Thursday, August 13

Jaulah Untuk Orang Perempuan Sahaja

"Ok, petang ni kita bawa Mokde ngan Mangah Jelin pergi jalan-jalan ya!" Kata-kata saya disambut riang oleh anak-anak kecil saya ketika dijemput dari rumah pengasuh petang itu. Mokde ialah pangkat panggilan mereka kepada adik saya yang ketiga. Mokde sengaja meluangkan masa berkunjung ke rumah kami sebelum berangkat menyambung pengajian di luar negara beberapa minggu lagi insyaAllah. Mangah (mak ngah) Jelin pula ialah adik sepupu saya yang sekarang bertugas secara sambilan mengajar di kolej saya. Anfaal dan Hanan memang manja dengan kedua-duanya. Sehari sebelum itu lagi perjanjian telah dibuat. Apabila Mokde sampai ke rumah, bolehlah pergi jalan-jalan. Baba juga sudah beri 'lampu hijau' untuk kami orang perempuan sahaja pergi makan angin tetapi mestilah berhati-hati. Makan angin pun bukan jauh. Sekitar segitiga emas Perak - Lumut, Sitiawan, Manjung sahaja. Mula-mula bawa Mokde dan Mangah Jelin pergi tepi Pantai Teluk Batik tetapi tidak lama pun sebab Hanan takut tengok laut. Kawasan pantai tidak sibuk seperti keadaannya pada hujung minggu. Selepas ambil angin dan basah-basahkan kaki di tepi pantai kami singgah di bazar-bazar sekitarnya. Anfaal dapat sebiji pelampung warna merah jambu dan sepasang baju bertulis Teluk Batik. Pelampung ini boleh digunakan untuk mandi di kolam renang nanti. Tidaklah berebut lagi dengan Hanan. Sedang sibuk window shopping Hanan pula buang air lalu kami cepat-cepat cari masjid untuk menunaikan solat Asar sekali.
Kesian Hanan takut tengok laut, asyik peluk Mokde saja.


Adik-adik dan anak-anak saya.


Hanan ajak Mangah Jelin beli air buih sabun.

Selesai solat Asar sambung lagi pusing-pusing di sekitar pekan Lumut. Saya jadi macam pemandu pelancong pula. Kemudian kami singgah makan di Mak's Place sebuah restoran Cina Muslim berhampiran Pasaraya Giant, Manjung. Makanan di sini sedap-sedap dan ada menu tidak pedas yang sesuai untuk anak-anak kecil. Harganya juga berpatutan.


Sesekali berjaulah begini dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan mahupun persahabatan. Yang penting kewajiban kepada Allah jangan kita lupakan dan niatkan semuanya kerana Dia, insyaAllah ia akan dikira sebagai ibadah.


No comments: