Showing posts with label program. Show all posts
Showing posts with label program. Show all posts

Wednesday, April 28

Anfaal dan Hanan Ke Kembara Sufi

Seronok saya melihat gelagat Hanan menggoyang-goyangkan badan ke kiri dan ke kanan berulang-ulang ketika mendengar dendangan lagu daripada kumpulan Rabbani. Lucu dan geli hati pun ada. Memang sejak dari awal saya bercadang hendak membawa Anfaal menonton Konsert Kembara Sufi di UTP. Hanan pula tinggal saja dengan baba di rumah supaya boleh tidur awal. Namun lain pula ceritanya yang terjadi. Sebaik kami hendak keluar rumah, Hanan sibuk menangis hendak ikut sama. Akhirnya saya bawa juga Hanan pergi sekali walaupun tahu risikonya jika Hanan tidur nanti jauh hendak mendukung dia ke kereta (dan itulah yang berlaku..masyaAllah! kebas tangan mama dibuatnya!)

Kumpulan Rabbani

Niat saya membawa anak-anak menonton konsert tiada lain cuma untuk mendedahkan mereka kepada bentuk hiburan sebenar yang diharuskan dalam Islam. Ada sebabnya kenapa saya melarang mereka menyanyi lagu-lagu pop yang mengarut itu dan kenapa pula lagu-lagu yang ini boleh? Biar mereka tahu bahawa tidak salah untuk berhibur cuma biarlah kena pada tempatnya. Lagipun sudah menjadi fitrah manusia sukakan hiburan dan Islam tidak pernah bersifat jumud sehingga menyekat fitrah dan naluri insan normal.   

Saya sendiri juga rindu hendak menyaksikan persembahan nasyid secara langsung daripada kumpulan Rabbani yang sering membuat persembahan semasa di UKM dahulu. Memang ketara kelunakan suara Allahyarham Ustaz Asri begitu dirindui semua peminat nasyid. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Persembahan Azhan Atan dan kumpulan Shoutul Harakah juga tidak kurang hebat. Mantap sekali. Paling penting mereka bukan sekadar bernasyid untuk menghiburkan orang tetapi mesej dakwah yang ingin disampaikan lebih utama. 'Bingkai Kehidupan', 'Mana Milik Kita' dan  lagu untuk saudara-saudara kita di Palestin (tidak ingat tajuk sebenarnya) adalah tiga buah lagu yang paling mengusik jiwa saya pada malam itu. Masih terngiang-ngiang lagi bait-bait liriknya di telinga saya.   

Azhan Atan



Thursday, December 3

Ke Kuala Kangsar

Kami sekeluarga akan bertolak ke Kuala Kangsar petang ini. Hujung minggu ini bakal berlangsung majlis Perhimpunan Perwakilan Nasional yang diadakan setiap tahun. Istimewa dan mencabarnya tahun ini kami di Perak menjadi tuan rumah. Berdebar sungguh memikirkan majlis yang bakal bermula esok. Seluruh perwakilan dari segenap ceruk tanahair akan berhimpun di Dewan Kolej Islam Darul Ridzuan yang menjadi lokasi mesyuarat. Waktu ini sememangnya dinanti-nantikan saban tahun kerana ia menjadi medan perjumpaan untuk berkongsi citra dan mengukuhkan idealisme perjuangan dakwah. Buat semua ikhwah akhawat yang bakal ke mari didoakan mudah-mudahan selamat pergi dan pulang. Diucapkan selamat datang ke Peghak buat kome semua. Semoga majlis perhimpunan kita akan berjalan dengan lancar dan jayanya..ameen.


Friday, July 3

Motivasi Untuk Terus Berbakti




Seorang sahabat
pernah memberitahu saya bahawa perkataan motivation itu sebenarnya berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu motive and action. Kalau dalam bahasa Melayu motif dan aksi. Apabila difikir-fikirkan semula benar juga..apabila ada motif barulah kita boleh beraksi. Maksudnya kita tahu apa matlamat atau objektif tindakan kita itu. Menyentuh tentang soal motivasi, sebuah program berbentuk kem motivasi untuk golongan belia bakal berlangsung pada 18 dan 19 Julai nanti di Kem Tok Sakah, Teluk Senangin. Sememangnya tidak rugi langsung menyertai program seumpama ini kerana saya sendiri pernah melaluinya dan pengalaman itu sangat berbaloi. Saya sudah buat promosi kepada beberapa orang rakan sekerja dan kenalan. Kalau hendak meningkatkan motivasi diri inilah masa, peluang dan caranya!

Wednesday, July 1

Semuanya Di Jalan Dakwah

Seorang wanita tua terbongkok-bongkok mengutip daun-daun kering yang bersepah-sepah di halaman rumah Allah itu. Setiap hari itulah yang dilakukan oleh wanita tua itu buat mengisi sisa-sisa usianya. Lantas seorang hamba Allah yang lain menegur wanita itu. "Kenapa kau bersusah-payah wahai nenek tua? Tidak usahlah kau berpenat-lelah lagi mengutip daun-daun kering itu. Bukankah kau sudah tua lagi uzur?". Wanita tua itu lalu menangis. "Setiap kali aku mengutip daun-daun yang gugur itu, aku bertasbih kepada Allah S.W.T. Aku amat berharap dengan cara itu dapat menjadi jalan membawa aku ke syurgaNya nanti. Sedangkan kau pula menyuruh aku berhenti daripada berbuat demikian?"


Kisah itu antara secebis azimat yang saya bawa pulang daripada sebuah konvensyen kekeluargaan yang kami sekeluarga hadiri hampir tiga minggu yang lalu. Pak Cahyadi (Jahjadi) Takariawan yang popular dengan bukunya 'Di jalan dakwah aku menikah' dan 'Bahagiakan diri dengan satu isteri' merupakan penceramah utama dalam konvensyen tersebut. Kata Pak Jah, walau apa jua yang kita lakukan dalam hidup ini, lakukanlah di jalan dakwah. Hatta kalau mahu menanam pokok bunga sekalipun, tanamlah ia di jalan dakwah supaya pokok yang kita tanam itu mampu hidup subur, harum bunganya dan indah dipandang. Tidaklah pokok itu nanti menjadi kering, layu dan mati lalu akhirnya mendatangkan fitnah pula kepada orang yang menanamnya.


Menerusi pesanan Pak Jah itu saya lantas menanamkan azam dalam diri saya bahawa kita perlu melakukan amal sebanyak mungkin dan melakukan setiap amal itu dengan bersungguh-sungguh, kerana seperti semua hamba Allah yang lain, saya juga tidak tahu amal yang manakah yang mampu membawa saya ke syurga yang diidam-idamkan itu.