Wednesday, July 1

Semuanya Di Jalan Dakwah

Seorang wanita tua terbongkok-bongkok mengutip daun-daun kering yang bersepah-sepah di halaman rumah Allah itu. Setiap hari itulah yang dilakukan oleh wanita tua itu buat mengisi sisa-sisa usianya. Lantas seorang hamba Allah yang lain menegur wanita itu. "Kenapa kau bersusah-payah wahai nenek tua? Tidak usahlah kau berpenat-lelah lagi mengutip daun-daun kering itu. Bukankah kau sudah tua lagi uzur?". Wanita tua itu lalu menangis. "Setiap kali aku mengutip daun-daun yang gugur itu, aku bertasbih kepada Allah S.W.T. Aku amat berharap dengan cara itu dapat menjadi jalan membawa aku ke syurgaNya nanti. Sedangkan kau pula menyuruh aku berhenti daripada berbuat demikian?"


Kisah itu antara secebis azimat yang saya bawa pulang daripada sebuah konvensyen kekeluargaan yang kami sekeluarga hadiri hampir tiga minggu yang lalu. Pak Cahyadi (Jahjadi) Takariawan yang popular dengan bukunya 'Di jalan dakwah aku menikah' dan 'Bahagiakan diri dengan satu isteri' merupakan penceramah utama dalam konvensyen tersebut. Kata Pak Jah, walau apa jua yang kita lakukan dalam hidup ini, lakukanlah di jalan dakwah. Hatta kalau mahu menanam pokok bunga sekalipun, tanamlah ia di jalan dakwah supaya pokok yang kita tanam itu mampu hidup subur, harum bunganya dan indah dipandang. Tidaklah pokok itu nanti menjadi kering, layu dan mati lalu akhirnya mendatangkan fitnah pula kepada orang yang menanamnya.


Menerusi pesanan Pak Jah itu saya lantas menanamkan azam dalam diri saya bahawa kita perlu melakukan amal sebanyak mungkin dan melakukan setiap amal itu dengan bersungguh-sungguh, kerana seperti semua hamba Allah yang lain, saya juga tidak tahu amal yang manakah yang mampu membawa saya ke syurga yang diidam-idamkan itu.

No comments: