Showing posts with label penulisan. Show all posts
Showing posts with label penulisan. Show all posts

Wednesday, April 29

Percubaan Pertama



Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kerana akhirnya percubaan pertama saya untuk menulis membuahkan hasil juga. Walaupun saya masih belum menyentuhnya dengan tangan dan menatap buku ini di hadapan mata sendiri lagi sejak ia diterbitkan seminggu lalu, namun terasa kepuasannya kerana hasil karya sendiri kini wujud dalam bentuk sebuah buku meskipun ia cuma satu bab sahaja. Sekurang-kurangnya dapat juga saya tunjukkan kepada anak-anak dan cucu cicit saya nanti insyaAllah. Penghargaan dan terima kasih kepada Makcik Umi yang telah memberi dorongan kepada saya dan semua penyumbang karya khususnya dari negeri Perak. Kelahiran buku ini mendorong saya untuk terus berusaha menulis lagi.

Ibu Madrasah Pertama Ku adalah sebutir permata!

Ibu Madrasah Pertama Ku! Begitulah indahnya tajuk buku ini. Namun ia tidak seindah kasih sebenar seorang ibu. Namun kami yakin buku ini mampu membuatkan anda tersenyum disirami kasih ibu atau ketawa terkenangkan kisah lama atau menangis mengenangkan wajah ibu yang kini sudah berkedut dimamah usia atau mengalir air mata dek kerinduan pada bonda tercinta.

Anggaplah buku ini sekadar sebutir permata. Bukan yang terbaik tapi cahayanya cukup untuk menyuluh kehidupan generasi kita dan selepas kita dalam melalui liku-liku kehidupan sebagai seorang insan soleh wa musleh.

Tips daripada ibu madrasah pertama ku ini akan memberikan kita pelbagai pengajaran suka duka seorang ibu mendewasakan anak-anaknya. Sudah tentu tips tersebut dapat pula dimanfaatkan oleh kita untuk menyantuni anak-anak dan generasi muda di zaman kita dan akan datang.

Buku ini mengandungi kisah dua puluh tiga orang ibu membesarkan anak-anak yang kini sudah berjaya di bidang masing-masing.

Kerana kebahagiaan dan kejayaan yang mereka kecapi hasil sentuhan ibu, kini mereka ingin berkongsi dengan kita semua. Khususnya anda para pembaca. Banyak sekali kebaikan dalam bentuk pesanan atau perkongsian daripada para penulis tentang ibu masing-masing untuk kita ambil manfaatnya.

Mari kita hayati bersama setiap keindahan yang dinukilkan dalam buku, Ibu Madrasah Pertama ku ini.
'Ibu Madrasah Pertama Ku' - seindah nama buku ini begitulah indahnya setiap coretan 23 orang penulis dalam buku ini.

Nama Buku : Ibu Madrasah Pertama Ku
Penyusun : Roha Hassan
Penerbit : Tinta Ori Enterprise
Usaha sama : Wanita JIM Pusat dan Tinta Ori Enterprise
Editor : Nazirah Idris dan Roha Hassan
Tebal Buku : 306 muka surat
Harga : RM25 sahaja / RM28 untuk Sabah dan Sarawak
Hubungi : Nazirah / Murni (03-41073379) atau Roha (012-4317948)


Kandungan Buku
Bahagian I :
  1. Fight For Your Right - Anfaal Saari
  2. Biar Miskin Dunia, Tapi Kaya di Akhirat Sana! - Anita Ali
  3. Ibu! Oh Ibu! Engkaulah Ratu Hatiku - Azlina Isa
  4. Sikap Optimis Mu Pendorong Kejayaan Ku - Azlina Roszy Mohamad Ghaffar
  5. Emak Aku Adalah ‘Women Of Substances’ - Ir. Endok Sempo Mohd Tahir
  6. Ibu Madrasah Tarbiah Ku Yang Pertama - Fakhrul Anuar Zulkawi
  7. Biar Miskin Harta, Jangan Miskin Ilmu - Faridah Maludin
  8. Umi Penghibur, Pelindung Ku - Dr Hafidzah Mustakim
  9. Ibu Madrasah Pertama - Hafizah @ Pen Aija
  10. Apa Yang Ku Pelajari Dari Madrasah Hjh Siti Ramlah Anuar - Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj
  11. Kalau Kau Hendak Senang, Belajar Rajin-rajin - Haron Mohd Yusof (Hamdy)
  12. Ibu Adalah Madrasah Pertama - Ibni Khalid Jurait
  13. Kepercayaan Mu Penguat Semangat Ku - Kerisisiah Mohd Daud
  14. Ibu Ku, Sahabat Ku…Pendamai Jiwa Ku - Norhayati S
  15. Engkaulah Ibu, Engkaulah Ayah - Noor Faizah Sidek
  16. Ibu Terlalu Istimewa Di Hatiku - Mahani Yusof
  17. Ibu Madrasah Pertama Kami Sekeluarga - Ramlah Hussin
  18. Sentuhan Ajaib Ibu - Roha Hassan
  19. Pemergian Mu Tiada Pengganti - Rosnah Ahmad
  20. Terima Kasih Mak - Salina Hassan
  21. Ibu Madrasah Pertama Ku - Siti Aishah Mahamad
  22. Ibu Permata Hati Ku - Prof Madya Dr Umi Kalthom Ngah
  23. Ibu Permata Hatiku, Madrasah Pertama Ku - Ummu Mukhlis
  24. Kasih Ibu Tidak Bertepi - Wan Fauziah Wan Kadir


Bahagian II : Puisi Dan Panduan Tentang Ibu
  1. Tip Buat Ibu Dan Bakal Ibu
  2. Puisi Indah Buat Mu Ibu
  3. Tika Saat Ini
  4. Tentang Dia – Madrasah Pertama Kami
  5. Selendang Merah Ibu

Monday, January 12

Semalam di Kuala Lumpur

Seusai bengkel penulisan di UIA petang semalam saya terus bergegas menuju ke stesen LRT Putra yang terdekat kerana tiket bas yang saya beli dijadualkan bertolak pada jam 6.30 petang. Waktu itu jam di tangan sudahpun pukul 5 petang. Mujurlah kak K dan temannya yang juga peserta bengkel sudi menumpangkan saya ke stesen. Teksi yang saya hubungi tidak dapat datang kerana hujan lebat turun mencurah-curah(?). Seronok juga dapat berkenalan dengan kak K dan temannya, kedua-dua mereka berpangkat kapten dalam perkhidmatan tentera darat. Kami berpisah di stesen LRT Putra Setiawangsa dengan azam masing-masing untuk menghasilkan sebuah artikel seperti yang diminta oleh En Zamri Mohamad, pengendali bengkel.


Sudah agak lama saya tidak menggunakan perkhidmatan LRT di KL. Bagi saya, kalau hendak melihat pelbagai gelagat dan ragam manusia di dalam LRTlah tempatnya. Perjalanan selama hampir 35 minit itu sudah cukup membuktikan. Melihat gelagat remaja-remaja di dalam LRT itu sangatlah memualkan. Berasak-asak manusia keluar masuk dengan pelbagai gaya dan fesyen pakaian. Dalam hati saya amat bersyukur kerana tidak perlu lagi bekerja atau menjalani hidup di KL/ Lembah Kelang sejak tahun 2004. Saya tidak yakin dapat membesarkan anak-anak saya sebaiknya di Lembah Kelang dengan kualiti hidup yang semakin merosot dan masuknya pelbagai budaya yang pelik dan jelik. Meskipun pada masa itu saya berasa sangat sayang untuk berpindah kerana di situlah saya mula mendapat tarbiyyah. Memang benarlah apa yang Allah tentukan itu adalah yang terbaik untuk kita walaupun kita mungkin tidak suka.

"..Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk dan barangsiapa yang disesatkan-Nya maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpinpun yang dapat memberi petunjuk kepadanya." (Surah Al-Kahfi: 17)