Thursday, October 21

ETS, pantas tetapi...

Penat baru pulang daripada berkursus di Jawi hujung minggu lalu belum pun  hilang. Pulang bekerja keesokan harinya dimaklumkan yang saya perlu menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur pula. Allah! Saya hanya mampu mengeluh tetapi akur juga kerana sudah tugas dan amanah. Dalam pada itu saya turut teruja sebab inilah peluang untuk mencuba perkhidmatan ETS (Electric-Train-Set) yang menjadi bualan orang sekarang ini. Tiketnya boleh tahan..boleh tahan mahalnya seperti yang diperkatakan. Saya memilih tren pada waktu pagi buta jam 4.10 pagi dari Batu Gajah ke KL Sentral. Ternyata ETS memang menepati waktu dan bergerak lebih laju daripada tren biasa. Cuma bagi saya kurang sedap mata memandang kerana petugas-petugas wanita yang berperanan sebagai pramugari di dalam tren berpakaian ketat dan tidak menutup aurat. Saya tertanya-tanya di dalam hati, imej apakah yang hendak ditonjolkan oleh pengurusan ETS dengan uniform yang sebegitu rupa? Saya yakin tidak ada ruginya jika pengurusan ETS mensyaratkan semua petugas wanita Islam berpakaian sopan dan menutup aurat.  Semasa perjalanan pulang juga tidak ada beza. Bahkan agak teruk kerana laluan ke platform ETS di stesen KL Sentral tidak dibuka sedangkan tren sudahpun tiba. Akibatnya ada penumpang yang nyaris-nyaris terlepas menaiki tren. Tidak pasti kebenarannya tetapi berdasarkan pemerhatian saya seakan ada konflik pula antara staf pengurusan tren KTM biasa dengan staf tren ETS. Mungkin itu hanya pandangan peribadi saya namun mengambil kira faktor perkhidmatan ETS yang masih baru beroperasi maka kekurangan itu bolehlah dimaafkan dengan harapan ia akan semakin dipertingkatkan seiring berlalunya masa.