Saturday, February 7

Carik-carik Bulu Ayam

Sejak akhir-akhir ini Anfaal dan Hanan kerap bergaduh. Ada-ada saja sebab yang menjadi punca pergaduhan dan selalunya sebab-sebab itu cuma perkara kecil sahaja. Sebagai contohnya Anfaal si kakak mahu bermain basikal roda tiga dan pada masa itu jugalah Hanan si adik tiba-tiba hendak bermain basikal itu padahal dia sedang menunggang kuda plastiknya. Kadang-kadang mereka berebutkan anak patung yang sama dan adakalanya tanpa berebutkan apa-apa barang pun pergaduhan boleh tiba-tiba saja tercetus! Kalau anak-anak gadis kecil ini sudah mula bergaduh memang kecoh jadinya. Hanan akan menjerit memperdengarkan suara nyaringnya dan senjata utama pastilah gigitan daripada lapan batang gigi hadapannya. Selalunya kalau mereka bergaduh Anfaal lah yang akan mengalah tetapi saya tidak mahu membiasakan begitu dan tidak memenangkan Hanan kalau memang Hanan yang bersalah. Sebagai seorang ibu saya dapat mengenalpasti peribadi anak-anak walaupun mereka baru setahun jagung. Anfaal lebih lembut hati, penyayang dan sensitif. Hanan pula agak garang, tahan lasak dan keras hati, kalau mahukan sesuatu dia akan berusaha untuk mendapatkannya. Sifat kedua-duanya seolah-olah melengkapi antara satu sama lain. Kalau disuapkan makanan, Anfaal kurang makan sayur tetapi gemarkan ikan atau ayam manakala Hanan tidak begitu sukakan ayam atau ikan dan lebih cepat menghabiskan sayur-sayuran. Saya sering terfikir bagaimana agaknya ibu-ibu yang mempunyai anak-anak yang ramai menguruskan perbalahan antara anak-anak mereka? Sedangkan saya yang baru beranak dua inipun sudah terasa gamat sekali, tentulah mereka yang mempunyai anak yang ramai itu lebih besar cabarannya. Saya masih ingat lagi sewaktu saya masih kecil dahulu ibu selalu mengugut hendak memberikan kami minum air rebusan tali pusat kami sebagai langkah terakhir sekiranya saya dan adik-adik bergaduh lagi tentang hal yang remeh-temeh:) Namun sudah menjadi lumrah adik-beradik, sekejap bergaduh sekejap berbaik kemudian bergaduh lagi. Kalau tidak masakan boleh terhasilnya peribahasa carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga, bukan begitu?













'Tatak' (panggilan kakak oleh Hanan) dan Hanan pada masa-masa berdamai.





No comments: