Tentang kehidupan, impian dan manifestasi lafaz ikrar kita setiap hari terhadap Yang Maha Pencipta
Saturday, May 23
Jadi Pendidik Senang??
Terima Kasih dan Senyuman
"Terima kasih banyak-banyak, puan." Ringkas ucapan A sambil tangannya menghulur sebuah objek kecil berbungkus cantik kepada saya. Saya terkedu namun bibir mengulum senyum. "Cantiknya hadiah ni..terima kasih kembali ya A" ucap saya lantas kami bersalaman sebelum A meminta diri. A merupakan salah seorang pelajar semester akhir di kolej ini. Dia juga sempat memohon saya mendoakan agar dia berjaya dalam ujian memandunya pada keesokan hari. Hati saya sedikit tersentuh dan terharu. Ini bukanlah kali pertama pelajar menghadiahkan sesuatu kepada saya tetapi penghargaan dan ucapan terima kasih itu begitu bernilai bagi seorang pendidik seperti saya. Memang kalimah itu mudah, sekadar dua buah perkataan. Meskipun begitu, bukan setiap hari ada pelajar yang datang bertemu saya secara peribadi seperti itu semata-mata untuk mengucapkan terima kasih kerana telah mengajar atau mendidik mereka. Tambahan pula institusi ini bukanlah sebuah sekolah. Pelajar-pelajar di sini semuanya sudah di peringkat usia awal dewasa. Bagi saya tidak perlu sejambak bunga atau sekotak hadiah. Kami juga bukan minta disanjung atau dipuja. Cukuplah dengan lafaz ucapan terima kasih dan sebuah senyuman ikhlas buat penghibur jiwa kami para pendidik.
Sambutan Hari Guru Yang Ceria
"Diminta para peserta acara mencari harta karun berkumpul mengikut jabatan masing-masing" umum pengendali acara iaitu Encik K. Tidak berapa lama kemudian acara pun bermula. Saya merupakan salah seorang ahli kumpulan yang mewakili jabatan saya untuk acara ini. Kami lantas berkejar-kejaran ke enam buah lokasi 'checkpoint' yang berbeza di sekitar kawasan kolej. Bagi menyelesaikan misi mencari harta karun, kami dikehendaki menyelesaikan permainan Sudoku, menghabiskan sebotol air teh pekat tanpa gula dan Twisties perisa wasabee kemudian masuk pula ke dalam kolam ikan bagi mencari sepuluh keping syiling 1 sen. Usaha kami tidak sia-sia kerana jabatan saya muncul juara pencarian harta karun. Hadiahnya? Harta karun yang rupa-rupanya hanyalah sebungkus mee segera. Geram ada, geli hati pun ada. Tidak mengapa, yang penting aktiviti-aktiviti seumpama ini dapat juga mengurangkan tekanan menyemak tugasan dan kertas peperiksaan pelajar pada akhir semester ini. Siapa kata jadi guru atau pendidik itu senang? Jika benar masakan penghuni di hospital mental Tg Rambutan sana paling ramai di kalangan pendidik. Ini bukan omongan tetapi betul-betul kejadian..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment