Wednesday, May 6

'Pasanganku Yang Penuh Misteri'

Tips-tips berikut saya perolehi daripada sebuah akhbar - tulisan Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah. Bermanfaat untuk rumah tangga saya, moga bermanfaat juga kepada sesiapa yang membaca.

Bidalan Melayu sering mengingatkan kita: 'tak kenal maka tak cinta'. Persoalannya sejauh mana kita mengenali pasangan kita? Tempoh perkenalan yang lama tidak menjamin kita dapat mengenali personaliti sebenar pasangan kita. Tambahan pula personaliti dan perangai sebelum dan sesudah berkahwin boleh berubah secara ketara terutamanya di kalangan lelaki.

Pada umumnya, isteri lebih mudah mengenali suami berbanding suami terhadap isterinya. Yang anehnya, kadangkala orang lain lebih mengenali pasangan kita berbanding diri kita sendiri! Apa yang jelas, Allah mencipta lelaki dan perempuan itu berbeza. Perbezaan ini perlu difahami dan ditangani dengan baik bagi membina keluarga yang bahagia dan harmonis.

Cabaran Di Awal Perkahwinan
  1. Mengenali diri yang baru dan memerlukan pelbagai penyesuaian.
  2. Mengenali pasangan dengan lebih mendalam.
  3. Mencari keserasian dengan ahli keluarga yang semakin membesar.
  4. Mengimbangi antara rumahtangga, kerjaya dan keperluan peribadi.
  5. Menangani konflik dalam rumahtangga.
  6. Mendidik dan menegur pasangan.
  7. Belajar untuk menjadi pelengkap dan pengimbang kepada pasangan.
  8. Merangsang diri untuk menjadi pemaaf dan pendoa.
Perbuatan Suami Yang Tidak Digemari Isteri
  1. Memberi pandangan dan nasihat yang tidak diminta.
  2. Kerap menukar saluran TV ketika menonton bersama isteri.
  3. Malu bertanya walaupun sesat jalan.
  4. Merungut apabila diajak pergi 'shopping'.
  5. Perangai yang kurang manis seperti kentut, korek hidung, cabut bulu hidung dan sebagainya.
  6. Sukar untuk mengaku salah dan meminta maaf.
  7. Melenting apabila ditegur.
  8. Sukar untuk mencari barang.
  9. Tidak peka dengan perubahan yang berlaku kepada isteri seperti potongan rambut baru, menukar 'perfume' dan pakaian baru.
  10. Lelaki yang bertindak persis makhluk dua alam iaitu memilik peribadi berbeza semasa di rumah dan di tempat kerja.
Perbuatan Isteri Yang Dibenci Suami
  1. Terlalu banyak mulut.
  2. Bertindak mengiktu perasaan tanpa rasional.
  3. Merajuk terlalu lama.
  4. Terlalu kerap menangis yang menyebabkan suami menjadi bingung.
  5. Terlalu kerap bertukar fikiran.
  6. Cemburu yang keterlaluan.
  7. Lembut hati yang keterlaluan menyebabkan lelaki kelihatan terlalu tega atau jahat.
  8. Mengambil masa terlalu lama untuk bersolek dan berpakaian.
Kaedah Mengenali Pasangan
  1. Selalu berbincang secara terbuka.
  2. Tanya ibu mertua dan ipar perempuan mengenai pasangan.
  3. Belajar untuk membaca 'mood' dan karenah pasangan.
  4. Tanya kawan rapat pasangan.
  5. Belajar untuk melihat melalui mata hati.
  6. Bertanya kepada anak-anak.
  7. Berterusan mencari pelbagai ilmu agar dapat memahami manusia.
  8. Memohon hidayah daripada Allah S.W.T.
Kesimpulannya, untuk menjadi suami yang soleh dan isteri yang solehah bukannya mudah. Saya masih ingat lagi kata-kata salah seorang guru saya semasa di matrikulasi. Ketika itu beliau telah diajukan soalan tentang makna perkahwinan. Kata beliau, "perkahwinan itu ibarat melekapkan kedua-dua belah telapak tangan dengan eloknya". Selepas hampir sepuluh tahun berlalu, kini saya mula faham apa yang beliau maksudkan itu.

No comments: