Showing posts with label family. Show all posts
Showing posts with label family. Show all posts

Wednesday, April 21

Pengantin Baru

Selamat pengantin baru kepada adik ipar saya (Azhar) dan pasangannya (Naslina) yang baru sahaja memeterai ikatan pernikahan pada hujung minggu sudah. Semoga kalian dikurniakan barakah dunia dan akhirat. Mudah-mudahan baitul muslim yang dibina dilimpahi mawaddah, rahmah dan sakinah insyaAllah. Meskipun saya dan anak-anak tidak dapat menghadiri majlis tersebut (hanya suami sahaja yang pulang ke Johor menaiki bas) namun yang penting doa tetap dikirimkan.

Nampaknya Anfaal dan Hanan sudah dapat Mak ude lah. InsyaAllah tahun depan dapat sepupu baru pula lah ya :)




Wednesday, December 16

Surah Al-Fatihah dan Yaasin Buat Atuk

Panggilan telefon daripada Pak Uteh sedikit mengejutkan saya. Sudah lama bapa saudara saya ini tidak menghubungi saya kecuali ada hal-hal tertentu sahaja. Hati saya berdebar-debar. Entah mengapa saya dapat merasakan sesuatu. "Atuk dah nazak. Sekarang ni di hospital" beritahu Pak Uteh dicorong telefon. Seakan ditakdirkanNya, saya dan keluarga memang berada tidak jauh dari Hospital Melaka waktu itu kerana berhenti rehat dalam perjalanan pulang selepas bercuti di Kota Tinggi, Johor. Kami sekeluarga bergegas ke lokasi yang dimaksudkan. Hati saya sebak sebaik melihat atuk terlantar di atas katil dalam keadaan yang amat uzur. Sudah 'nyawa-nyawa ikan' bak kata orang. Pernafasan atuk sekadar berbantukan mesin. Mata atuk tertutup rapat, mulutnya pula sedikit terbuka. Kaki kanan atuk rupa-rupanya baru sahaja seminggu diamputasi sehingga paras lutut akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya sudah semakin serius. Tangan kiri juga sudah mula membengkak kesan penyakit itu. Saya sempat mengusap dahi atuk dan membisikkan kalimah syahadah di telinganya. Waktu itu air mata saya tidak dapat dibendung lagi. Sedih dan gementar membayangkan sakaratul maut yang sedang dilalui oleh atuk ketika itu. Selepas berbincang dengan doktor yang merawat, akhirnya keputusan dibuat supaya atuk dibawa pulang ke rumah. Atuk menghembuskan nafas terakhirnya sebaik mesin sokongan pernafasan dibuka lewat petang itu disisi isteri tercinta, semua anaknya, cucu-cucu, cicit-cicit juga sanak saudara pada usia 82 tahun.

Kali terakhir saya bertemu atuk ialah pada Aidilfitri yang lalu. Waktu itupun kesihatan atuk sudah semakin merosot dan ibu jari kaki kanannya baru saja diamputasi namun atuk masih mampu bergurau. Kini, tiada lagi atuk yang selalu menghubungi saya bertanyakan bila saya hendak pulang ke kampung di Tg Minyak? Tiada lagi atuk yang selalu cuba berusaha merapatkan hubungan saya dan adik dengan ayah yang telah meninggalkan kami sejak kecil. Tiada lagi atuk saya yang tidak pernah melupakan saya walaupun cucunya ini selalu tidak ingat akan satu-satunya datuknya yang masih ada sebelum ini. Hanya surah al-Fatihah dan Yaasin buat mengiringi Allahyarham atuk yang sangat saya sayangi. Semoga atuk tenang di sana dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman..amin.


Monday, November 23

Hujan, Ihtifal dan Bonsai

Musim tengkujuh menjelma lagi. Begitulah kelaziman cuaca yang melanda bumi bertuah ini pada setiap hujung tahun. Saya kasihan dan simpati sekali terhadap rakyat di kawasan-kawasan yang dilanda bah. Namun apa daya insan yang amat rapuh. Sudah semestinya kita tidak akan mampu melawan kehendak alam. Di daerah ini pun hujan turun sepanjang hari sejak semalam lagi. Hujan lebat dan adakalanya berhenti seketika namun gerimis pula menyambung sehingga malam. Pakaian-pakaian yang dibasuh sekadar berlonggok di dalam bakul menunggu giliran untuk dijemur di teduhan yang amat terhad. Tidak boleh mengeluh kerana hujan, apalagi menyalahkan cuaca ini. Redha sahajalah kerana itu ketentuan yang terbaik. Peluang tidak dapat keluar dari rumah ini harus dinikmati secara positif. Justeru, hari ini saya dan keluarga dapat berehat dan menghabiskan masa bersama sepanjang hari, alhamdulillah.

Saya mengambil kesempatan untuk memindahkan gambar-gambar serta video yang kami rakam semalam ke cakera keras komputer riba. Semalam kami sekeluarga menghadiri Majlis Ihtifal tadika Anfaal yang diadakan di dewan Institut Latihan KEMAS di sini. Tatkala menyaksikan si cilik Anfaal dan rakan-rakan sekelasnya membuat persembahan di atas pentas, air mata saya hampir-hampir hendak tumpah. Hati saya berdetik. "Oh Tuhan, inikah anak yang saya lahirkan empat tahun dahulu?
Sudah semakin besar anak saya." Rasanya macam baru kelmarin Anfaal menyusu di pangkuan saya. Tidak dapat saya bayangkan perasaan saya pada masa akan datang ketika melalui pelbagai lagi detik penting dalam hidup anak-anak saya seiring usia mereka. Anfaal yang kami panggil "kakak" sempat melemparkan senyuman dan melambai-lambaikan tangan sebelum persembahan bermula. Dia kemudian dengan comel dan yakin sekali beraksi bersama rakan-rakannya mempersembahkan dikir dalam bahasa Arab berjudul "Aza abi azadi ummi".

Anfaal di kedudukan lima dari kiri.
(Sayang sekali saiz video terlalu besar untuk dimuatnaik.)



Keriangan Anfaal bertambah lagi selepas menerima hadiah Anugerah Khas Kecemerlangan Kepimpinan untuk kelas 4 tahun. Anfaal bukannya faham pun makna anugerah itu. Yang penting dia gembira kerana mendapat hadiah. Sebagai ibu bapa pastinya saya dan suami bangga dan bersyukur atas sifat kepimpinan yang ditonjolkan Anfaal. Menurut guru kelas Anfaal; Teacher Nurizan, anak sulung saya ini seperti guru kedua di dalam kelas. "Anfaal agak garang tetapi pada masa yang sama seorang pemalu." ulasnya.


Bersama Teacher Nur, guru kesayangan Anfaal.


Bersemangat sungguh menyanyikan lagu untuk guru-guru.


"Anak-anak ibarat pohon bonsai. Susah hendak menjaga serta menghasilkan pohon bonsai yang indah. Ada seni. Perlukan kesabaran yang tinggi. Kalau kita terleka walau sebentar, maka ia akan tumbuh tidak terurus. Justeru, tidak cantiklah pohon bonsai itu dan tidak jadi sepertimana yang kita hajatkan." Kata-kata Ustaz Alias Othman, salah seorang murabbi kami akan saya ingat sampai bila-bila insyaAllah. Munajat saya kepada yang Maha Esa agar 'bonsai-bonsai' saya tumbuh indah, renek dan 'menjadi' hingga sampai ke syurgaNya, ameen..




Thursday, November 5

Ceria Bersama Keluarga Besar


Saat-saat kesibukan menyemak tugasan dan ujian bermula lagi. Begitulah rutinnya setiap kali menjelang hujung semester. Kesibukan urusan tugas hakiki tidak menghalang waktu untuk bersantai seketika. Sekadar menghilangkan lelah lima hari seminggu di tempat kerja. Mujur tahun ini tarikh hari keluarga tempat kerja saya dan suami tidak bertembung lagi seperti tahun-tahun sudah. Sememangnya terkandung pelbagai manfaat daripada amalan sambutan hari keluarga tempat kerja. Di samping dapat mengeratkan silaturrahim antara rakan-rakan seperjuangan, dapat pula mengenali ahli-ahli keluarga mereka dalam suasana santai dan ceria.


Lokasi yang dipilih pada tahun ini ialah di Lost World Of Tambun. Warna biru menjadi warna tema. Ini merupakan kali pertama kami sekeluarga ke sana walaupun sudah beberapa kali melalui kawasan tersebut tidak lama dulu. Jika ke tempat-tempat begini kanak-kanaklah yang paling seronok. Sebaik masuk, Anfaal dan Hanan sudah tidak sabar hendak mandi di pantai buatan yang dibina. Anak-anak staf yang lain pun sama sehinggakan akhirnya acara sukaneka untuk kanak-kanak tidak lagi mendapat sambutan.

Lihat saja gelagat dua beradik ini selepas mendapat 'lampu hijau'.


Naik pening pula kepala setelah hampir sehari suntuk berprogram di situ. Manakan tidak, pusing depan, belakang, kiri atau kanan 'bersepah' orang-orang mendedahkan aurat masing-masing. Yang bukan Islam itu suatu hal, yang Islam pun tanpa segan silu berjalan di khalayak ramai dengan hanya berbaju mandi..masyaAllah. Tidak fasal-fasal pula dapat 'dosa kering' bak kata orang tu. Namun kali ini sudah jadi 'dosa basah' pulalah nampaknya sebab berada di taman tema air!

Selesai menunaikan yang fardhu, kami berjalan kaki ke kawasan zoo mini di bahagian belakang. Lebih baik lihat haiwan yang sudah tentunya dijadikan Allah tidak berpakaian. Kemudian dapatlah merasa menaiki keretapi mini selepas menjenguk 'Pak Belang' yang pernah disiarkan dalam rancangan Majalah 3.


Kecilnya 'tali pinggang' Raja Sulaiman.



Alhamdulillah tuah kami kali ini dapat cabutan hadiah yang dihajatkan dan yang belum ada di rumah.


Keesokan harinya kami ke Taman Herba Papan di Batu Gajah bagi merai hari keluarga tempat kerja saya pula. "Amboii..hujung minggu ini berjalan-jalan saja kome ye!." Usik jiran di sebelah rumah semasa hendak keluar pagi itu. Saya hanya tersenyum mengiyakan. Bukannya selalu dapat peluang begini.


Bersama keluarga besar tempat kerja saya.



Monday, October 19

Rindu Pada Yang Jauh

"Mokde nak main bola ke tu mama?"
"Taklah..mokde ambil gambar kat situ je"

"Mokde kat mana tu?"

"Kat Manchester la.."
"Manshester? Mokde buat apa kat situ?"

"Mokde belajar kat situ"
"Ooo.." (Konon-kononnya fahamlah tu)


Macam-macam soalan yang diajukan oleh Hanan apabila melihat gambar yang dikirim oleh mokde ni. Kadang-kadang susah juga hendak menerangkan kepada anak-anak saya bahawa emak saudara mereka sekarang berada di suatu tempat yang jauh dari sini. Semasa di kampung Anfaal pula asyik bertanya di mana mokde. "Tak seronokla mokde takde..takde orang nak main dengan Anfaal."
Baru sebulan lebih mokde tidak ada di rumah. Dahulu semasa mokde buat A level di Kuala Lumpur tidak pula kecoh sebut tentang mokde. Boleh jadi sebab waktu itu Anfaal masih kecil, belum ingat sangat tentang emak saudara kesayangannya.

Sekarang kalau ada sahaja e-mel daripada mokde, mesti Anfaal dan Hanan tidak sabar-sabar hendak melihat kalau ada gambar-gambar mokde yang terbaru. Untung ada kemudahan Internet dan telefon yang canggih pada zaman ini. Yang jauh di mata pun tidak terasa. "Anfaal rindukan mokde.." luah Anfaal. "Hanan pun indukan (rindukan) bokde (mokde) uga (juga)" sambung Hanan pula. Bukan Anfaal dan Hanan saja yang rindukan mokde, mama pun rindukan mokde. Opah apatah lagi. Semoga mokde jadi muslimah yang solehah dan dapat menyumbang kepada agama, bangsa dan negara selepas tamat pengajian di sana kelak.

Pemandangan dari tingkap rumah mokde. Daun-daun pokok sedang berguguran.



Mokde dengan kawan-kawannya. Macam rusa masuk kampung..=)


Sunday, October 4

Raya Tahun Ini Seperti Kebiasaannya

Seperti kebiasaannya raya kali ini seperti tahun-tahun sudah. Seolah-olahnya seperti apabila usia sudah semakin meningkat keseronokan raya sudah semakin berkurangan pula. Anak-anak kecil yang paling seronok sebab dapat baju baru, kasut baru dan pada hari raya dapat duit raya. Baju dan kasut baru itupun sebenarnya memang saya hendak belikan untuk anak-anak, cuma tunggu 'timing' dan sebab yang sesuai saja. Jadi sebenarnya tiada istilah baju atau kasut raya, cuma barang-barang yang dibeli itu mesti mula digunakan pada hari raya. Bagi saya seronoknya raya sebab dapat berkumpul bersama-sama seisi keluarga dan sanak saudara yang jauh mahupun dekat. Itupun cuma setakat beberapa hari saja sebab lazimnya orang cuma bercuti sampai hari raya ke-3 selepas itu semua sudah kembali bekerja. Keadaan akan kembali sunyi sepi semula dan tinggal rancangan televisyen sajalah buat peneman.

Tahun ini kami beraya di Kota Tinggi. Tidak dapatlah saya merasai kemeriahan raya di kampung emak di Raub. Adatnya kalau sudah berumahtangga ni kenalah berkorban raya ikut giliran. Jangan pula jadi seperti dalam drama di televisyen tu, sampai 'berperang' apabila hendak balik raya. Kalau diikutkan hati memanglah hendak beraya di kampung kita setiap tahun namun perlulah ingat pesan orang-orang dahulu kala ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa jawabnya iya tidak? Raya pertama selesai solat raya di masjid kami berkumpul bermaaf-maafan dan membacakan al-Fatihah untuk atuk-atuk yang telah tiada. Kemudian cuma 'melepak' di rumah saja, waktu petang sedikit barulah berkunjung ke rumah orang itupun cuma sebuah rumah dan jaraknya pun tidaklah begitu jauh. Di sana sudah meriah dengan acara marhaban atau baraan iaitu beraya dari satu rumah ke satu rumah. Rumah ibu bapa mertua saya tidak mendaftar untuk acara itu kali ini. Suasana malam pula meriah dengan bunyi letupan mercun di sana sini. Yang peliknya pihak berkuasa seperti polis dan kastam serta anak-anak mereka pun main mercun juga.

Saturday, August 15

Anugerah Untuk Baba

Bekerjalah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana Allah bukan untuk mengharapkan balasan atau pengiktirafan. Seandainya diberikan pengiktirafan anggaplah ia sebagai satu bonus. Tahniah buat baba kerana telah mendapat bonus itu! Pulang dari kursus induksi tempoh hari saya terus dimaklumkan tentang berita gembira ini. Baba merupakan salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MARA 2008 peringkat negeri Perak. Alhamdulillah atas pengiktirafan ini dan semoga kita sama-sama terus gigih menabur jasa mendidik anak-anak bangsa. Tugas mendidik ini sememangnya bukan mudah, tidak lumayan dan tiada glamor namun pulangan dan ganjarannya datang dalam pelbagai bentuk yang tidak kita sangka.

Thursday, August 13

Jaulah Untuk Orang Perempuan Sahaja

"Ok, petang ni kita bawa Mokde ngan Mangah Jelin pergi jalan-jalan ya!" Kata-kata saya disambut riang oleh anak-anak kecil saya ketika dijemput dari rumah pengasuh petang itu. Mokde ialah pangkat panggilan mereka kepada adik saya yang ketiga. Mokde sengaja meluangkan masa berkunjung ke rumah kami sebelum berangkat menyambung pengajian di luar negara beberapa minggu lagi insyaAllah. Mangah (mak ngah) Jelin pula ialah adik sepupu saya yang sekarang bertugas secara sambilan mengajar di kolej saya. Anfaal dan Hanan memang manja dengan kedua-duanya. Sehari sebelum itu lagi perjanjian telah dibuat. Apabila Mokde sampai ke rumah, bolehlah pergi jalan-jalan. Baba juga sudah beri 'lampu hijau' untuk kami orang perempuan sahaja pergi makan angin tetapi mestilah berhati-hati. Makan angin pun bukan jauh. Sekitar segitiga emas Perak - Lumut, Sitiawan, Manjung sahaja. Mula-mula bawa Mokde dan Mangah Jelin pergi tepi Pantai Teluk Batik tetapi tidak lama pun sebab Hanan takut tengok laut. Kawasan pantai tidak sibuk seperti keadaannya pada hujung minggu. Selepas ambil angin dan basah-basahkan kaki di tepi pantai kami singgah di bazar-bazar sekitarnya. Anfaal dapat sebiji pelampung warna merah jambu dan sepasang baju bertulis Teluk Batik. Pelampung ini boleh digunakan untuk mandi di kolam renang nanti. Tidaklah berebut lagi dengan Hanan. Sedang sibuk window shopping Hanan pula buang air lalu kami cepat-cepat cari masjid untuk menunaikan solat Asar sekali.
Kesian Hanan takut tengok laut, asyik peluk Mokde saja.


