Thursday, December 17

Beradu Di Atas Ombak

"Di sana tu! Itulah tempatnya" Kami masing-masing melihat ke arah yang ditunjukkan nun jauh ke tengah laut. "Tak bahaya ke untuk budak-budak ni?" soal saya ragu-ragu. "Kena perhatikan betul-betul lah, tak boleh leka. Kalau tidak, boleh terjatuh ke dalam laut." Selepas mengambil sedikit masa untuk berbincang maka akhirnya kami semua bersetuju untuk bermalam di atas rumah rakit itu. Ini kali pertama seisi keluarga mertua saya pergi bercuti bersama-sama. Perancangan oleh ibu mertua saya pada asalnya sedikit berbeza namun alhamdulillah terlaksana juga.


Percutian di atas rumah rakit di Tanjung Buai tempoh hari menyedarkan saya. Sebenarnya terdapat begitu banyak lagi destinasi atau perkara menarik di negara kita ini yang masih belum diterokai oleh warganya sendiri. Pertama kali saya merasakan pengalaman tinggal semalaman di atas rakit. Adakalanya terasa juga sedikit pening kepala ketika gelombang yang kuat tetapi ia ternyata pengalaman baru yang menyeronokkan walaupun kadang-kadang terhoyong-hayang juga dibuatnya.


Melayan karenah Anfaal, Hanan dan Aiman sepupu mereka.


Kemudahan yang disediakan cukup selesa. Bilik tidur dilengkapi dengan kipas angin atau penghawa dingin dan televisyen. Kemudian terdapat bilik air, tempat barbeku, dapur, ruang makan, dan surau. Semua peralatan elektrik menggunakan kuasa generator. Kalau hendak mendapatkan apa-apa keperluan pun tiada masalah kerana bot sentiasa bersedia untuk ke daratan. Tiada caj tambahan yang dikenakan kerana ia termasuk dalam bayaran sewa rakit.

Aktiviti barbeku bersama dan memancing di atas rakit dapat mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan. Menikmati hidangan makanan laut yang segar sambil disapa bayu laut dan dipayungi langit beribu bintang amat menyenangkan. Subhanallah..betapa banyak nikmat yang Allah berikan untuk kita nikmati, hargai dan syukuri. Pertama kali juga bagi saya makan telur belangkas. Rasanya pelik namun setelah lama dikunyah rasanya bertukar agak lemak seperti kacang hijau.



Telur belangkas bakar.

Kami pulang keesokan harinya berbekalkan sekotak ikan kerapu dan siakap, ketam serta belangkas segar dari sangkar di rumah rakit. Tidak lupa, kenangan manis beradu di atas ombak laut Cina Selatan di Tanjung Buai yang sememangnya seakan membuai-buai.






"Maka nikmat Rab (Tuhan) kamu yang manakah yang kamu dustakan?" (Surah Ar-Rahman)

2 comments:

NURUL IZZA said...

yaAllah..tgk juadah n gmbr mamahanan tgh layan tu terus lapar kebetulan sedang ganti puasa dek bersalin hr tu.huhu eh tapi tertya2 jugak..mcm ne diorg buat rumah tgh2 laut tu? xbahaya ke? risau juga bw budak2 kan.budak2 air mmg diorg suke je.tp xtau bahaya..seronok kan bercutid enga kluerga

MamaHanan said...

Itulah perkara pertama yg difikirkan..risaukan keselamatan anak-anak kecik ni. Memang sepanjang masa kat sana perhatikan diorang je, pergi mana-mana kena eskot..alhamdulillah semua selamat. Hehe..harap izza sabar ye dgn dugaan puasa ni. Nasib baik tak letak gambar ketam dan ikan bakar ke..