Tentang kehidupan, impian dan manifestasi lafaz ikrar kita setiap hari terhadap Yang Maha Pencipta
Sunday, July 12
Kemasukan Baru Lagi
Minggu lepas saya agak sibuk sedikit. Seluruh warga kolej menyambut kedatangan lebih 200 orang pelajar baru mendaftar masuk. Macam-macam gaya dan aksi pelajar mahupun ibu bapa yang datang menghantar anak-anak. Ada yang nampaknya ceria dan bersemangat. Tidak kurang juga yang kelihatan monyok sahaja. Tiba sesi bersama mentor pelajar-pelajar baru. Mungkin lantaran ada yang baru pertama kali berjauhan dengan anak-anak, senarai panjang pesanan disampaikan oleh ibu bapa kepada mentor anak masing-masing. "Anak saya ni sakit jantung berlubang, tak boleh berlasak-lasak puan". "Saya akan ke USA dalam masa terdekat, tolongah tengok-tengokkan anak saya. Nanti saya akan telefon puan dari semasa ke semasa". Aduh, sudah jadi macam pusat penjagaan pula! Para pelajar anak-anak tuan-tuan dan puan-puan di sini bukanlah anak-anak kecil lagi. Semuanya telah berumur 18 tahun ke atas. InsyaAllah mereka boleh jaga diri sendiri. Sudah sampai masanya mereka berdikari dan berdiri di atas kaki sendiri.
Itu kes ibu bapa yang terlalu mengambil berat seolah-olah tidak mahu melepaskan anak. Ada juga kes anak-anak yang dipaksa belajar oleh ibu bapa. Sudahnya baru sehari menjalani minggu orientasi di sini, pelajar tersebut sudah cabut lari. Menyusahkan pula para felo dan pihak kolej. Mungkin ibu bapa tidak mendengar langsung apa sebenarnya kehendak anak itu sebelum dihantar ke sini. Anak dihantar belajar bidang yang tidak diminati atas kehendak ibu bapa, bukan kehendak sendiri. Maka jadilah seperti itu. Tambahan pula pengajian di kolej ini tanggungan MARA sepenuhnya. Ibu bapa tidak perlu keluar wang untuk yuran pengajian. Cuma perlu membayar yuran asrama sahaja. Jika tidak bayangkan berapa jumlah yang perlu dibayar untuk mengikuti program Higher National Diploma, dalam matawang Pound Sterling pula tu. Sememangnya hal inilah yang menjadi faktor utama kebanyakan ibu bapa menghantar anak belajar di sini walaupun ada sesetengah ibu bapa yang sebenarnya lebih daripada mampu.
Betapa beruntungnya para pelajar, setiap seorang juga menerima elaun lebih RM250 setiap bulan oleh pihak MARA. Ia bukan pinjaman atau biasiswa perlu bayar balik. Sayangnya, ramai pelajar yang lupa tentang hal itu. Justeru, mereka khianati amanah dan harapan yang diberi oleh ibu bapa supaya belajar bersungguh-sungguh. Mereka persiakan wang elaun untuk beli telefon bimbit baru, pergi jalan-jalan di Jusco, Lumut atau keluar dengan teman lelaki/ wanita dan entah apa-apa lagi hal yang tidak penting. Ibu bapa pelajar pun lupa juga. Apabila elaun lambat sedikit diberi, ramai yang sudah mula bising-bising telefon ke kolej. Bukan niat untuk melepas geram tetapi rasanya pelajar-pelajar termasuk ibu bapa mereka patut lebih bersyukur dengan nikmat ini.
Monday, July 6
Cerita Usrah
"Hari ni saya nak belanja makan sate Kajang" beritahu Kak Yati sebaik kami sampai di rumahnya petang itu. Bulan Jun bulan usrah di Ipoh, bulan ini di Seri Iskandar. Memandangkan jarak Ipoh dengan Seri Iskandar lebih kurang 40km maka terpaksalah bergilir-gilir begitu. "Eh, di Ipoh pun ada sate Kajang ya?"soal saya yang baru tahu tentang kewujudan restoran yang menjual sate Kajang di sekitar Ipoh. Saya dan suami bukannya jenis yang suka explore tempat makan baru. Manalah kami hendak tahu tentang tempat makan yang sedap-sedap.
Selepas menjamu selera kami ke rumah akhawat pula. Tujuan utama adalah untuk menziarah Makcik Mah yang baru beberapa hari selesai menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di dalam rahim. Beliau kelihatan masih lemah namun beransur-ansur pulih. Kami mengambil kesempatan bertanya khabar dan berbual-bual sebentar sahaja memandangkan waktu sudahpun pukul 9.30 malam ketika itu. Adab menziarah orang yang sedang sakit tidak boleh berlama-lama untuk memberi ruang kepada orang yang sedang sakit itu untuk berehat. Pulang semula ke rumah Kak Yati kemudiannya saya dan pemastautin-pemastautin Bandar Seri Iskandar memulakan perjalanan pulang yang mengambil masa hampir satu jam. Wah! Penat tetapi memberi kepuasan spiritual. Usrah kali ini benar-benar sesi praktikal.
Usrah makan mee goreng Kak Tah
Kali ini usrah di Seri Iskandar, secara spesifik lagi di UTP. Agenda usrah berlangsung seperti biasa dengan tilawah, kultum, buah tangan daripada naqibah dan pengisian mengikut perancangan. Semak semula silibus usrah. Kami turut berbincang tentang isu semasa berkenaan Michael Jackson yang baru meninggal dunia dan kisah pelajar UTM yang merendam bayi luar nikahnya dalam tin cat. Hari itu Kak Tah yang keletihan sempat juga memasak mee goreng yang spesial hanya dalam masa 15 minit. Ala-ala Naked Chef, Jamie Oliver.
Usrah makan buah
Usrah minggu lepas diadakan di rumah kami. Sudah semestinya Anfaal dan Hanan pun usrah bersama sebab baba juga ada usrah di Ipoh. Mula-mula Anfaal hendak ikut baba tetapi kasihan pula nanti pulang lewat, tidur lewat dan esoknya mesti susah hendak bangun ke tadika. Akhirnya Anfaal tinggal di rumah saja. Giliran saya buat pengisian kali ini. Sambil membentangkan tafsir sambil menyusukan Hanan. Kalau difikirkan memang tidak selesa tetapi perlu sesuaikan dengan keadaan begitu. Yang paling menyeronokkan Anfaal dan Hanan sebab kali pertama makan menggunakan talam. Makan ramai-ramai berkongsi satu talam sahaja. Nasi dan lauk yang kurang sedap pun habis licin. Kemudian Kak Jas bawa rambutan satu plastik dan durian dua biji. Lepas tamat usrah, makan buah-buahan pula. Anak-anak saya yang berdua ini memang gemarkan durian. Saya pula tidak lalu sangat. Makan ikut mood, kalau durian itu nampak sedap baru saya teringin hendak menjamahnya.
Kalau dahulu Anfaal selalu marah-marah sekiranya saya hendak pergi usrah dan pulang lewat. Sekarang lain pula ragamnya, kalau saya hendak pergi usrah dia mesti hendak ikut sama. Iyalah..kalau setiap kali usrah dapat jumpa makcik-makcik yang rajin melayan karenah Anfaal, dapat jalan-jalan dan makan-makan siapa yang tidak suka?
"Jangan kamu perkecilkan sesuatu yang makruf walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria." (Riwayat Al Hakim dan Al Baihaqi)
Friday, July 3
Motivasi Untuk Terus Berbakti
Seorang sahabat pernah memberitahu saya bahawa perkataan motivation itu sebenarnya berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu motive and action. Kalau dalam bahasa Melayu motif dan aksi. Apabila difikir-fikirkan semula benar juga..apabila ada motif barulah kita boleh beraksi. Maksudnya kita tahu apa matlamat atau objektif tindakan kita itu. Menyentuh tentang soal motivasi, sebuah program berbentuk kem motivasi untuk golongan belia bakal berlangsung pada 18 dan 19 Julai nanti di Kem Tok Sakah, Teluk Senangin. Sememangnya tidak rugi langsung menyertai program seumpama ini kerana saya sendiri pernah melaluinya dan pengalaman itu sangat berbaloi. Saya sudah buat promosi kepada beberapa orang rakan sekerja dan kenalan. Kalau hendak meningkatkan motivasi diri inilah masa, peluang dan caranya!
Wednesday, July 1
Semuanya Di Jalan Dakwah
Menerusi pesanan Pak Jah itu saya lantas menanamkan azam dalam diri saya bahawa kita perlu melakukan amal sebanyak mungkin dan melakukan setiap amal itu dengan bersungguh-sungguh, kerana seperti semua hamba Allah yang lain, saya juga tidak tahu amal yang manakah yang mampu membawa saya ke syurga yang diidam-idamkan itu.