Monday, February 16

Ilmu Yang Manis


Semalam saya telah mendapat kiriman khidmat pesanan ringkas daripada seorang kenalan. Kami sama-sama mengikuti kursus perguruan lepasan ijazah dalam cuti di IPSAH, Sg Petani sedikit masa dahulu. Berbunga rasa di hati kerana mendapat berita daripada seorang rakan seperjuangan yang jauh. Lantas saya teringat kenangan-kenangan semasa menuntut ilmu di IPSAH. Ambilan kursus saya ketika itu bersama dengan kelas JQAF dan pengajian Islam maka secara tidak langsung terbentuk biah solehah atau persekitaran yang agak baik di sana. Sering juga terjadi apabila saya disangkakan pelajar kelas JQAF atau pengajian Islam. Mungkin kerana penampilan saya. Bagi saya itu adalah pandangan stereotaip yang agak ketinggalan zaman kerana terdapat ramai pelajar kelas JQAF dan pengajian Islam yang tidak juga kelihatan seperti kebiasaannya para ustazah.


Kami mengikuti program Bina Insan Guru (B.I.G) di Pulau Pangkor yang merupakan program 'outdoor' sepenuhnya. Oleh sebab yang menjadi ketua pada waktu itu
adalah seorang ustaz maka program tersebut sedikit sebanyak menjadi ala-ala perkhemahan ibadah kerana tidak lekang daripada doa, tazkirah dan pengisian yang bermanfaat.

Pengalaman belajar di negeri jelapang padi banyak memberi nilai tambah terhadap diri saya. Harga makanannya yang lebih murah berbanding di tempat tinggal saya, kemesraan para pensyarah IPSAH serta loghat utara yang mencuit perasaan pasti akan terus tersimpan di kotak ingatan saya. Bak kata orang jauh berjalan luas pemandangan.




No comments: