Wednesday, April 28

Anfaal dan Hanan Ke Kembara Sufi

Seronok saya melihat gelagat Hanan menggoyang-goyangkan badan ke kiri dan ke kanan berulang-ulang ketika mendengar dendangan lagu daripada kumpulan Rabbani. Lucu dan geli hati pun ada. Memang sejak dari awal saya bercadang hendak membawa Anfaal menonton Konsert Kembara Sufi di UTP. Hanan pula tinggal saja dengan baba di rumah supaya boleh tidur awal. Namun lain pula ceritanya yang terjadi. Sebaik kami hendak keluar rumah, Hanan sibuk menangis hendak ikut sama. Akhirnya saya bawa juga Hanan pergi sekali walaupun tahu risikonya jika Hanan tidur nanti jauh hendak mendukung dia ke kereta (dan itulah yang berlaku..masyaAllah! kebas tangan mama dibuatnya!)

Kumpulan Rabbani

Niat saya membawa anak-anak menonton konsert tiada lain cuma untuk mendedahkan mereka kepada bentuk hiburan sebenar yang diharuskan dalam Islam. Ada sebabnya kenapa saya melarang mereka menyanyi lagu-lagu pop yang mengarut itu dan kenapa pula lagu-lagu yang ini boleh? Biar mereka tahu bahawa tidak salah untuk berhibur cuma biarlah kena pada tempatnya. Lagipun sudah menjadi fitrah manusia sukakan hiburan dan Islam tidak pernah bersifat jumud sehingga menyekat fitrah dan naluri insan normal.   

Saya sendiri juga rindu hendak menyaksikan persembahan nasyid secara langsung daripada kumpulan Rabbani yang sering membuat persembahan semasa di UKM dahulu. Memang ketara kelunakan suara Allahyarham Ustaz Asri begitu dirindui semua peminat nasyid. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Persembahan Azhan Atan dan kumpulan Shoutul Harakah juga tidak kurang hebat. Mantap sekali. Paling penting mereka bukan sekadar bernasyid untuk menghiburkan orang tetapi mesej dakwah yang ingin disampaikan lebih utama. 'Bingkai Kehidupan', 'Mana Milik Kita' dan  lagu untuk saudara-saudara kita di Palestin (tidak ingat tajuk sebenarnya) adalah tiga buah lagu yang paling mengusik jiwa saya pada malam itu. Masih terngiang-ngiang lagi bait-bait liriknya di telinga saya.   

Azhan Atan



Monday, April 26

Pen Merah Habis Dakwat

Pen biru pen merah, I love U jangan marah..

Minggu ini sudah masuk minggu terakhir pengajian. Minggu hadapan bakal bermulanya peperiksaan selama 3 minggu berturut-turut. Seperti biasa waktu-waktu begini tugasan pelajar  sudah bertimbun-timbun di atas meja. Semuanya menunggu giliran untuk diperiksa dan diberi gred. Itu belum termasuk lagi skrip-skrip ujian yang belum dilalui oleh pelajar-pelajar. Di sinilah masanya pen merah menjadi benda yang paling dikehendaki..di setiap tempat mesti ada. Sebatang di dalam beg tangan, dua batang di rumah, hatta di dalam kereta juga mesti ada. Manalah tahu kalau-kalau diperlukan nanti.  "Hmm..yang di depan ini sudah habis pula dakwatnya. Di mana lagi stok pen merah saya ni?".



Wednesday, April 21

Pengantin Baru

Selamat pengantin baru kepada adik ipar saya (Azhar) dan pasangannya (Naslina) yang baru sahaja memeterai ikatan pernikahan pada hujung minggu sudah. Semoga kalian dikurniakan barakah dunia dan akhirat. Mudah-mudahan baitul muslim yang dibina dilimpahi mawaddah, rahmah dan sakinah insyaAllah. Meskipun saya dan anak-anak tidak dapat menghadiri majlis tersebut (hanya suami sahaja yang pulang ke Johor menaiki bas) namun yang penting doa tetap dikirimkan.

Nampaknya Anfaal dan Hanan sudah dapat Mak ude lah. InsyaAllah tahun depan dapat sepupu baru pula lah ya :)




Thursday, March 18

Pandainya Budak Ini!

"Wahh..pandainya budak ni." Itu reaksi pertama saya ketika membaca sebuah laman web  tentang seorang kanak-kanak perempuan di Amerika yang baru berumur sepuluh tahun tetapi sudah bergelar pereka fesyen yang sebenar. Bukan yang main-main lukis atas kertas sahaja seperti ketika saya kanak-kanak dahulu. 

Cecilia Cassini nama budak perempuan ini dan produk-produk pakaian yang dikeluarkannya juga turut menggunakan jenama yang sama. Ketika budak perempuan seusia yang lain sibuk bermain anak patung dan mengulum gula-gula, dia pula sibuk menjahit dan lebih tertarik ke kedai fabrik. Pastinya budak ini seorang yang genius dan istimewa. Menurut laman yang saya baca itu, Cecilia mula menunjukkan minat terhadap fesyen dan jahitan sejak berusia 3 tahun dan mula belajar menjahit sejak umurnya 6 tahun selepas neneknya menghadiahkannya sebuah mesin jahit. 

Saya yakin kita di Malaysia ini pasti berasa pelik sekiranya tiba-tiba ada anak-anak kita yang berusia empat lima tahun hendak belajar menjahit..pastinya budak itu akan dimarahi dan disuruh belajar buku bacaan tadika ataupun disuruh mengaji Iqra' agaknya..Hendak dekat dengan mesin jahit pun dilarang apatah lagi memegang jarum yang tajam. Iyalah, sistem pendidikan negara kita adalah berasaskan peperiksaan dan tidak meraikan kanak-kanak atau individu yang mempunyai kelebihan yang bukan bersifat akademik. Hakikatnya, kecerdasan dan kepintaran itu hadir dalam bentuk yang pelbagai. Kurniaan Allah terhadap seseorang itu juga bukankah berbeza?




Wednesday, March 17

Rehlah Keluarga Humaira'

Sudah berminggu-minggu tidak menitiskan tinta di sini. Terasa rindu sekali hendak mencatat sesuatu tetapi ada saja halangan. Ada blog sendiri suatu perkara, hendak memastikan ia sentiasa dikemaskini suatu perkara lain pula..

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Riang sekali ahli-ahli keluarga Humaira' apabila kami tiba di kawasan rekreasi Gunung Lang pagi hujung minggu lalu. Manakan tidak, suasana di kawasan itu begitu privasi. Hijau, tenang, pemandangan yang indah dan yang penting tiada orang yang melihat ketika mereka bermain alat-alat permainan kanak-kanak di taman itu:). Kesemua kami adalah pertama kali sampai ke kawasan rekreasi itu dan ternyata kunjungan kami tidak menghampakan. Kawasan rekreasi ini terletak di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh. Untuk ke seberang tasik, pengunjung perlu menaiki bot dengan tambang RM3 sahaja. 
Rehlah yang telah dirancang 2 minggu lebih awal ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara ahli-ahli keluarga Humaira'. Kita tidak akan kenal peribadi sebenar sahabat kita selagi kita belum makan, bermalam dan berjaulah bersama-sama. Jadi, aktiviti rehlah ini adalah sebagai salah satu cara berta'aruf.

Selepas menikmati sandwich 'air tangan' Jannah dan Fatin serta mihun goreng Fasha, masing-masing mengambil kesempatan bersiar-siar melihat keindahan flora dan fauna di Gunung Lang. Burung unta, sang kancil dan arnab antara haiwan yang dipelihara di situ selain daripada monyet-monyet liar dan anjing kurus yang kelaparan. Ketika sang mentari hampir tertegak di atas kepala, tetamu merangkap penyampai tazkirah jemputan yang ditunggu-tunggu pun tiba. Alhamdulillah, keluarga Humaira' pulang dari Gunung Lang tengahari itu selepas menjalani rekreasi fizikal dan spiritual.    


 
Santai namun tekun mendengar tazkirah daripada Makcik Yatty.



 
Lapan daripada sembilan ahli keluarga Humaira'.
Zur, Fara, Fasha, Jannah, Shara, Fatin, Aimuni, Huda dan Nazirah yang sedang berjuang menghadapi dugaan  Hodgkin lymphoma.
InsyaAllah kalian sentiasa berada di dalam hati dan doa saya.