Saturday, February 6

Beberapa Perkara

Sedar tidak sedar sudah melangkah ke bulan kedua kita dalam tahun ini. Begitu cepatnya masa berlalu. Hampir dua bulan setelah pembedahan lutut kiri saya. Alhamdulillah, keadaan semakin baik tetapi ia perlu masa sekurang-kurangnya tiga bulan lagi untuk pulih sepenuhnya. Ubat yang mesti diambil 2 biji sehari pun ada 2 kotak lagi. Kadangkala saya terlepas juga makan ubat tersebut. Apabila semester akademik bermula bermakna ia waktu marathon bagi semua perkara. Adakala terasa, ya Allah..berikan saya waktu rehat sebentar untuk menghela nafas dan menyantuni diri sendiri. Beratnya tanggungjawab menjadi isteri dan ibu lebih-lebih lagi pada zaman ini. 

Beberapa perkara mengganggu emosi saya dalam sebulan dua ini. Anfaal dan Hanan yang semakin membesar semakin banyak keletah dan eksperimennya. Tiga minggu pertama sesi pra-sekolah  tahun ini, Anfaal hadapi masalah menyesuaikan diri dengan guru-guru dan rakan-rakan baru di tadikanya. Jenuh juga saya dan babanya memujuk. Susah hati juga kami memikirkan hal tersebut. Alhamdulillah setelah pelbagai pendekatan digunakan sekarang Anfaal sudah ok, seronok ke tadika dan bersemangat untuk belajar. 

Minggu lalu saya mendapat berita buruk tentang pelajar yang juga merupakan anak usrah saya. Beliau telah disahkan menghidap kanser hodgkin lymphoma. Kasihan dan simpati pada keadaannya yang terpaksa menangguh pengajian kerana perlu mengikuti sesi kimoterapi. Ibarat cubit peha kiri, peha kanan juga terasa sakitnya. Saya akan sentiasa mendoakan dirinya agar kuat menghadapi ujian ini dan sembuh seperti sediakala insyaAllah. Setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada sebab dan hikmahnya. Beliau  telah dipilih oleh Allah dan Allah tidak pernah menganiaya hamba-Nya.     





Wednesday, January 6

Memberi Untuk Menerima



Ketika di hospital tempoh hari saya habiskan banyak masa dengan membaca. Mungkin itu antara hikmahnya kerana sebelum ini saya selalu berharap agar saya punya masa yang lebih panjang untuk membaca. Rutin harian yang dipenuhi pelbagai tuntutan menyebabkan saya jarang dapat menghabiskan masa yang panjang untuk membaca. Dua naskah  majalah, dua buah buku dan dua naskah akhbar telah saya baca dari kulit ke kulit sepanjang berada di wad. Seronoknya dapat membaca secara berterusan tanpa gangguan.

Topik utama "Hidup Untuk Memberi" dalam majalah Solusi yang saya baca mengetuk minda saya supaya pada tahun baru ini saya lebih banyak memberi daripada menerima. Mengambil iktibar daripada kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w yang sentiasa memberi bukan sahaja sewaktu senang malah sewaktu Baginda susah membuatkan saya terasa malu dengan diri sendiri. Iyalah, pada zaman dahulu, Baginda cuma makan roti, tamar dan tidur pula di atas tanah tetapi  Baginda tidak putus-putus memberi. Diriwayatkan bahawa pemurahnya sifat Rasulullah menyumbang kebajikan lebih kencang daripada angin yang kencang. Sedangkan kita pula pada zaman ini dapat makan yang sedap-sedap sehingga membazir dan tidur di atas tilam yang empuk namun masih berat tangan untuk memberi. Alangkah bahagianya dunia ini jika semua insan lebih pentingkan bagaimana untuk memberi berbanding bagaimana untuk mendapatkan. 

"We are here to complete not to compete"
"What you give you get back"
"No man becomes rich unless he enriches others"
"We make a living by what we get but we make a life by what we give"

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Allah berfirman, 'Berinfaklah, nescaya Aku akan memberi nafkah kepadamu.' Rasulullah kemudian berkata, "Tangan Allah sentiasa berisi penuh dan tidak akan pernah habis meskipun dinafkahkan siang dan malam. Apakah kalian mengetahui apa yang telah dinafkahkan oleh Allah sejak Dia menciptakan langit dan bumi? Sesungguhnya apa yang ada di tangan-Nya tidak akan pernah habis. Singgahsana-Nya ada di atas air, dan di tangan-Nya ada timbangan.'"

(Riwayat al-Bukhari)


Menyambut 2010 Di Hospital

Begitu pantas masa berlalu. Minggu ini sudahpun tahun 2010. Ketibaan tahun baru hijrah dan masihi yang baru ini pastinya lebih mencabar. Ujian pertama tahun ini telahpun saya lalui dimana terpaksa menjalani pembedahan artroskopi di lutut kiri. Semuanya gara-gara kecederaan yang saya sangkakan kecil rupa-rupanya serius juga. Empat hari di hospital Pantai bertemankan suami dan anak-anak yang sentiasa di sisi. Turut bertemankan mama naqibah yang setia melayani karenah saya di hospital ternyata merapatkan lagi ukhuwwah antara kami insyaAllah. Emak, adik serta keluarga di kejauhan pun tidak berhenti mendoakan dan kerap menghubungi bertanyakan khabar kesihatan saya. Tidak lupa juga akhawat yang datang menziarah dan mengirim doa serta ucap takziah melalui e-mel dan telefon. Peristiwa ini menyedarkan saya bahawa perlunya saya banyak bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan saya ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang sebaik mereka. Saya pernah terbaca suatu mutiara kata "jangan sesekali membandingkan hidup anda dengan orang lain kerana anda tidak tahu apa yang dilalui oleh orang itu". Sesungguhnya ada ramai lagi insan di luar sana yang kurang malah tidak bernasib baik namun kita masih bertanya kenapa hidup kita seperti ini?



Bahagian medial meniskus lutut kiri saya yang koyak yang dikeluarkan oleh doktor. Nampak macam kertas tisu yang hancur. Mujurlah saya memilih untuk dipengsankan saja sepanjang pembedahan. Tidak sanggup rasanya melihat doktor-doktor itu 'mengorek-ngorek' lutut saya.





Sunday, December 20

Yang Dekat Di Hati


"Marilah dik..sepuluh ringgit saja satu pusingan" pelawa pakcik beca itu. "Tak apa ke pakcik? Kami ni berat..kesian pula nanti pakcik nak bawa kami" beritahu suami saya sambil kami tersenyum-senyum pada pakcik beca. "Alah bisa tegal biasa dik.." tambah pakcik beca. "Tak apa, adik pergilah jalan-jalan dulu ambil gambar. Sekejap lagi datang." Kami sekadar menggangguk tanda setuju. Lagipun semua beca yang pada awalnya diparkir di tepi jalan itu semuanya telah dinaiki pelancong dalam kami sibuk tawar-menawar tadi. Nampaknya seperti pakcik itu merupakan pengurus kepada perjalanan sewa beca di kawasan tersebut. Dia tidak mengayuh beca. Cuma menguruskan tawar-menawar dengan pelancong atau bakal penumpang beca sahaja. Jika ada yang berkenan menaiki beca maka pengayuh-pengayuh beca pun dipanggilnya. 




Kami mengambil kesempatan melihat model-model keretapi dan replika kereta lembu yang ada sementara menunggu beca kosong tiba. Negeri Hang Tuah sememangnya tidak asing bagi saya kerana ayah kandung saya adalah anak jati negeri ini. Cuma setelah bertahun-tahun tidak singgah di sini keadaannya sudah jauh berbeza. Saya masih ingat, dahulu Dataran Pahlawan merupakan sebuah padang yang luas, tempat orang menaiki kereta lembu. Sekarang tiada lagi kereta lembu. Yang ada cuma replikanya sahaja. Kota A' Famosa juga sudah tampak begitu kerdil. Bangunan pusat membeli-belah yang gah berdiri telah menenggelamkan tarikan asal  bandaraya tinggalan Parameswara itu. Kami hampir-hampir tidak perasan di mana duduk sebenarnya Kota A' Famosa sekiranya tidak menaiki Menara Taming Sari pada awalnya tadi. 

Selepas agak lama menunggu, beca kami akhirnya tiba. Kami memilih menaiki dua buah beca. Takut nanti tidak terkayuh pula pakcik beca itu kalau kami berempat menaiki satu beca sahaja:) Saya seronok mendengar cerita Pakcik Osman yang mengayuh beca yang membawa saya dan Anfaal. "Yang ini muzium..yang itu mahkamah..Kalau adik nak bezakan bangunan tinggalan Portugis yang berbatu-bata, orang Belanda pulak yang berwarna merah dan kalau 'orang putih' bangunan tinggalannya berwarna putih tu" jelas Pakcik Osman dengan panjang lebar ibarat pemandu pelancong. Pemilik-pemilik beca di situ memang sangat kreatif. Setiap beca dihias indah sekali. Beca Pakcik Osman yang kami naiki siap dipasang pemain cakera padat yang memainkan lagu Hindustan. Saya terasa seolah-olah seperti pengantin yang sedang diarak pula. 




  Melaka alaf baru. Pemandangan dari atas Menara Taming Sari.




Melaka, memang dekat di hati saya. Bukan hanya disebabkan ia adalah tanah asal nenek moyang saya tetapi kerana nilai negeri itu sendiri yang mewah dengan sejarah dan pelbagai tarikan.