Mentari pagi masih belum menampakkan dirinya. Saya terpisat-pisat bangkit daripada tidur. Ada bunyi aneh yang kedengaran dari arah dapur. Bilik hadapan saya jenguk. Kelihatan baba sedang menunaikan fardhu Subuh. Saya lantas melangkah ke arah dapur. Sah! Bunyi itu datang dari arah luar rumah. Perlahan-lahan tingkap dapur saya buka. Mata saya yang masih kabur-kabur terus saja membulat..Subhanallah! Saya cepat-cepat memanggil baba yang baru selesai memberikan salam yang kedua. "Bang..cepat! Arnab kita dah bersalin!" Rupa-rupanya bunyi yang saya dengar tadi adalah bunyi salah seekor makhluk kecil itu menjerit kerana dipijak si bapa iaitu arnab jantan si Bubu. Mungkin si bapa terkejut dan 'nervous' agaknya.
Sebaik pintu dapur dikuak kelihatan bayi-bayi yang masih merah. Salah seekor daripadanya telahpun berada di atas lantai, bolos dari kandang. Cepat-cepat baba kutip dan letak di dalam besen kecil dialas dengan kain. "Yang mana satu ibunya? Si Koko atau si Hitam?" Kalut juga kami suami isteri menguruskan kelahiran baru tersebut. Almaklumlah kelahiran sulung, kembar tiga pula. Anfaal dan Hanan pun bukan main seronok sebaik terbangun dek kekecohan mama dan babanya. "Anfaal tak nak pergi sekolah tadika hari ni..nak tolong mama jaga baby arnab" Sibuk dua orang anak kecil hendak menjadi jururawat si arnab. Alhamdulillah, arnab-arnab yang kami pelihara sejak enam bulan lepas kini sudah melahirkan generasi keduanya; si Hitam, si Putih dan si Kelabu.
2 comments:
salam..kak,tkde gmbar kelincir tu ke? :-) ---ude---
kamera digital kitorg kan rosak..tak dapat nak snap gambar hitam, putih dan si kelabu kecik tu..takpe, nanti bawa balik yg 'live' punye..huhu:)
Post a Comment