pelarian asal kini diwarisi pula oleh tidak kurang 5 juta anak-anak dan cucu-cucu mereka. Bererti, selama enam puluh tahun mereka masih menunggu dengan penuh harapan bila mereka dibenarkan pulang ke rumah-rumah mereka di Palestin. Setidak-tidaknya mereka mengharapkan waris mereka mendapat hak untuk pulang ke tanah air demi memenuhi hasrat mereka yang tidak kesampaian kerana ajal telah menjemput mereka. Jika pahlawan kemanusiaan dan hak asasi manusia terulung diraikan oleh seluruh masyarakat antarabangsa iaitu Nelson Mandela kerana sanggup menanti 30 tahun di dalam penjara untuk mengembalikan hak dan kebebasan bangsa kulit hitam Afrika Selatan yang terbelenggu akibat Sistem Apatheid, maka pejuang dan rakyat Palestin yang mendiami khemah-khemah pelarian sejak enam puluh tahun lalu lebih wajar untuk dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan kecewa.

Kini yang menjadi masalah dari kemelut kemanusiaan ini adalah sikap dan pendirian masyarakat antarabangsa. Seluruh Negara bangsa mempunyai pandangan umum yang dibentuk hasil dari prapoganda regim zionis Israel terhadap isu ini. Yang pertama, Israel mempunyai hak untuk wujud dan keselamatan Israel dari jiran-jirannya dan sebarang usaha yang dilihat boleh mengancam keselamatan Israel, walau sekecil manapun tidak boleh dibenarkan. Kedua, rakyat Palestin yang tidak mengiktiraf Israel dan menentang pendudukan Israel dilihat sebagai musuh kepada proses damai dan ancaman kepada keamanan di timur tengah dalam konteks yang lebih luas. Ketiga Israel punya hak untuk melaksanakan program keselamatannya termasuklah melancarkan ‘pre-emptive’ strike ke atas mana-mana sasaran di timur tengah untuk menjamin keselamatannya.

Inilah cabaran terbesar yang perlu diatasi oleh masyarakat antarabangsa untuk mencabar pandangan umum yang amat berat sebelah dan memihak secara melulu kepada Israel. Kecelaruan berfikir ini digambarkan dengan baik sekali oleh Mahaguru ilmu Sejarah Barat yang bernama Arnold Toynbee di mana beliau mengatakan

“Benar dan salah di Palestin adalah sama sebagaimana di tempat-tempat lain. Masaalahnya, dunia memilih untuk mendengar pihak yang melakukan kezaliman (Israel) dan memilih untuk memekakkan telinga dari mendengar dari pihak mangsa (rakyat Palestin)”

Sesuai dengan pengamatan ini, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat madani (civil society) untuk menilai isu ini secara objektif dan berdasarkan fakta. Isu ini tidak akan diselesaikan dengan menggunakan pendekatan memihak atau ‘sektarianism’ samada dari sudut keagamaan, kebangsaan atau politik kesukuan. Seluruh dunia harus keluar dari melihat isu ini dari perspektif ‘muslim’ lawan ‘yahudi’ atau perebutan rakyat Palestin dan rakyat Israel ke atas satu wilayah di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan, atau perebutan ke atas Baitul Maqdis yang menempatkan Haram al-Sharif dan Masjid al-Aqsa bagi muslim dan Jerusalem dan Temple Mount bagi Yahudi.

Ia harus dilihat dari sudut undang-undang antarabangsa sebagaimana yang termaktub dalam piagam bangsa-bangsa Bersatu 1945, hak asasi sebagaimana yang dipertahankan oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 dan Konvensyen Geneva ke IV, 1949. Jika diteliti tingkah-laku regim zionis semenjak ia berdiri sebagai sebuah entiti bernama Israel, maka jelas siapa yang melakukan pelanggaran undang-undang dan konvensyen antarabangsa. Asas inilah yang digunakan dalam menilai tindak-tanduk Israel sejak 61 tahun yang lalu.

Meskipun PBB telah meluluskan Resolusi 181 yang membenarkan 55% wilayah Palestin diserahkan kepada pendatang Yahudi, namun perlaksanaan resolusi ini tidak pernah mewajarkan pendudukan Israel ke atas 45% wilayah Palestin yang selebihnya iaitu Baitul Maqdis timur, Tebing barat dan Genting Gaza. Bahkan PBB telah meluluskan Resolusi 242 dan 338 supaya Israel berundur kembali ke garisan hijau yang dilakarkan oleh Rhodes Armistice pada tahun 1949. Ini bermakna Israel wajib keluar dari wilayah Palestin yang diduduki pada tahun 1967 dan tidak ada sebarang kewajaran sedikitpun untuk Israel menguasai wilayah tersebut. Juga PBB telah meluluskan Resolusi 194 pada tahun 1949 mengizinkan pelarian Palestin pulang. Apa yang berlaku kini ialah Israel bukan sahaja tidak akur kepada resolusi-resolusi utama ini (landmark resolutions) bahkan puluhan dan ratusan resolusi yang menegaskan kembali tentang hak rakyat Palestin, bahkan telah mencabul hak rakyat Palestin di wilayah yang diduduki pada tahun 1967 dengan mendirikan kawasan perumahan ekslusif untuk kaum yahudi di atas tanah rakyat Palestin, mengusir dan merampas tanah rakyat Palestin dan kini membina tembok pemisah dari utara ke selatan Tebing Barat dalam wilayah Palestin.

Kini setelah Hamas muncul sebagai juara memperjuangkan hak rakyat Palestin yang tertindas, regim zionis melaksanakan pula program mengepung Gaza dari semua arah dan menukarnya menjadi penjara terbesar di dunia. Apabila tirai 2008 berlabuh bermulalah serangan paling biadap ke atas Gaza yang tidak perlu lagi diulas kerana liputan media yang meluas.

Dalam memperingati Nakbah pd bulan Mei 2009 ini, adalah amat penting bagi seluruh masyarakat antarabangsa mendedahkan hakikat sebenar di Palestin, supaya regim zionis tidak boleh lagi berselindung dan mempertahankan tindakan biadapnya atas alasan mempertahan ‘hak’ dan ‘keselamatn’ Israel

Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE (Palestine Centre of Excellence)

18 Mei 2009

http://www.malaysia harmoni.com/ index.php/ antarabangsa/ copy-of-copy- of-copy-of- negara-1/ 13-memperingati- ulangtahun- nakbah-ke- 61

Wednesday, May 6

'Pasanganku Yang Penuh Misteri'

Tips-tips berikut saya perolehi daripada sebuah akhbar - tulisan Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah. Bermanfaat untuk rumah tangga saya, moga bermanfaat juga kepada sesiapa yang membaca.

Bidalan Melayu sering mengingatkan kita: 'tak kenal maka tak cinta'. Persoalannya sejauh mana kita mengenali pasangan kita? Tempoh perkenalan yang lama tidak menjamin kita dapat mengenali personaliti sebenar pasangan kita. Tambahan pula personaliti dan perangai sebelum dan sesudah berkahwin boleh berubah secara ketara terutamanya di kalangan lelaki.

Pada umumnya, isteri lebih mudah mengenali suami berbanding suami terhadap isterinya. Yang anehnya, kadangkala orang lain lebih mengenali pasangan kita berbanding diri kita sendiri! Apa yang jelas, Allah mencipta lelaki dan perempuan itu berbeza. Perbezaan ini perlu difahami dan ditangani dengan baik bagi membina keluarga yang bahagia dan harmonis.

Cabaran Di Awal Perkahwinan
  1. Mengenali diri yang baru dan memerlukan pelbagai penyesuaian.
  2. Mengenali pasangan dengan lebih mendalam.
  3. Mencari keserasian dengan ahli keluarga yang semakin membesar.
  4. Mengimbangi antara rumahtangga, kerjaya dan keperluan peribadi.
  5. Menangani konflik dalam rumahtangga.
  6. Mendidik dan menegur pasangan.
  7. Belajar untuk menjadi pelengkap dan pengimbang kepada pasangan.
  8. Merangsang diri untuk menjadi pemaaf dan pendoa.
Perbuatan Suami Yang Tidak Digemari Isteri
  1. Memberi pandangan dan nasihat yang tidak diminta.
  2. Kerap menukar saluran TV ketika menonton bersama isteri.
  3. Malu bertanya walaupun sesat jalan.
  4. Merungut apabila diajak pergi 'shopping'.
  5. Perangai yang kurang manis seperti kentut, korek hidung, cabut bulu hidung dan sebagainya.
  6. Sukar untuk mengaku salah dan meminta maaf.
  7. Melenting apabila ditegur.
  8. Sukar untuk mencari barang.
  9. Tidak peka dengan perubahan yang berlaku kepada isteri seperti potongan rambut baru, menukar 'perfume' dan pakaian baru.
  10. Lelaki yang bertindak persis makhluk dua alam iaitu memilik peribadi berbeza semasa di rumah dan di tempat kerja.
Perbuatan Isteri Yang Dibenci Suami
  1. Terlalu banyak mulut.
  2. Bertindak mengiktu perasaan tanpa rasional.
  3. Merajuk terlalu lama.
  4. Terlalu kerap menangis yang menyebabkan suami menjadi bingung.
  5. Terlalu kerap bertukar fikiran.
  6. Cemburu yang keterlaluan.
  7. Lembut hati yang keterlaluan menyebabkan lelaki kelihatan terlalu tega atau jahat.
  8. Mengambil masa terlalu lama untuk bersolek dan berpakaian.
Kaedah Mengenali Pasangan
  1. Selalu berbincang secara terbuka.
  2. Tanya ibu mertua dan ipar perempuan mengenai pasangan.
  3. Belajar untuk membaca 'mood' dan karenah pasangan.
  4. Tanya kawan rapat pasangan.
  5. Belajar untuk melihat melalui mata hati.
  6. Bertanya kepada anak-anak.
  7. Berterusan mencari pelbagai ilmu agar dapat memahami manusia.
  8. Memohon hidayah daripada Allah S.W.T.
Kesimpulannya, untuk menjadi suami yang soleh dan isteri yang solehah bukannya mudah. Saya masih ingat lagi kata-kata salah seorang guru saya semasa di matrikulasi. Ketika itu beliau telah diajukan soalan tentang makna perkahwinan. Kata beliau, "perkahwinan itu ibarat melekapkan kedua-dua belah telapak tangan dengan eloknya". Selepas hampir sepuluh tahun berlalu, kini saya mula faham apa yang beliau maksudkan itu.