Sunday, August 30

Doa Buat Seorang Murabbi Sempena Ramadhan

"Entah, abi terasa nak sangat jumpa anak-anak malam ni..keadaan abi sekarang dah kurang sihat. Doktor tak kasi minum air, tapi tekak abi terasa sangat haus. abi tak panggil semua untuk sedihkan anak-anak, tapi abi nak sampaikan pesanan. jantung abi dah tak kuat, mungkin abi tak pergi dalam masa terdekat ni, tapi kita kena bersedia" Bait-bait ayat yang sangat mengharukan ini saya petik daripada catatan anakanda kepada Dr Hafidzi Mohd Noor iaitu Mohd Qayyim pada beberapa minggu yang lalu.

Utusan doa buat Dr Hafidzi sekeluarga sempena Ramadhan yang penuh berkat dan rahmat. Semoga keadaan kesihatan Dr Hafidzi akan bertambah baik dan keluarga ini terus diberi
kekuatan olehNya dalam menghadapi ujian yang juga daripadaNya. Dr Hafidzi dan isteri beliau Kak Zuraidah sangat dekat di hati kami. Pasangan ini merupakan perantara proses taaruf baitul muslim saya dan suami dahulu. Dr Hafidzi juga adalah mantan naqib suami saya semasa masih menuntut di UKM. Kali terakhir kami bertemu dengan Dr Hafidzi dan Kak Zu ialah ketika Konvensyen Keluarga Du'at di Kuala Lumpur bulan Jun yang lepas. Meskipun mengalami kesakitan akibat masalah buah pinggang dan jantung setahu saya sejak saya masih di UKM lagi, beliau tetap aktif menyampaikan ceramah kesedaran tentang isu Palestin serta menghasilkan pelbagai penulisan tentang isu yang sama dan tentang sejarah Islam di Nusantara. Alhamdulillah, 22 Ogos baru-baru ini telah genap 5 tahun usia perkahwinan kami. Hanya Allah jualah yang mampu memberi ganjaran atas budi baik pasangan suami isteri yang sangat romantik dan aktif dalam kegiatan dakwah sehingga ke peringkat antarabangsa ini. Keintiman dan kemesraan mereka suami isteri serta kelembutan yang berhikmah dalam mendidik anak-anak. Sememangnya keluarga Dr Hafidzi yang kami kenali banyak menjadi contoh buat saya dan suami.


Kenangan manis semasa majlis walimatul 'urus kami pada 22 Ogos 2004.
Semoga kekal hingga akhir hayat, ameen.


Saturday, August 22

Terbitnya Fajar Ramadhan

Sejak minggu lepas deretan kanopi putih telah mula dipasang di tepi jalan utama di hadapan sana. Itulah tapak bazar Ramadhan. Nampaknya bilangan kanopi tahun ini lebih banyak berbanding tahun lalu. Mungkin ramai peniaga 'segera' yang ingin mencari rezeki tambahan tahun ini ekoran kegawatan ekonomi yang melanda. Bermula senja kelmarin masjid dan surau yang berdekatan telah mula mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran di corong pembesar suara masing-masing. Aura Ramadhan telah mula dirasai. Syukur kepada Allah kerana mengizinkan kita bersua lagi Ramadhan yang dirindui.

Perkongsian daripada seorang teman yang berkesempatan menghadiri kuliah Ustaz Zahazan Mohamed tempoh hari cukup buat ulangkaji dan refleksi diri ini dan sesiapa yang membaca. Allah mewajibkan berpuasa agar dapat mencapai tingkat insan yang bertaqwa. Dalil yang popular yang selalu diutarakan ialah daripada surah Al-Baqarah ayat 183. Apakah pula ciri-ciri orang yang bertaqwa? Sebagaimana yang diriwayatkan pernah satu ketika Rasulullah s.a.w berhimpun bersama-sama para sahabat lalu baginda bertanya siapakah di kalangan mereka yang berpuasa pada hari itu? Lalu seorang sahabat mengangkat tangan. Orang itu ialah Saidina Abu Bakar. Kemudian Rasulullah bertanya lagi siapa pula di kalangan mereka yang bersadaqah? Orang yang sama mengangkat tangan. Soalan terakhir yang ditanya oleh Rasulullah ialah siapakah pula yang telah menziarahi orang sakit pada hari itu? Saidina Abu Bakar lagi yang mengangkat tangan.

Justeru, jelaslah bahawa berpuasa, memberi sadaqah dan menziarahi orang sakit merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa atau dalam ertikata lain latihan-latihan untuk menghadirkan ciri taqwa dalam diri hambaNya. Nampak macam mudah saja untuk dilakukan tetapi hakikatnya tidaklah seperti itu. Puasa yang dimaksudkan bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. Kena puasa seluruh anggota tubuh. Mengawal segala jenis nafsu yang ada. Sadaqah pula perlu seikhlas-ikhlasnya jangan ada perasaan riak, ujub dan takbur. Kontra dengan zaman ini yang menuntut supaya sesuatu perbuatan baik itu ditunjuk-tunjukkan. Kalau tidak orang tidak pandang kita, orang tidak puji kita. Hai..perlu selalu ingatkan hati ini bahawa pandangan dan pujian Allah itu lebih berharga. Tanpa kita sedari sadaqah juga merupakan jalan yang paling cepat untuk mengubati penyakit berbahaya seperti pandemik H1N1. Perlu berfikir secara kritis untuk menghurai makna kuliah Ustaz Zahazan ini. Ziarah orang sakit juga adalah suatu latihan. Latihan supaya menghargai nikmat kesihatan yang Allah beri dan mengingatkan diri supaya jadi orang yang paling cerdik iaitu orang yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk mati.

Rasulullah s.a.w turut mewasiatkan 5 perkara ketika datangnya bulan Ramadhan. Membaca al-Quran, bersadaqah, solat sunat 17 rakaat - qabliah dan ba'diah solat fardhu, dhuha, tahajud, taubat dan witir, berzikir - ma'thurat , ayat terakhir surah at-Taubah dan pelbagai lagi bentuk zikir serta yang terakhir memperbanyakkan memberi pertolongan. Bentuk pertolongan yang dimaksudkan ialah kepada ahli keluarga yang memerlukan, mereka yang memerlukan pertolongan tetapi tidak menyatakannya dan kepada mereka yang memerlukan pertolongan dan menyatakannya. Tidak susah mencari mereka yang memerlukan bantuan. Di negara kita ini masih ramai lagi mereka yang memerlukannya sama ada yang menyatakannya atau tidak. Teringat saya pada bait-bait lagu sebuah kumpulan lawak terkenal tanahair yang berbunyi "..negara kita tak ada yang papa kedana". Siapa kata negara kita tidak ada golongan yang digelar papa kedana ini? Lihat saja rancangan Bersamamu di TV3. Itu yang disiarkan di televisyen, yang tidak disiarkan banyak lagi di luar sana.

Ya Allah..jadikanlah Ramadhanku kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya, ameen.






Saturday, August 15

Anugerah Untuk Baba

Bekerjalah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana Allah bukan untuk mengharapkan balasan atau pengiktirafan. Seandainya diberikan pengiktirafan anggaplah ia sebagai satu bonus. Tahniah buat baba kerana telah mendapat bonus itu! Pulang dari kursus induksi tempoh hari saya terus dimaklumkan tentang berita gembira ini. Baba merupakan salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MARA 2008 peringkat negeri Perak. Alhamdulillah atas pengiktirafan ini dan semoga kita sama-sama terus gigih menabur jasa mendidik anak-anak bangsa. Tugas mendidik ini sememangnya bukan mudah, tidak lumayan dan tiada glamor namun pulangan dan ganjarannya datang dalam pelbagai bentuk yang tidak kita sangka.

Thursday, August 13

Jaulah Untuk Orang Perempuan Sahaja

"Ok, petang ni kita bawa Mokde ngan Mangah Jelin pergi jalan-jalan ya!" Kata-kata saya disambut riang oleh anak-anak kecil saya ketika dijemput dari rumah pengasuh petang itu. Mokde ialah pangkat panggilan mereka kepada adik saya yang ketiga. Mokde sengaja meluangkan masa berkunjung ke rumah kami sebelum berangkat menyambung pengajian di luar negara beberapa minggu lagi insyaAllah. Mangah (mak ngah) Jelin pula ialah adik sepupu saya yang sekarang bertugas secara sambilan mengajar di kolej saya. Anfaal dan Hanan memang manja dengan kedua-duanya. Sehari sebelum itu lagi perjanjian telah dibuat. Apabila Mokde sampai ke rumah, bolehlah pergi jalan-jalan. Baba juga sudah beri 'lampu hijau' untuk kami orang perempuan sahaja pergi makan angin tetapi mestilah berhati-hati. Makan angin pun bukan jauh. Sekitar segitiga emas Perak - Lumut, Sitiawan, Manjung sahaja. Mula-mula bawa Mokde dan Mangah Jelin pergi tepi Pantai Teluk Batik tetapi tidak lama pun sebab Hanan takut tengok laut. Kawasan pantai tidak sibuk seperti keadaannya pada hujung minggu. Selepas ambil angin dan basah-basahkan kaki di tepi pantai kami singgah di bazar-bazar sekitarnya. Anfaal dapat sebiji pelampung warna merah jambu dan sepasang baju bertulis Teluk Batik. Pelampung ini boleh digunakan untuk mandi di kolam renang nanti. Tidaklah berebut lagi dengan Hanan. Sedang sibuk window shopping Hanan pula buang air lalu kami cepat-cepat cari masjid untuk menunaikan solat Asar sekali.
Kesian Hanan takut tengok laut, asyik peluk Mokde saja.


Adik-adik dan anak-anak saya.


Hanan ajak Mangah Jelin beli air buih sabun.

Selesai solat Asar sambung lagi pusing-pusing di sekitar pekan Lumut. Saya jadi macam pemandu pelancong pula. Kemudian kami singgah makan di Mak's Place sebuah restoran Cina Muslim berhampiran Pasaraya Giant, Manjung. Makanan di sini sedap-sedap dan ada menu tidak pedas yang sesuai untuk anak-anak kecil. Harganya juga berpatutan.


Sesekali berjaulah begini dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan mahupun persahabatan. Yang penting kewajiban kepada Allah jangan kita lupakan dan niatkan semuanya kerana Dia, insyaAllah ia akan dikira sebagai ibadah.


Friday, August 7

Anfaal and Hanan's Choice


Good enough to whet the appetite..this was Anfaal and Hanan's chocolaty birthday cake. It was a black forest cake behind the chocolate wall actually. 3rd August was Hanan's birthday and followed by Anfaal's the next day. Hanan might be born on the same date as her sister if not for the complication I had. Many asked were we planning for it. Haha..I just answered; nope, not at all. It was His plan for us. Happy belated birthday to both of you dear..may Allah bless you two with lots of happiness and grant all your wishes throughout your lives and the hereafter. Mama and baba will always pray that both of you will grow up being His loyal and faithful khalifah.



Anfaal and Hanan two years ago.


Anfaal and Hanan at 4 and 2 years old.

Saturday, August 1

Sepuluh Hari Di Jawi

Selepas hampir dua minggu saya berkampung di Institut Latihan MARA (ILHAM) di Jawi, Pulau Pinang akhirnya selesai juga tugasan di sana. Sepuluh hari bagaikan sekejap sahaja kerana setiap hari diisi dengan sesi ceramah bagi memantapkan lagi pengetahuan sebagai kakitangan awam. Alhamdulillah kerana peperiksaan induksi kelmarin juga tidaklah sesukar mana. Mudah-mudahan semua peserta kursus induksi berjaya mendapat pengesahan jawatan insyaAllah. Bercerita tentang kursus induksi baru-baru ini, kami seramai 156 orang yang majoritinya ialah pendidik dari pelbagai institusi pendidikan MARA merupakan kumpulan pertama yang 'merasmikan' bangunan ILHAM, Jawi. Walaupun kawasan di sekitar institut masih lagi belum terurus sepenuhnya dan banyak lagi semak-samun namun kemudahan asas seperti tempat penginapan, makan-minum dan dewan kuliahnya sangat selesa dan memuaskan. Syukur dan rasa beruntung sekali kerana MARA mampu menyediakan kemudahan sebuah institut yang amat baik seperti ini. Khabarnya semua kursus anjuran ILHAM termasuk program diploma pendidikan untuk pendidik MARA yang akan datang juga akan dijalankan di sini. Wah! Pasti naik berat badan jika tinggal lebih lama di sini kerana jadual makan enam kali sehari dan pinggan makannya pula bersaiz ala-ala dulang!














Pemandangan di dalam bilik tempat kami menginap selama 10 hari.






Seterusnya ialah gambar-gambar kenangan bersama rakan-rakan induksi semasa majlis penutup.