Tentang kehidupan, impian dan manifestasi lafaz ikrar kita setiap hari terhadap Yang Maha Pencipta
Thursday, October 29
Tiga Kisah, Satu Pengajaran
Kampung Kepah
Encik Ali begitu asyik dengan gajet GPS yang baru dipasang pada kenderaannya. "Sekarang tidak perlu bimbang lagi kalau hendak ke mana-mana, kita tidak akan sesat jalan selagi ada alat ini. Mana-mana lokasi boleh dikesan oleh alat ini pada bila-bila masa sahaja" Kata Encik Ali dengan bangganya. Justeru, berdasarkan keyakinan terhadap alat tersebut Encik Ali sekeluarga telah bertolak pulang dari kampung pada sebelah malam. Perjalanan dari Pantai Timur ke negeri Perak makan masa agak panjang. Tambahan lagi Encik Ali sekeluarga telah memilih untuk melalui jalanraya yang sedang dalam pembinaan di kawasan tanah tinggi Cameron Highland. Jalanraya tersebut memang sunyi kerana jarang dilalui kenderaan. Keadaan persekitarannya pula gelap gelita kerana tiada lampu jalan. Namun, Encik Ali tidak gusar dengan keselamatan anak isteri atau tersalah jalan kerana adanya alat GPS yang canggih. Perjalanan yang bermula pada awal malam membawa mereka sekeluarga melalui kawasan tanah tinggi itu pada waktu tengah malam.
Sedang kenderaan Encik Ali melalui jalan yang semakin sempit tiba-tiba kelihatan sebuah papan tanda bertulis 'Kampung Kepah'. "Betulkah jalan ni bang?" tanya Puan Fatimah kebimbangan. "Itulah..abang pun rasa ini bukan jalan yang biasa kita lalu" ujar Encik Ali pula. "Ahh..tak mungkin GPS ni boleh tersilap pula". Kedua-dua orang anak Encik Ali yang duduk di bahagian belakang kereta turut dilanda kerisauan. Malam kian melarut. Tiba-tiba nun jauh di hadapan mereka kelihatan susuk sebuah kenderaan sedang bergerak perlahan. Hati kecil Encik Ali sedikit lega. Encik Ali lantas menekan pedal minyak sedikit kuat bagi merapati kenderaan di hadapan. Rupa-rupanya di hadapan mereka itu ialah sebuah van berwarna biru seakan van kilang. Mereka sekeluarga diserang perasaan terkejut yang amat sangat ketika semakin hampir dengan van di hadapan. Didapati kesemua penumpang van itu berpakaian serba putih dan berdiri tegak seperti patung. Bulu roma Encik Ali meremang. Puan Fatimah pula terkumat-kamit membaca segala ayat suci al-Quran yang dihafalnya. Manakala anak-anak Encik Ali hampir-hampir terbuang air kecil kerana ketakutan. Selepas bersusah-payah akhirnya kenderaan Encik Ali berjaya memintas van misteri itu. Setibanya di rumah mereka Encik Ali berusaha menjejak lokasi Kampung Kepah melalui Internet dan peta namun gagal. Akibat keadaan kesihatan yang terganggu, beliau kemudiannya terpaksa dimasukkan ke hospital.
Kucing Hitam
Sejak akhir-akhir ini banyak kejadian kecurian yang berlaku di kawasan blok asrama siswi di kampus. Malam itu Hanim tinggal berseorangan di bilik kerana Aliya rakan sebiliknya pulang ke kampung. Jam hampir mencecah angka sebelas. Mata Hanim pun sudah tidak mampu untuk menatap helaian mukasurat buku di hadapannya. "Hanim, kau jangan lupa kunci pintu dan selak sekali sebelum tidur nanti tau! Maklumlah sekarang kan banyak kes kecurian, nanti tak pasal-pasal bilik kita kena ceroboh." Hanim masih teringat pesan Aliya petang tadi semasa hendak meninggalkan bilik. "Kau jangan risau lah..kan kita dah pasang selak tu. Bilik orang lain mana ada selak sebab tu pencuri boleh masuk" kata Hanim meyakinkan rakannya.
Selepas beberapa jam dibuai mimpi tiba-tiba Hanim dikejutkan oleh bunyi yang datang dari bawah katilnya. "Miow..miow.." Sekonyong-konyong muncul seekor kucing berbulu hitam pekat berkilat dari bawah katil. Kucing itu kemudian melompat ke atas meja belajar Hanim. Hanim tergamam sambil memikirkan dari mana dan bagaimana kucing itu boleh berada di dalam biliknya sedangkan pintu bilik terkunci rapat. Kucing itu mengiau-ngiau lagi sambil memandang ke arah Hanim. Ia lalu melompat ke arah tingkap dan lenyap begitu sahaja. Hanim lantas mengucap panjang dan teringat semula akan kata-katanya petang tadi.
Ayat Kursi
Ustaz Ahmad baru saja menikahi Aisyah seorang wanita berbangsa Cina yang baru memeluk agama Islam. Satu malam sebelum meninggalkan rumahnya untuk beberapa hari Ustaz Ahmad telah berpesan kepada isterinya supaya mengunci pintu dan tingkap sambil membacakan ayat Kursi bagi menjaga keselamatan isterinya itu yang tinggal berseorangan di rumah. "Jangan lupa baca ayat Kursi ketika mengunci pintu dan tingkap. InsyaAllah Aisyah takkan apa-apa" pesan Ustaz Ahmad. "Petang esok insyaAllah abang baliklah" tambahnya lagi. Selepas bersalaman dengan suaminya Puan Aisyah pun mengunci pintu tetapi dia kemudiannya baru tersedar yang suaminya masih belum mengajarnya membaca ayat tersebut. Oleh kerana tidak tahu apakah ayat yang dimaksudkan oleh suaminya, Puan Aisyah sekadar menyebut perkataan 'kursi Allah' sahaja setiap kali mengunci tingkap dan pintu rumahnya.
Keesokan paginya Puan Aisyah terkejut apabila mendapati ramai orang kampung berkumpul di hadapan rumahnya. Dia semakin terperanjat ketika dimaklumkan oleh orang kampung bahawa terdapat seorang lelaki di hadapan pintu rumahnya. Lelaki tersebut tidak dapat bergerak seolah-olah kaki dan tangannya terikat. Selepas diasak oleh orang kampung lelaki itu akhirnya mengakui sebenarnya dia berniat hendak memecah masuk dan merompak rumah Ustaz Ahmad dan Puan Aisyah. Waima niatnya itu tidak kesampaian kerana secara tiba-tiba muncul puluhan kerusi memagari dirinya. Kemudian kaki dan tangannya juga menjadi kaku.
Kisah-kisah ini bukanlah rekaan. Sengaja saya coretkan di sini selepas membuat sedikit perubahan pada watak-wataknya. Ia merupakan kejadian yang benar-benar berlaku yang diceritakan kepada saya. Saya segera teringat akan firman Allah dalam surah al-Ikhlas: "Allah ialah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu."
Menyedari hakikat bahawa kita sebagai manusia tidak mempunyai kuasa walau sebesar zarah pun ke atas diri kita maka Allah berhak menegur kita dengan apa cara atau melalui makhluk-makhlukNya yang lain. Kisah-kisah yang saya dengar ini secara tidak langsung mengingatkan saya bahawa apapun kehebatan yang kita ada kita hanya boleh bergantung kepada Dia..hanya Dia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment