Tentang kehidupan, impian dan manifestasi lafaz ikrar kita setiap hari terhadap Yang Maha Pencipta
Monday, November 23
Hujan, Ihtifal dan Bonsai
Saya mengambil kesempatan untuk memindahkan gambar-gambar serta video yang kami rakam semalam ke cakera keras komputer riba. Semalam kami sekeluarga menghadiri Majlis Ihtifal tadika Anfaal yang diadakan di dewan Institut Latihan KEMAS di sini. Tatkala menyaksikan si cilik Anfaal dan rakan-rakan sekelasnya membuat persembahan di atas pentas, air mata saya hampir-hampir hendak tumpah. Hati saya berdetik. "Oh Tuhan, inikah anak yang saya lahirkan empat tahun dahulu? Sudah semakin besar anak saya." Rasanya macam baru kelmarin Anfaal menyusu di pangkuan saya. Tidak dapat saya bayangkan perasaan saya pada masa akan datang ketika melalui pelbagai lagi detik penting dalam hidup anak-anak saya seiring usia mereka. Anfaal yang kami panggil "kakak" sempat melemparkan senyuman dan melambai-lambaikan tangan sebelum persembahan bermula. Dia kemudian dengan comel dan yakin sekali beraksi bersama rakan-rakannya mempersembahkan dikir dalam bahasa Arab berjudul "Aza abi azadi ummi".
Keriangan Anfaal bertambah lagi selepas menerima hadiah Anugerah Khas Kecemerlangan Kepimpinan untuk kelas 4 tahun. Anfaal bukannya faham pun makna anugerah itu. Yang penting dia gembira kerana mendapat hadiah. Sebagai ibu bapa pastinya saya dan suami bangga dan bersyukur atas sifat kepimpinan yang ditonjolkan Anfaal. Menurut guru kelas Anfaal; Teacher Nurizan, anak sulung saya ini seperti guru kedua di dalam kelas. "Anfaal agak garang tetapi pada masa yang sama seorang pemalu." ulasnya.
"Anak-anak ibarat pohon bonsai. Susah hendak menjaga serta menghasilkan pohon bonsai yang indah. Ada seni. Perlukan kesabaran yang tinggi. Kalau kita terleka walau sebentar, maka ia akan tumbuh tidak terurus. Justeru, tidak cantiklah pohon bonsai itu dan tidak jadi sepertimana yang kita hajatkan." Kata-kata Ustaz Alias Othman, salah seorang murabbi kami akan saya ingat sampai bila-bila insyaAllah. Munajat saya kepada yang Maha Esa agar 'bonsai-bonsai' saya tumbuh indah, renek dan 'menjadi' hingga sampai ke syurgaNya, ameen..
Saturday, November 21
Masa Oh! Masa
Thursday, November 5
Ceria Bersama Keluarga Besar
Saat-saat kesibukan menyemak tugasan dan ujian bermula lagi. Begitulah rutinnya setiap kali menjelang hujung semester. Kesibukan urusan tugas hakiki tidak menghalang waktu untuk bersantai seketika. Sekadar menghilangkan lelah lima hari seminggu di tempat kerja. Mujur tahun ini tarikh hari keluarga tempat kerja saya dan suami tidak bertembung lagi seperti tahun-tahun sudah. Sememangnya terkandung pelbagai manfaat daripada amalan sambutan hari keluarga tempat kerja. Di samping dapat mengeratkan silaturrahim antara rakan-rakan seperjuangan, dapat pula mengenali ahli-ahli keluarga mereka dalam suasana santai dan ceria.
Lokasi yang dipilih pada tahun ini ialah di Lost World Of Tambun. Warna biru menjadi warna tema. Ini merupakan kali pertama kami sekeluarga ke sana walaupun sudah beberapa kali melalui kawasan tersebut tidak lama dulu. Jika ke tempat-tempat begini kanak-kanaklah yang paling seronok. Sebaik masuk, Anfaal dan Hanan sudah tidak sabar hendak mandi di pantai buatan yang dibina. Anak-anak staf yang lain pun sama sehinggakan akhirnya acara sukaneka untuk kanak-kanak tidak lagi mendapat sambutan.
Naik pening pula kepala setelah hampir sehari suntuk berprogram di situ. Manakan tidak, pusing depan, belakang, kiri atau kanan 'bersepah' orang-orang mendedahkan aurat masing-masing. Yang bukan Islam itu suatu hal, yang Islam pun tanpa segan silu berjalan di khalayak ramai dengan hanya berbaju mandi..masyaAllah. Tidak fasal-fasal pula dapat 'dosa kering' bak kata orang tu. Namun kali ini sudah jadi 'dosa basah' pulalah nampaknya sebab berada di taman tema air!
Selesai menunaikan yang fardhu, kami berjalan kaki ke kawasan zoo mini di bahagian belakang. Lebih baik lihat haiwan yang sudah tentunya dijadikan Allah tidak berpakaian. Kemudian dapatlah merasa menaiki keretapi mini selepas menjenguk 'Pak Belang' yang pernah disiarkan dalam rancangan Majalah 3.
Keesokan harinya kami ke Taman Herba Papan di Batu Gajah bagi merai hari keluarga tempat kerja saya pula. "Amboii..hujung minggu ini berjalan-jalan saja kome ye!." Usik jiran di sebelah rumah semasa hendak keluar pagi itu. Saya hanya tersenyum mengiyakan. Bukannya selalu dapat peluang begini.
Monday, November 2
Merai Kejayaan Anak-Anak Didik
Seminggu yang lalu saya di Melaka atas tiket wakil kolej sebagai AJK Majlis Konvokesyen yang diadakan di sana. Sekalung tahniah untuk semua bekas anak didik yang kini membawa haluan hidup masing-masing. Sebagaimana kata-kata yang sering saya kongsikan dengan pelajar-pelajar saya di dalam kelas "sekarang masa kamu hidup untuk belajar supaya selepas ini kamu boleh belajar untuk hidup." Kata-kata azimat ini saya perolehi daripada salah seorang guru saya tidak lama dahulu.
Bertemu semula para pelajar yang telah tamat pengajian di kolej dengan pelbagai ragam dan gaya sedikit menyentuh hati. Saya bersyukur melihat dan mendengar tentang mereka yang telah berubah ke arah yang lebih positif namun turut berdoa agar yang masih tercari-cari arah hidup dan jatidiri segera mendapat petunjuk.
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
Menjadi Menantu Kesayangan Mentua
Perkahwinan bukan sahaja mengikat antara sepasang manusia yang bergelar suami dan isteri. Malah ia merupakan pertautan antara dua keluarga, mungkin juga dua bangsa atau dua negara. Justeru, apabila secara sah anda dinobatkan menjadi suami atau isteri, maka serentak dengan itu anda juga menjadi menantu kepada orang yang bergelar ayah dan ibu mentua.
Untuk menjamin kelangsungan sebuah perkahwinan, tidak cukup sekadar pandai menjaga hati, memadu kasih antara suami dan isteri sahaja. Sebaliknya anda juga harus tahu mengambil hati dan menagih kasih mentua.
Mentua adalah orang yang menjadi sebab kepada wujudnya pasangan anda. Merekalah yang bertanggungjawab membesar dan mendidiknya hingga menjadi manusia yang serasi sebagai pasangan untuk anda. Mereka mengenali pasangan anda jauh lebih dahulu daripada anda dan sayangnya mereka kepada pasangan anda tiada taranya.Oleh itu jika anda ingin bahagia di sisi pasangan anda, disayangi oleh mentua dan disenangi oleh ahli keluarganya perkara-perkara berikut perlu difahami. Sebahagiannya apa yang wajib anda lakukan dan sebahagiannya apa yang mesti anda jauhi.
i. Janganlah anda mengharapkan cinta anda yang baru berputik itu akan menjadi saingan kepada kasihnya mentua anda kepada anaknya. Jangan sekali-kali anda cuba mengalihkan kasih sayang pasangan anda terhadap ibu dan bapanya.
Ingatlah perkahwinan tidak mengubah perintah Allah s.w.t. kepada setiap hamba-Nya. Dia telah berfirman (maksudnya):
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata -mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintah-Nya, maka sesungguhnya dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.”
(Al-Isra’ 17: 23-25)
Maka bantulah dia, berilah dorongan kepadanya agar menjadi anak yang soleh, yang dirahmati dan diredhai Allah s.w.t. Dengan itu secara tidak langsung anda juga mendapat pahala kerana “orang yang mendorong ke arah kebaikan baginya pahala seperti orang yang melakukannya.” (Maksud hadis riwayat Muslim daripada ‘Uqbah bin ‘Amru)
ii. Anggaplah diri anda juga anak mereka dan mereka adalah ibu dan bapa anda. Sayangi dan hargailah mereka yang telah berjasa kepada anda. Mereka telah bersusah payah mempersiapkan seorang insan yang dapat memenuhi citarasa anda, walaupun tidak sepenuhnya, namun ia tetap mengisi tuntutan naluri anda. Allah s.w.t. berfirman (maksudnya):
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan- keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Ar-Rum 30: 21)
iii. Gembirakan hati mereka dengan akhlak dan budi bahasa. Mereka tidak mengharapkan anda menjadi manusia yang sempurna. Jangan malu untuk mengakui kelemahan diri. Misalnya jika anda menantu perempuan yang tidak pandai memasak, nyatakan terus terang kepada ibu mentua dan minta supaya dia ajarkan. Tindakan seperti ini akan akan membuat dia berasa gembira dan dihargai.
iv. Ketahui minat mereka dan cuba fahami apa yang mereka suka dan apa yang mereka tidak suka. Jika mentua anda minat berkebun, maka cuba-cubalah jenguk kebunnya dan bantu apa yang patut. Jika mereka minat menulis, bacalah tulisan mereka dan berilah pandangan anda tentang tulisan mereka sama ada setuju atau tidak. Mereka tidak perlukan pujian. Yang penting mereka mengetahui bahawa anda mengambil berat tentang diri mereka. Walau bagaimanapun jika mereka meminati perkara yang haram di sisi Islam, janganlah anda terikut-ikut pula. Jauhilah dengan cara berhikmah dan bijaksana.
v. Merendah diri dan berkhidmat kepada mereka. Merendah diri tidak bermakna menghina diri. Berkhidmat tidak bermakna menjadi hamba. Dalam hal ini Nabi s.a.w. adalah sebaik-baik contoh kita. Daripada al-Aswad bin Yazid r.a., katanya: Sayidatina Aisyah r.a. ditanya tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika baginda berada di rumah. Beliau menjawab: Baginda berkhidmat kepada keluarganya. (Al-Bukhari). Abu Hurairah melaporkan bahawa baginda bersabda (maksudnya): “Tiada merendah seseorang kerana Allah melainkan diangkatkan darjatnya oleh Allah s.w.t.” (Muslim)
Sebagai contoh, pada waktu makan bersama, jangan bangun ketika mereka sedang makan. Tunggulah mereka selesai dan bersihkanlah hidangan. Kalau terpaksa, mintalah izin sebelum bangun.
vi. Jangan lokek dan berkira dengan mentua terutama apabila mereka datang ke rumah anda atau anda berkunjung ke rumah mereka. Ingatlah! Mereka telah terlalu banyak berkorban untuk membesarkan pasangan anda.
vii. Doakan mentua setiap kali mendoakan kedua-dua ibu bapa anda. Katakanlah: “Ya Allah, ampunilah dosa kedua-dua ibu bapaku dan kedua-dua ibu bapa suami/isteriku dan rahmatilah mereka sebagaimana mereka mendidik kami pada waktu kami kecil.”
Dipetik daripada: http://www.malaysiaharmoni.com