Sunday, July 12

Kemasukan Baru Lagi


Minggu lepas saya agak sibuk sedikit. Seluruh warga kolej menyambut kedatangan lebih 200 orang pelajar baru mendaftar masuk. Macam-macam gaya dan aksi pelajar mahupun ibu bapa yang datang menghantar anak-anak. Ada yang nampaknya ceria dan bersemangat. Tidak kurang juga yang kelihatan monyok sahaja. Tiba sesi bersama mentor pelajar-pelajar baru. Mungkin lantaran ada yang baru pertama kali berjauhan dengan anak-anak, senarai panjang pesanan disampaikan oleh ibu bapa kepada mentor anak masing-masing. "Anak saya ni sakit jantung berlubang, tak boleh berlasak-lasak puan". "Saya akan ke USA dalam masa terdekat, tolongah tengok-tengokkan anak saya. Nanti saya akan telefon puan dari semasa ke semasa". Aduh, sudah jadi macam pusat penjagaan pula! Para pelajar anak-anak tuan-tuan dan puan-puan di sini bukanlah anak-anak kecil lagi. Semuanya telah berumur 18 tahun ke atas. InsyaAllah mereka boleh jaga diri sendiri. Sudah sampai masanya mereka berdikari dan berdiri di atas kaki sendiri.


Itu kes ibu bapa yang terlalu mengambil berat seolah-olah tidak mahu melepaskan anak. Ada juga kes anak-anak yang dipaksa belajar oleh ibu bapa. Sudahnya baru sehari menjalani minggu orientasi di sini, pelajar tersebut sudah cabut lari. Menyusahkan pula para felo dan pihak kolej. Mungkin ibu bapa tidak mendengar langsung apa sebenarnya kehendak anak itu sebelum dihantar ke sini. Anak dihantar belajar bidang yang tidak diminati atas kehendak ibu bapa, bukan kehendak sendiri. Maka jadilah seperti itu. Tambahan pula pengajian di kolej ini tanggungan MARA sepenuhnya. Ibu bapa tidak perlu keluar wang untuk yuran pengajian. Cuma perlu membayar yuran asrama sahaja. Jika tidak bayangkan berapa jumlah yang perlu dibayar untuk mengikuti program Higher National Diploma, dalam matawang Pound Sterling pula tu. Sememangnya hal inilah yang menjadi faktor utama kebanyakan ibu bapa menghantar anak belajar di sini walaupun ada sesetengah ibu bapa yang sebenarnya lebih daripada mampu.

Betapa beruntungnya para pelajar, setiap seorang juga menerima elaun lebih RM250 setiap bulan oleh pihak MARA. Ia bukan pinjaman atau biasiswa perlu bayar balik. Sayangnya, ramai pelajar yang lupa tentang hal itu. Justeru, mereka khianati amanah dan harapan yang diberi oleh ibu bapa supaya belajar bersungguh-sungguh. Mereka persiakan wang elaun untuk beli telefon bimbit baru, pergi jalan-jalan di Jusco, Lumut atau keluar dengan teman lelaki/ wanita dan entah apa-apa lagi hal yang tidak penting.
Ibu bapa pelajar pun lupa juga. Apabila elaun lambat sedikit diberi, ramai yang sudah mula bising-bising telefon ke kolej. Bukan niat untuk melepas geram tetapi rasanya pelajar-pelajar termasuk ibu bapa mereka patut lebih bersyukur dengan nikmat ini.

1 comment:

Werdah said...

salam ziarah.. mudah2an dapat menerapkan pengajaran kepada anak2 di sekolah tentang bersyukur..