Adik-adik dan anak-anak saya.


Hanan ajak Mangah Jelin beli air buih sabun.

Selesai solat Asar sambung lagi pusing-pusing di sekitar pekan Lumut. Saya jadi macam pemandu pelancong pula. Kemudian kami singgah makan di Mak's Place sebuah restoran Cina Muslim berhampiran Pasaraya Giant, Manjung. Makanan di sini sedap-sedap dan ada menu tidak pedas yang sesuai untuk anak-anak kecil. Harganya juga berpatutan.


Sesekali berjaulah begini dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan mahupun persahabatan. Yang penting kewajiban kepada Allah jangan kita lupakan dan niatkan semuanya kerana Dia, insyaAllah ia akan dikira sebagai ibadah.


Friday, August 7

Anfaal and Hanan's Choice


Good enough to whet the appetite..this was Anfaal and Hanan's chocolaty birthday cake. It was a black forest cake behind the chocolate wall actually. 3rd August was Hanan's birthday and followed by Anfaal's the next day. Hanan might be born on the same date as her sister if not for the complication I had. Many asked were we planning for it. Haha..I just answered; nope, not at all. It was His plan for us. Happy belated birthday to both of you dear..may Allah bless you two with lots of happiness and grant all your wishes throughout your lives and the hereafter. Mama and baba will always pray that both of you will grow up being His loyal and faithful khalifah.



Anfaal and Hanan two years ago.


Anfaal and Hanan at 4 and 2 years old.

Saturday, June 20

For Those Dads Who Deserve It



A father is always a father..now in this world or in the hereafter..



Tuesday, April 7

Tak Nak Kawan Mama..

Semenjak kebelakangan ini saya selalu keluar ke mesyuarat atau program bersama akhawat. Setiap minggu juga saya akan menghadiri usrah sama ada yang saya ikuti atau yang saya kendalikan bersama anak-anak buah usrah di kolej. Semalam saya pulang dari mesyuarat bersama akhawat di UTP sudah agak lewat juga, hampir jam sebelas malam. Agenda mesyuarat telah bermula sejak sebelum Maghrib lagi. Sebaik sampai di rumah baba memberitahu yang Anfaal sudah mula merajuk. "Anfaal tak nak kawan dengan mama sebab mama balik lambat. Mama ni asyik pergi usrah dengan mesyuarat aje." Itu leteran Anfaal terhadap saya. Waktu itu Hanan sudahpun lelap. Kesian anak-anak mama asyik ditinggalkan. Ini bukan kali pertama Anfaal merajuk. Sememangnya bukan mudah hendak menerangkan kepada anak-anak kecil seperti Anfaal apa sebabnya baba dan mamanya selalu keluar ke program, mesyuarat atau usrah. Tidak mengapalah..saya sentiasa berdoa dan insyaAllah saya yakin suatu hari nanti Anfaal, Hanan dan bakal adik-adiknya juga akan faham kenapa baba dan mamanya selalu perlu ke program, mesyuarat atau usrah. Nanti apabila tiba masanya Anfaal juga perlu pergi program, usrah dan mesyuarat!

Sebenarnya Anfaal pun selalu juga ikut mama pergi program. Foto ini semasa Anfaal saya bawa bersama ke jamuan hari raya di kolej. Di sebelah kami ialah rakan sebilik saya; Kak Liza dan Yah.

Anfaal bersama anak-anak buah usrah saya di kolej semasa mengikuti program ziarah hospital Manjung pada Ramadhan lalu.




Thursday, April 2

Teguran Yang Sangat Bererti

Selasa, 24 Mac 2009


"Aduh! Badan rasa seram sejuk semacam aje..kenapa agaknya ya? Mungkin sebab saya mandi malam agaknya semalam kerana pulang lewat selepas usrah. Itulah orang-orang tua selalu berpesan tidak elok mandi malam". Saya teruskan juga kelas dengan pelajar-pelajar HND4 yang cuma 8 orang sahaja pagi itu. Namun selepas jam sepuluh pagi badan semakin lemah pula. Mujur rakan sebilik ada simpan ubat demam. Selepas makan tengahari, 2 biji pil itu saya telan. Alhamdulillah lega sekejap.

Pulang dari kolej selepas taklimat active learning petang itu saya terus menjemput anak-anak di rumah pengasuh dan pulang ke rumah. Baba masih belum sampai dari maktab. Biasalah tu selalunya memang kami anak-beranak akan tiba dulu di rumah. Masa berkualiti dengan anak-anak tidak saya persiakan. Seperti biasa saya akan bertanyakan aktiviti Anfaal di sekolah tadikanya sambil menyusukan Hanan dan melayan mereka bermain. "Eh! Mama! Apa tu? Macam Hanan punya dulu je.." Anfaal menegur tanda aneh di badan saya. Eh! Ya tak iye la..Puas saya belek-belek tanda itu. Nampaknya bukan satu tetapi ada beberapa biji tanda yang sama di bahagian lain. Ya Allah ya Rabbi.. saya kena chicken pox ke ni?



Rabu, 25 Mac 2009


Biji-biji berair mula kelihatan di pipi dan hidung saya tetapi tidak begitu ketara. Saya masuk juga kelas HND3 pagi itu namun dengan berhati-hati, takut pula saya menjadi penyebar virus kepada pelajar-pelajar saya. Selesai kelas saya terus ke klinik kerana badan saya sudah mula panas. Saya diberi MC, disuruh berehat dan dinasihatkan tidak kembali ke pejabat kerana berada dalam fasa highly contagious dan suhu badan saya tinggi.



Hari ini


Sudah lebih kurang seminggu saya berehat di rumah. Empat hari pertama saya menghidap demam yang teruk. Demam panas tetapi menggigil kesejukan. Terpaksa mengambil ubat antiviral 5 kali sehari sehingga gastrik saya muncul pula kesan ubat itu. Saya tidak boleh tidur pada waktu malam. Terasa gatal, miang dan sakit-sakit seluruh badan. Kelenjar bengkak dan sakit kepala tidak boleh baring. Baru saya tahu rupanya chicken pox di kalangan dewasa sangat berbahaya dan boleh membawa maut. Jika virus itu tidak berjaya dibunuh ia mungkin akan berhibernasi di saraf tunjang untuk seumur hidup. Virus itu akan kembali menyerang dalam bentuk penyakit yang digelar kayap ular apabila sistem pertahanan badan kita lemah. Tanggapan yang chicken pox hanya boleh dihidapi sekali seumur hidup juga ternyata salah rupanya. Berkali-kali saya beristighfar dan mengingatkan diri sendiri supaya redha dengan ujian kecil ini. Saya sepatutnya yakin dengan konsep kun fa ya kun dan bukannya konsep sepatutnya saya sudah pernah kena chicken pox maka saya tidak sepatutnya kena lagi. Allahuakbar! Saya anggap ini sebagai teguran dan kifarah dosa daripada Allah S.W.T. Allah menegur saya dan saya bersyukur Allah menegur bukan dengan teguran berat yang tidak mampu saya tanggung.

Wednesday, February 11

Sepetang di Teluk Senangin

"Cepat baba! Tinggi lagi..terbanglah tinggi lagi!" Anfaal menjerit-jerit riang bila melihat layang-layang Doraemon berharga RM sepuluh itu terbang naik ditiup angin. Hanan kurang menunjukkan minat. Dia mengantuk kerana tidak cukup tidur siang. Hendak menjejakkan kaki di pasir pun dia tidak mahu. Akhirnya Hanan tertidur di dalam pangkuan saya.

