Wednesday, December 16

Surah Al-Fatihah dan Yaasin Buat Atuk

Panggilan telefon daripada Pak Uteh sedikit mengejutkan saya. Sudah lama bapa saudara saya ini tidak menghubungi saya kecuali ada hal-hal tertentu sahaja. Hati saya berdebar-debar. Entah mengapa saya dapat merasakan sesuatu. "Atuk dah nazak. Sekarang ni di hospital" beritahu Pak Uteh dicorong telefon. Seakan ditakdirkanNya, saya dan keluarga memang berada tidak jauh dari Hospital Melaka waktu itu kerana berhenti rehat dalam perjalanan pulang selepas bercuti di Kota Tinggi, Johor. Kami sekeluarga bergegas ke lokasi yang dimaksudkan. Hati saya sebak sebaik melihat atuk terlantar di atas katil dalam keadaan yang amat uzur. Sudah 'nyawa-nyawa ikan' bak kata orang. Pernafasan atuk sekadar berbantukan mesin. Mata atuk tertutup rapat, mulutnya pula sedikit terbuka. Kaki kanan atuk rupa-rupanya baru sahaja seminggu diamputasi sehingga paras lutut akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya sudah semakin serius. Tangan kiri juga sudah mula membengkak kesan penyakit itu. Saya sempat mengusap dahi atuk dan membisikkan kalimah syahadah di telinganya. Waktu itu air mata saya tidak dapat dibendung lagi. Sedih dan gementar membayangkan sakaratul maut yang sedang dilalui oleh atuk ketika itu. Selepas berbincang dengan doktor yang merawat, akhirnya keputusan dibuat supaya atuk dibawa pulang ke rumah. Atuk menghembuskan nafas terakhirnya sebaik mesin sokongan pernafasan dibuka lewat petang itu disisi isteri tercinta, semua anaknya, cucu-cucu, cicit-cicit juga sanak saudara pada usia 82 tahun.

Kali terakhir saya bertemu atuk ialah pada Aidilfitri yang lalu. Waktu itupun kesihatan atuk sudah semakin merosot dan ibu jari kaki kanannya baru saja diamputasi namun atuk masih mampu bergurau. Kini, tiada lagi atuk yang selalu menghubungi saya bertanyakan bila saya hendak pulang ke kampung di Tg Minyak? Tiada lagi atuk yang selalu cuba berusaha merapatkan hubungan saya dan adik dengan ayah yang telah meninggalkan kami sejak kecil. Tiada lagi atuk saya yang tidak pernah melupakan saya walaupun cucunya ini selalu tidak ingat akan satu-satunya datuknya yang masih ada sebelum ini. Hanya surah al-Fatihah dan Yaasin buat mengiringi Allahyarham atuk yang sangat saya sayangi. Semoga atuk tenang di sana dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman..amin.


2 comments:

umi adnin said...

Assalamualaikum,

Takziah faiz. Moga roh atuk faiz ditempatkan di kalangan orang yg beriman.

MamaHanan said...

Jazakillah dzilal. Faiz tak pernah melalui saat kehilangan org yg tersayang sebelum ini. Terngiang-ngiang skrip dalam slot Meniti Angin Malam dalam KBM dan lirik lagu Menanti Di Barzakh. Terfikir saat giliran sendiri yg tak tahu bila dan bagaimana?