Saturday, August 22

Terbitnya Fajar Ramadhan

Sejak minggu lepas deretan kanopi putih telah mula dipasang di tepi jalan utama di hadapan sana. Itulah tapak bazar Ramadhan. Nampaknya bilangan kanopi tahun ini lebih banyak berbanding tahun lalu. Mungkin ramai peniaga 'segera' yang ingin mencari rezeki tambahan tahun ini ekoran kegawatan ekonomi yang melanda. Bermula senja kelmarin masjid dan surau yang berdekatan telah mula mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran di corong pembesar suara masing-masing. Aura Ramadhan telah mula dirasai. Syukur kepada Allah kerana mengizinkan kita bersua lagi Ramadhan yang dirindui.

Perkongsian daripada seorang teman yang berkesempatan menghadiri kuliah Ustaz Zahazan Mohamed tempoh hari cukup buat ulangkaji dan refleksi diri ini dan sesiapa yang membaca. Allah mewajibkan berpuasa agar dapat mencapai tingkat insan yang bertaqwa. Dalil yang popular yang selalu diutarakan ialah daripada surah Al-Baqarah ayat 183. Apakah pula ciri-ciri orang yang bertaqwa? Sebagaimana yang diriwayatkan pernah satu ketika Rasulullah s.a.w berhimpun bersama-sama para sahabat lalu baginda bertanya siapakah di kalangan mereka yang berpuasa pada hari itu? Lalu seorang sahabat mengangkat tangan. Orang itu ialah Saidina Abu Bakar. Kemudian Rasulullah bertanya lagi siapa pula di kalangan mereka yang bersadaqah? Orang yang sama mengangkat tangan. Soalan terakhir yang ditanya oleh Rasulullah ialah siapakah pula yang telah menziarahi orang sakit pada hari itu? Saidina Abu Bakar lagi yang mengangkat tangan.

Justeru, jelaslah bahawa berpuasa, memberi sadaqah dan menziarahi orang sakit merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa atau dalam ertikata lain latihan-latihan untuk menghadirkan ciri taqwa dalam diri hambaNya. Nampak macam mudah saja untuk dilakukan tetapi hakikatnya tidaklah seperti itu. Puasa yang dimaksudkan bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. Kena puasa seluruh anggota tubuh. Mengawal segala jenis nafsu yang ada. Sadaqah pula perlu seikhlas-ikhlasnya jangan ada perasaan riak, ujub dan takbur. Kontra dengan zaman ini yang menuntut supaya sesuatu perbuatan baik itu ditunjuk-tunjukkan. Kalau tidak orang tidak pandang kita, orang tidak puji kita. Hai..perlu selalu ingatkan hati ini bahawa pandangan dan pujian Allah itu lebih berharga. Tanpa kita sedari sadaqah juga merupakan jalan yang paling cepat untuk mengubati penyakit berbahaya seperti pandemik H1N1. Perlu berfikir secara kritis untuk menghurai makna kuliah Ustaz Zahazan ini. Ziarah orang sakit juga adalah suatu latihan. Latihan supaya menghargai nikmat kesihatan yang Allah beri dan mengingatkan diri supaya jadi orang yang paling cerdik iaitu orang yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk mati.

Rasulullah s.a.w turut mewasiatkan 5 perkara ketika datangnya bulan Ramadhan. Membaca al-Quran, bersadaqah, solat sunat 17 rakaat - qabliah dan ba'diah solat fardhu, dhuha, tahajud, taubat dan witir, berzikir - ma'thurat , ayat terakhir surah at-Taubah dan pelbagai lagi bentuk zikir serta yang terakhir memperbanyakkan memberi pertolongan. Bentuk pertolongan yang dimaksudkan ialah kepada ahli keluarga yang memerlukan, mereka yang memerlukan pertolongan tetapi tidak menyatakannya dan kepada mereka yang memerlukan pertolongan dan menyatakannya. Tidak susah mencari mereka yang memerlukan bantuan. Di negara kita ini masih ramai lagi mereka yang memerlukannya sama ada yang menyatakannya atau tidak. Teringat saya pada bait-bait lagu sebuah kumpulan lawak terkenal tanahair yang berbunyi "..negara kita tak ada yang papa kedana". Siapa kata negara kita tidak ada golongan yang digelar papa kedana ini? Lihat saja rancangan Bersamamu di TV3. Itu yang disiarkan di televisyen, yang tidak disiarkan banyak lagi di luar sana.

Ya Allah..jadikanlah Ramadhanku kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya, ameen.






No comments: