Wednesday, January 6

Memberi Untuk Menerima



Ketika di hospital tempoh hari saya habiskan banyak masa dengan membaca. Mungkin itu antara hikmahnya kerana sebelum ini saya selalu berharap agar saya punya masa yang lebih panjang untuk membaca. Rutin harian yang dipenuhi pelbagai tuntutan menyebabkan saya jarang dapat menghabiskan masa yang panjang untuk membaca. Dua naskah  majalah, dua buah buku dan dua naskah akhbar telah saya baca dari kulit ke kulit sepanjang berada di wad. Seronoknya dapat membaca secara berterusan tanpa gangguan.

Topik utama "Hidup Untuk Memberi" dalam majalah Solusi yang saya baca mengetuk minda saya supaya pada tahun baru ini saya lebih banyak memberi daripada menerima. Mengambil iktibar daripada kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w yang sentiasa memberi bukan sahaja sewaktu senang malah sewaktu Baginda susah membuatkan saya terasa malu dengan diri sendiri. Iyalah, pada zaman dahulu, Baginda cuma makan roti, tamar dan tidur pula di atas tanah tetapi  Baginda tidak putus-putus memberi. Diriwayatkan bahawa pemurahnya sifat Rasulullah menyumbang kebajikan lebih kencang daripada angin yang kencang. Sedangkan kita pula pada zaman ini dapat makan yang sedap-sedap sehingga membazir dan tidur di atas tilam yang empuk namun masih berat tangan untuk memberi. Alangkah bahagianya dunia ini jika semua insan lebih pentingkan bagaimana untuk memberi berbanding bagaimana untuk mendapatkan. 

"We are here to complete not to compete"
"What you give you get back"
"No man becomes rich unless he enriches others"
"We make a living by what we get but we make a life by what we give"

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Allah berfirman, 'Berinfaklah, nescaya Aku akan memberi nafkah kepadamu.' Rasulullah kemudian berkata, "Tangan Allah sentiasa berisi penuh dan tidak akan pernah habis meskipun dinafkahkan siang dan malam. Apakah kalian mengetahui apa yang telah dinafkahkan oleh Allah sejak Dia menciptakan langit dan bumi? Sesungguhnya apa yang ada di tangan-Nya tidak akan pernah habis. Singgahsana-Nya ada di atas air, dan di tangan-Nya ada timbangan.'"

(Riwayat al-Bukhari)


1 comment:

ct said...

salam perkenalan sis....dari kak ct uk.