Monday, November 23

Hujan, Ihtifal dan Bonsai

Musim tengkujuh menjelma lagi. Begitulah kelaziman cuaca yang melanda bumi bertuah ini pada setiap hujung tahun. Saya kasihan dan simpati sekali terhadap rakyat di kawasan-kawasan yang dilanda bah. Namun apa daya insan yang amat rapuh. Sudah semestinya kita tidak akan mampu melawan kehendak alam. Di daerah ini pun hujan turun sepanjang hari sejak semalam lagi. Hujan lebat dan adakalanya berhenti seketika namun gerimis pula menyambung sehingga malam. Pakaian-pakaian yang dibasuh sekadar berlonggok di dalam bakul menunggu giliran untuk dijemur di teduhan yang amat terhad. Tidak boleh mengeluh kerana hujan, apalagi menyalahkan cuaca ini. Redha sahajalah kerana itu ketentuan yang terbaik. Peluang tidak dapat keluar dari rumah ini harus dinikmati secara positif. Justeru, hari ini saya dan keluarga dapat berehat dan menghabiskan masa bersama sepanjang hari, alhamdulillah.

Saya mengambil kesempatan untuk memindahkan gambar-gambar serta video yang kami rakam semalam ke cakera keras komputer riba. Semalam kami sekeluarga menghadiri Majlis Ihtifal tadika Anfaal yang diadakan di dewan Institut Latihan KEMAS di sini. Tatkala menyaksikan si cilik Anfaal dan rakan-rakan sekelasnya membuat persembahan di atas pentas, air mata saya hampir-hampir hendak tumpah. Hati saya berdetik. "Oh Tuhan, inikah anak yang saya lahirkan empat tahun dahulu?
Sudah semakin besar anak saya." Rasanya macam baru kelmarin Anfaal menyusu di pangkuan saya. Tidak dapat saya bayangkan perasaan saya pada masa akan datang ketika melalui pelbagai lagi detik penting dalam hidup anak-anak saya seiring usia mereka. Anfaal yang kami panggil "kakak" sempat melemparkan senyuman dan melambai-lambaikan tangan sebelum persembahan bermula. Dia kemudian dengan comel dan yakin sekali beraksi bersama rakan-rakannya mempersembahkan dikir dalam bahasa Arab berjudul "Aza abi azadi ummi".

Anfaal di kedudukan lima dari kiri.
(Sayang sekali saiz video terlalu besar untuk dimuatnaik.)



Keriangan Anfaal bertambah lagi selepas menerima hadiah Anugerah Khas Kecemerlangan Kepimpinan untuk kelas 4 tahun. Anfaal bukannya faham pun makna anugerah itu. Yang penting dia gembira kerana mendapat hadiah. Sebagai ibu bapa pastinya saya dan suami bangga dan bersyukur atas sifat kepimpinan yang ditonjolkan Anfaal. Menurut guru kelas Anfaal; Teacher Nurizan, anak sulung saya ini seperti guru kedua di dalam kelas. "Anfaal agak garang tetapi pada masa yang sama seorang pemalu." ulasnya.


Bersama Teacher Nur, guru kesayangan Anfaal.


Bersemangat sungguh menyanyikan lagu untuk guru-guru.


"Anak-anak ibarat pohon bonsai. Susah hendak menjaga serta menghasilkan pohon bonsai yang indah. Ada seni. Perlukan kesabaran yang tinggi. Kalau kita terleka walau sebentar, maka ia akan tumbuh tidak terurus. Justeru, tidak cantiklah pohon bonsai itu dan tidak jadi sepertimana yang kita hajatkan." Kata-kata Ustaz Alias Othman, salah seorang murabbi kami akan saya ingat sampai bila-bila insyaAllah. Munajat saya kepada yang Maha Esa agar 'bonsai-bonsai' saya tumbuh indah, renek dan 'menjadi' hingga sampai ke syurgaNya, ameen..




No comments: