Monday, October 12

Tidak Cukup Makan atau Terlebih Makan??


Pagi ini ketika saya lalu di hadapan papan kenyataan ada notis dan pengumuman baru lagi. Kebanyakannya berbunyi begini 'Semua staf dan kakitangan dijemput ke Majlis Sambutan Aidilfitri pada....di....pada jam berapa hingga berapa'. Minggu lalu jemputan oleh Peladang diikuti dengan Bank Rakyat, selepas itu beberapa orang individu yang tidak begitu dikenali (boleh jadi kontraktor atau petender kolej) dan di kalangan pensyarah dan kakitangan sendiri turut sama bermurah hati menjemput ke rumah terbuka masing-masing. Ikhwah akhawat juga tidak ketinggalan sama. Tidak kurang juga dengan jemputan ke majlis kenduri kahwin yang meriah di sana sini. Hujung-hujung minggu adalah masa untuk kembara rumah terbuka dan kenduri kahwin. Nampaknya sudah jadi 'trend' sekarang orang kahwin pada bulan Syawal, kiranya 2 dalam 1 - majlis kahwin dan rumah terbuka dalam satu acara. Satu hari sampai 4 atau 5 buah rumah dikunjungi.

Kasihan pada perut kita bukan? Sebulan diberi rehat tetapi selepas itu 'didera' pula.
Kalau selepas pulang dari rumah terbuka ada simptom-simptom sakit perut, loya dan pening kepala itu biasa. Almaklum makan pelbagai jenis menu makanan. Makanan berasid, pedas dan kurang serat. Waktu-waktu begini nasihat daripada yang ahli kena diambilkira. Antara tips yang diberi oleh seorang doktor dan pakar pemakanan semasa ke rumah terbuka ialah makan SATU jenis menu sahaja. (Boleh tahankah godaan menu lain yang sedap-sedap tu?) Minum air masak kosong, jangan minum air manis. Pilih makanan yang berserat seperti lodeh dan buah-buahan. Susah juga hendak ikut tips-tips ini ya..

Ingat semula tujuan rumah terbuka sebenarnya bukan sekadar hendak menjamu selera semata-mata. Yang lebih penting ialah mengeratkan silaturrahim dan merapatkan ukhuwwah. Tidak makan pun tidak mengapa asal dapat memeriahkan majlis. Bolehkah begitu? Tetapi kalau pergi kemudian tidak makan, takut berkecil hati pula tuan rumah. Hendak tidak hendak kenalah jamah sedikit. Makan lagi!

Apabila difikir-fikirkan betapa mewahnya kita di sini sedangkan saudara-saudara kita di Padang sedang kelaparan. Mangsa-mangsa taufan Ketsana menunggu-nunggu bantuan makanan. Warga kebanyakan negara di benua Afrika pula mati kebuluran tidak cukup makanan. Ya Allah, adakah makanan yang banyak ini sebenarnya nikmat ataupun ujian bagi kami? Ampunilah kami ya Allah.


"Ya Tuhan kami, tunjukkilah kami tentang apa yang hak itu adalah yang hak dan apa yang batil itu adalah yang batil agar kami tidak tersesat"

1 comment:

kakchik said...

memang sudah membudaya dah amalan rumah terbuka ni. kakchik banyak juga tidak dapat memenuhi jemputan kerana urusan kerja. kalau pergi pun kakchik makan ala kadar saja sekadar meraikan tuan rumah atau organisasi yang menjemput. kasihan kat perut, akan sentiasa bermasalah dek cacamerba nya makanan yang masuk.
syukur, rezeki sentiasa murah cuma bimbang terjadinya pembaziran.