Wednesday, December 2

Cukupkah Pengorbananku?

Tanggal 10 Zulhijjah baru sahaja berlalu. Tarikh yang amat bermakna buat umat Islam seluruhnya kerana menghayati peristiwa bersejarah Nabi Ibrahim a.s mengorbankan anakandanya Nabi Ismail a.s. Begitu klise kenyataan ini. Adakah makna sebenar Aidiladha ini dapat dihayati oleh setiap insan Muslim itu masih belum tentu lagi. Jadi, untuk lebih menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim a.s itu kita perlu meletakkan diri kita di tempatnya. Saya membayangkan sekiranya saya diperintahkan Allah untuk menyembelih salah seorang daripada anak saya Anfaal atau Hanan. Logiknya tentu saya tidak tergamak melakukan yang sedemikian.


Mungkin bagi yang 'berduit' mudah sahaja setakat mengeluarkan sejumlah wang untuk bahagian haiwan yang dikorbankan tetapi menghayati dan melakukan pengorbanan sebenar itu amat mendalam ertinya. Saya amat tersentuh menyaksikan kisah pengorbanan seorang anak yang dipaparkan menerusi Buletin Utama malam tadi. Anak berusia 13 tahun itu menemani ayahnya yang mengalami penyakit otot menunaikan ibadah haji kerana tahu bahawa ada waktunya ibunya akan tinggal berasingan ketika di tanah suci. Anak muda itu begitu sabar melayan dan menjaga
ayahnya yang ternyata amat sukar untuk bergerak. Apa kata anak itu ketika ditemuramah wartawan? "Inilah masanya untuk saya membalas jasa ibu bapa yang telah membesarkan saya." Moga kebaikan anak itu diganjari Allah. Beliau masih terlalu muda tetapi matang benar sikapnya.

Syukur kepada Allah, tahun ini saya dapat menunaikan ibadah korban yang dagingnya dihantar kepada saudara-saudara Islam di Kemboja. Rasanya lebih baik sekiranya daging-daging korban itu diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan berbanding kita di Malaysia yang hampir setiap hari dapat menjamah hidangan daging. Lagipun tidak elok sekiranya selalu sangat makan daging merah. Hal ini juga signifikan dengan kenyataan dalam media elektronik yang menyatakan rakyat negara ini membazirkan 10 tan makanan setiap tahun (opss..bukan setiap tahun tetapi setiap hari). Banyaknya! Hal ini memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan mendenda barangsiapa yang membazirkan
makanan lagi. Sampai begitu pula jadinya. Betapa mewahnya kita dengan makanan ya.

Kalau tidak dihadiahkan, daging itu mungkin juga dibuat sup daging atau gulai lemak daging salai dan terung asam macam yang emak saya masak di kampung
tempoh hari. Sedapnya hingga menjilat jari! (Emm..bilalah agaknya masakan saya akan jadi sesedap masakan emak-emak?) Justeru, menghadiahkan atau memberikan bahagian daging korban kita kepada orang lain merupakan satu bentuk pengorbanan juga bukan..


.Yang ini 'pembantu' emak saya sedang tolong (menyibuk) membancuh adunan kek coklat di pagi Aidiladha. Alhamdulillah kek yang terhasil tidak termasuk dalam kategori 10 tan di atas kerana habis licin:)


No comments: