Thursday, December 30

Projek 'keras tangan' bersama Anfaal dan Hanan

Waktu cuti yang panjang tidak wajar dibiarkan berlalu begitu sahaja. Inilah masa yang paling sesuai untuk beraktiviti bersama anak-anak tersayang. Kalau tidak anak-anak saya, Anfaal dan Hanan pasti akan menghadap televisyen sahaja pada waktu petang bermula daripada siaran 'Wonderpets" jam 2.30 petang sehingga Upin Ipin jam 5.30 petang. Hebat sungguh pengaruh media elektronik terhadap kanak-kanak. Sepertimana yang pernah dikatakan oleh seorang tokoh; "televisyen itu ibarat peluru ajaib". Lebih berbahaya daripada peluru sebenar. Memang tidak silap lagi pendapat tokoh tersebut.


Bagi mengelakkan Anfaal dan Hanan melekat sahaja di hadapan peti elektronik itu maka saya pun mengajak anak-anak saya melakukan aktiviti kraftangan iaitu membuat penanda pintu bilik daripada tanah liat polimer. Proses hendak membuat penanda pintu tidaklah susah pun kerana ia dalam bentuk kit siap yang telah saya beli di sebuah kedai kraftangan. Kedai The Craft Workshop ini saya temui secara kebetulan semasa pulang daripada Hospital Pantai selepas salah satu sesi temujanji saya di sana. Kedai tersebut begitu menarik perhatian dan menjual banyak bahan kraftangan. Pemilik kedai  mencadangkan saya membeli kit tanah liat yang comel berharga RM18.90 itu berdasarkan usia anak-anak saya. Apabila saya tunjukkan sahaja kit tersebut kepada Anfaal dan Hanan, mereka begitu teruja dan tidak sabar-sabar lagi hendak memulakan projek. Kit tanah liat ini memang mudah digunakan oleh kanak-kanak di bawah pengawasan dan bimbingan ibu bapa. Cuma perlu bancuhkan serbuk tanah liat, masukkan ke dalam acuan, tunggu sehingga kering dan warnakan ikut kreativiti, kemudian taburkan "glitter".


Masing-masing sedang tekun mewarna tetapi terpaksa bergilir-gilir sebab berus hanya ada satu.
 


Tadaaa..sudah siap pun penanda pintu bilik Anfaal dan Hanan. Selepas warna dan "glitter" kering sepenuhnya bolehlah tuliskan nama Anfaal dan Hanan menggunakan pen penanda berdakwat kekal.



Tuesday, December 28

Langkawi Yang Mahal

 

Memang sudah lama saya teringin hendak ke Langkawi. Sejak baru lepas mendirikan rumah tangga sehingga kini sudah beranak dua barulah hasrat itu tercapai..alhamdulillah. Seumur hidup saya inilah kali pertama sampai ke sana (kesian saya!). Pergi pula pada masa yang semuanya sudah mahal. Kalau beberapa tahun dahulu harga tiket feri ke Langkawi cuma RM12 tapi sekarang sudah menjangkau RM20. Hendak naik kereta kabel di Gunung Mat Chincang, seorang dewasa dikenakan tiket RM15. Pendek kata semua tempat tarikan pelancong di Langkawi adalah berbayar! Mujurlah bersiar-siar dan mandi di pantai tidak dikenakan bayaran. Kadar sewa hotel dan chalet juga naik melambung-lambung pada musim cuti begini.

Walau bagaimanapun memang tidak dinafikan program cuti-cuti 3 hari 2 malam kami  ke Langkawi memang menyeronokkan. Cuma hajat hendak mengikuti 'island hopping' tidak kesampaian kerana faktor masa yang tidak mengizinkan. Apapun kami berpuas hati sebab boleh dikatakan satu pulau kami sudah pusing. Kalau mahu meneroka semua tempat memanglah tidak sempat. Bagi saya Langkawi memang sebuah lokasi pelancongan yang sangat menarik dan ciptaan Allah yang amat indah tetapi kalau diberi peluang untuk menetap di sana rasanya saya akan berfikir sepuluh kali terlebih dahulu. Melancong ke sana beberapa hari mungkin seronok tetapi untuk 'terperap' di sebuah pulau untuk bertahun-tahun lamanya...hmm, itu memang bukan saya. 
Bermain pasir di Pantai Cenang.

Wildlife Park - salah sebuah tempat yang saya syorkan sesuai untuk bawa anak-anak kecil.
Seram dan gayat juga menaiki kereta kabel. Kami naik bersama sepasang pelancong dari Peghancis.


 Anfaal dan Hanan di hadapan chalet tempat kami menginap - Desa Motel di Pantai Cenang. Terima kasih kepada pemiliknya kerana menyediakan tempat yang sangat selesa dan berpatutan.