Saturday, June 26

Apabila Mama Yang Tidak Sihat

Kalau anak-anak sakit atau tidak sihat, mama dan baba boleh jaga. Paling tidak boleh bergilir-gilir berjaga pada waktu malam kalau perlu. Kalau baba yang tidak sihat pun tidak jadi masalah besar sangat sebab selalunya golongan bapa ini jarang jatuh sakit. Tetapi apabila mama yang tidak sihat, haru-biru juga urusan anak-anak. Bukan hendak menafikan peranan golongan bapa tetapi lazimnya perkara-perkara terperinci tentang urusan anak-anak dan hal ehwal rumahtangga diuruskan oleh ibu. Di mana letak baju sekolah anak? Berapa helai baju yang perlu dibawa ke rumah pengasuh? Golongan bapa jarang ambil pusing soal-soal remeh sebegitu. Oleh sebab itu lah saya selalu berdoa agar Allah pelihara kesihatan saya. Bukan kerana saya takut sakit tetapi saya bimbang kalau saya sakit atau tidak sihat, kasihan kepada suami dan anak-anak. Saya yakin naluri ibu majoritinya begitu. Mendahulukan keperluan keluarga berbanding diri sendiri. Mujurlah ketika saya tidak sihat selama beberapa hari baru-baru ini akibat sakit kepala dan gastrik yang teruk saya masih sedang bercuti. Jika tidak, bertambah lagi susah hati kerana tugasan di tempat kerja pula tertangguh dan tidak selesai. Apapun saya redha dengan penyakit dan gangguan kesihatan yang berlaku. Penyakit juga salah satu kifarah atas apa jua dosa yang telah dilakukan. Hakikatnya, kita hanya insan lemah lagi rapuh yang berhak diperlakukan oleh Allah menurut ketentuanNya. Pasti segala ketentuanNya adalah yang terbaik buat kita. Alhamdulillah.


1 comment:

Anonymous said...

Begitulah adanya..."By designed" oleh Allah yang Maha Bijaksana. Kaum Adam lebih berfikiran jauh, kaum Hawa lebih fokus kepada "detail". Bukti lelaki dan wanita saling melengkapi antara satu sama lain..."complement each other"...Allahu 'alam