Seminggu yang lalu saya di Melaka atas tiket wakil kolej sebagai AJK Majlis Konvokesyen yang diadakan di sana. Sekalung tahniah untuk semua bekas anak didik yang kini membawa haluan hidup masing-masing. Sebagaimana kata-kata yang sering saya kongsikan dengan pelajar-pelajar saya di dalam kelas "sekarang masa kamu hidup untuk belajar supaya selepas ini kamu boleh belajar untuk hidup." Kata-kata azimat ini saya perolehi daripada salah seorang guru saya tidak lama dahulu.
Bertemu semula para pelajar yang telah tamat pengajian di kolej dengan pelbagai ragam dan gaya sedikit menyentuh hati. Saya bersyukur melihat dan mendengar tentang mereka yang telah berubah ke arah yang lebih positif namun turut berdoa agar yang masih tercari-cari arah hidup dan jatidiri segera mendapat petunjuk.
Wajah-wajah ceria pada hari konvokesyen.
Ada antara mereka yang telah menjawat jawatan di bank-bank, membuka perniagaan sendiri dan bekerja di syarikat-syarikat swasta. Tidak kurang juga yang masih meneruskan perjuangan menuntut ilmu di IPTA dan IPTS tempatan. Yang bakal dan telah mendirikan rumahtangga hadir diiringi pasangan yang ada di kalangannya merupakan bekas rakan sepengajian dahulu. Wah! Semakin ramailah 'cucu' kami para pendidik di kolej nanti nampaknya ya. Sebagai guru tiada apa yang lebih membanggakan selain dapat melihat anak didiknya menjadi 'manusia'. Bukan intan permata atau pujian yang diharapkan. Cukuplah sekadar secebis ingatan dan ucapan terima kasih yang diterima. Itupun kalau ada yang sudi mengucapkan terima kasih.
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
No comments:
Post a Comment