Wednesday, May 26

Sedang Diselenggara

Susahnya mencari template yang betul-betul berkenan di hati. Mungkin sudah sifat orang yang lahir bulan September agaknya, sangat setia kepada sesuatu..:) Sayang sungguh pada template lama blog saya ini tetapi naluri untuk melihat kelainan juga membuak-buak. Selepas mencari dan mencuba akhirnya inilah template yang paling sesuai dengan kehendak hati setakat ini. Mohon maaf kalau ada yang menyakitkan pandangan sebab ia masih belum siap diselenggara sepenuhnya. Sedang mencari masa dan mencari 'mood' yang sesuai pula.

Sunday, May 16

Buat Cikgu Cikgi

"Ok, i'll see you next week. Thank you class. Assalamualaikum..". Itu antara skrip klise saya setiap kali selesai kelas dengan pelajar-pelajar di kolej. Sementara para pelajar beratur menuju keluar pasti seorang demi seorang akan mengucapkan "Thank you madam" atau "Thank you puan". Kadang-kadang cuma seorang dua sahaja yang ucap terima kasih. Yang lain cuma sibuk hendak berjumpa muka pintu. Kemudian masing-masing hilang ke kelas berikutnya atau ke kafeteria kolej melepak dengan kawan-kawan. Diam tak diam sudah hampir enam tahun saya buat kerja ini. Sejak Anfaal belum lahir hingga kini Anfaal sudah hampir berusia lima tahun. Saya tidak pernah bercita-cita atau terfikir hendak bertugas sebagai seorang pendidik. Jauh sekali hendak tinggalkan jawatan saya dahulu. Namun Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Susah sebenarnya jadi pendidik. Walaupun cutinya lebih daripada kerjaya lain, kita bercakap tentang urusan membentuk manusia. Tambah lagi di peringkat saya yang boleh diibaratkan seperti hendak melentur buluh. Ibu bapa mereka pun tidak kisah kalau perangai mereka serupa 'hantu' atau sudah macam bohsia, kenapa pula kita yang tiada apa-apa hubungan ini hendak sibuk-sibuk hal mereka? Cuma nasihat dan teguran yang termampu sahaja dapat diberikan. Sekurang-kurangnya terlepas daripada pertanggungjawaban di akhirat nanti. Yang lain tu pandai-pandailah fikir sendiri (walaupun sebenarnya yang difikirkan sendiri itu pun memang tidak betul..) Kalau pelajar-pelajar berjaya, alhamdulillah. Kalau ada yang kecundang, mudah-mudahan bertemu jalan pulang. 





Selamat Hari Guru 2010.










Monday, May 10

Setiap Hari Adalah Hari Ibu


Jalan ke syurga di telapak kakinya.
Suaranya mampu menenangkan.
Belaiannya ada kuasa ajaib.
Sentuhannya penuh kasih.
Ada redup pada matanya.



Ibu, 
merawat yang terluka,
menyembuh semua kepedihan,
pendoa yang setia,
memberi segala tanpa mengira apa yang akan diterima.

Hebatnya pengorbanan seorang ibu.
Semoga syurga juga menjadi milik ibu, bukan hanya di telapak kaki..ameen.

Jerih payah ibu lebih saya hayati dan hargai apabila diri sendiri telah bergelar seorang ibu.
Khas buat ibu saya Rusnah bt Abd Aziz.
Terima kasih mak atas segalanya..saya akan sentiasa menyayangi dan mendoakan mak insyaAllah.
Tidak lupa juga buat ibu mertua saya Misliah bt Musa yang sentiasa sabar melayani karenah anak menantu serta cucu-cucunya. Semoga Allah merahmati kalian.



Tuesday, May 4

Masa Untuk Masa Berkualiti

Menurut seorang ustaz yang juga merupakan pakar motivasi yang saya dengar ceramahnya di radio IKIM.fm, ibu bapa hendaklah memperuntukkan masa untuk beraktiviti bersama anak-anak. Sebagai contohnya pergi berkelah, riadah bersama, membaca, menonton televisyen bersama, melancong dan macam-macam lagi. Aktiviti ini khusus untuk menzahirkan perasaan kasih sayang dan ambil berat terhadap anak-anak. Hal ini penting bagi mengelakkan anak-anak rasa terpinggir. Akibatnya anak-anak akan mula meraih kasih sayang dan perhatian pihak lain termasuk rakan sebaya atau Bangla dan Indon di luar sana. Lebih-lebih lagi anak-anak yang sedang meningkat remaja. Rasanya anak-anak kecil macam Anfaal dan Hanan pun tidak terkecuali apabila adakalanya cakap pengasuh atau cikgu tadika dia lebih didengar daripada cakap kita.
 
Pada pandangan saya, sebaik-baiknya ibu bapa perlu habiskan seberapa banyak masa yang ada bersama anak-anak. Tambah pula bagi ibu bapa yang bekerja dari pagi hingga petang seperti saya. Mungkin ada sesetengah orang mengatakan masa yang singkat bersama anak-anak pun tidak menjadi hal asalkan masa itu berkualiti, namun perlu diingat mungkin kualiti itu cuma pada nilaian kita ibu bapa sahaja tetapi bagi anak-anak tidak. Justeru, saya berusaha sedaya upaya untuk menghargai dan menikmati setiap detik bersama Anfaal dan Hanan meskipun sekadar main-main berlakon jadi pengantin atau main jual-jual. Kadang-kadang seronok juga apabila melayan karakter keanak-anakkan dalam diri kita. Boleh hilangkan tekanan sekejap.
 
Ini dia dua orang model cilik untuk pakaian pengantin (pelik). Seorang dengan fesyen belit-belit ala burqa Pakistan dan seorang lagi ala selebet dengan tuala mandi dan patung Bunny..kira cantik la tu..konsep yang ingin diketengahkan oleh pereka fesyen ialah yang penting menutup aurat.