Kami mengambil kesempatan melihat model-model keretapi dan replika kereta lembu yang ada sementara menunggu beca kosong tiba. Negeri Hang Tuah sememangnya tidak asing bagi saya kerana ayah kandung saya adalah anak jati negeri ini. Cuma setelah bertahun-tahun tidak singgah di sini keadaannya sudah jauh berbeza. Saya masih ingat, dahulu Dataran Pahlawan merupakan sebuah padang yang luas, tempat orang menaiki kereta lembu. Sekarang tiada lagi kereta lembu. Yang ada cuma replikanya sahaja. Kota A' Famosa juga sudah tampak begitu kerdil. Bangunan pusat membeli-belah yang gah berdiri telah menenggelamkan tarikan asal bandaraya tinggalan Parameswara itu. Kami hampir-hampir tidak perasan di mana duduk sebenarnya Kota A' Famosa sekiranya tidak menaiki Menara Taming Sari pada awalnya tadi.
Selepas agak lama menunggu, beca kami akhirnya tiba. Kami memilih menaiki dua buah beca. Takut nanti tidak terkayuh pula pakcik beca itu kalau kami berempat menaiki satu beca sahaja:) Saya seronok mendengar cerita Pakcik Osman yang mengayuh beca yang membawa saya dan Anfaal. "Yang ini muzium..yang itu mahkamah..Kalau adik nak bezakan bangunan tinggalan Portugis yang berbatu-bata, orang Belanda pulak yang berwarna merah dan kalau 'orang putih' bangunan tinggalannya berwarna putih tu" jelas Pakcik Osman dengan panjang lebar ibarat pemandu pelancong. Pemilik-pemilik beca di situ memang sangat kreatif. Setiap beca dihias indah sekali. Beca Pakcik Osman yang kami naiki siap dipasang pemain cakera padat yang memainkan lagu Hindustan. Saya terasa seolah-olah seperti pengantin yang sedang diarak pula.
Melaka alaf baru. Pemandangan dari atas Menara Taming Sari.
Melaka, memang dekat di hati saya. Bukan hanya disebabkan ia adalah tanah asal nenek moyang saya tetapi kerana nilai negeri itu sendiri yang mewah dengan sejarah dan pelbagai tarikan.
No comments:
Post a Comment