Baba juga bawa pancing bersama. Kemudian kami mencari 'port' yang agak terpencil untuk mencuba-cuba nasib tetapi seekor pun tidak mengena. Umpannya ialah kulit dan sisa ayam goreng yang kami makan tadi. Memang nampak macam main-main sahaja, sekadar hendak tunjuk kepada Anfaal itulah memancing namanya.
Subhanallah..cantik pemandangan di Teluk Senangin namun seperti biasa ada sahaja sampah menyemakkan pandangan. Sayang sekali manusia selalu sahaja tidak bersyukur atas nikmat alam kurniaan Yang Maha Esa ini.



"..Berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada kamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah Al Qasas 28:77)

Saturday, February 7

Carik-carik Bulu Ayam

Sejak akhir-akhir ini Anfaal dan Hanan kerap bergaduh. Ada-ada saja sebab yang menjadi punca pergaduhan dan selalunya sebab-sebab itu cuma perkara kecil sahaja. Sebagai contohnya Anfaal si kakak mahu bermain basikal roda tiga dan pada masa itu jugalah Hanan si adik tiba-tiba hendak bermain basikal itu padahal dia sedang menunggang kuda plastiknya. Kadang-kadang mereka berebutkan anak patung yang sama dan adakalanya tanpa berebutkan apa-apa barang pun pergaduhan boleh tiba-tiba saja tercetus! Kalau anak-anak gadis kecil ini sudah mula bergaduh memang kecoh jadinya. Hanan akan menjerit memperdengarkan suara nyaringnya dan senjata utama pastilah gigitan daripada lapan batang gigi hadapannya. Selalunya kalau mereka bergaduh Anfaal lah yang akan mengalah tetapi saya tidak mahu membiasakan begitu dan tidak memenangkan Hanan kalau memang Hanan yang bersalah. Sebagai seorang ibu saya dapat mengenalpasti peribadi anak-anak walaupun mereka baru setahun jagung. Anfaal lebih lembut hati, penyayang dan sensitif. Hanan pula agak garang, tahan lasak dan keras hati, kalau mahukan sesuatu dia akan berusaha untuk mendapatkannya. Sifat kedua-duanya seolah-olah melengkapi antara satu sama lain. Kalau disuapkan makanan, Anfaal kurang makan sayur tetapi gemarkan ikan atau ayam manakala Hanan tidak begitu sukakan ayam atau ikan dan lebih cepat menghabiskan sayur-sayuran. Saya sering terfikir bagaimana agaknya ibu-ibu yang mempunyai anak-anak yang ramai menguruskan perbalahan antara anak-anak mereka? Sedangkan saya yang baru beranak dua inipun sudah terasa gamat sekali, tentulah mereka yang mempunyai anak yang ramai itu lebih besar cabarannya. Saya masih ingat lagi sewaktu saya masih kecil dahulu ibu selalu mengugut hendak memberikan kami minum air rebusan tali pusat kami sebagai langkah terakhir sekiranya saya dan adik-adik bergaduh lagi tentang hal yang remeh-temeh:) Namun sudah menjadi lumrah adik-beradik, sekejap bergaduh sekejap berbaik kemudian bergaduh lagi. Kalau tidak masakan boleh terhasilnya peribahasa carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga, bukan begitu?













'Tatak' (panggilan kakak oleh Hanan) dan Hanan pada masa-masa berdamai.





Wednesday, February 4

Bukit-bukit Kecil

Bukit-bukit kecil ini mula terbentuk sejak hujung minggu yang lalu. Lokasinya di dalam rumah dan di atas sofa ruang tamu. Perkara ini bukanlah pertama kali terjadi bahkan sebenarnya telah sering terjadi disebabkan kesibukan kami sekeluarga dengan program dan aktiviti di luar rumah yang kadangkala berturutan. Untuk meratakan semula bukit-bukit yang terbentuk dengan pantas sudah semestinya memerlukan kerjasama suami dan anak-anak juga. Apakah dia yang dimaksudkan dengan 'bukit-bukit kecil' itu?



Itulah timbunan pakaian-pakaian bersih yang masih belum diproses...huhuhu;)


“Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.” (Surah Al-Munafiqun: Ayat 9)