Sunday, October 4

Jom Kita Ke Kebun Opah!


Seronoknya Anfaal dan Hanan dapat melawat ke kebun opah. Ada tanaman seperti kacang panjang, kacang buncis, terung, labu dan pokok cili. Biarpun cuaca petang itu panas terik, iyalah waktu itu baru jam 3 petang namun ia tidak menghalang kami anak-beranak daripada menikmati pemandangan di tepi sungai yang menyegarkan. Bosan sekadar duduk di rumah menonton rancangan sempena Aidilfitri di televisyen. "Panasnya! Rasa macam nak terjun ke dalam sungai aje!" luah saya pada emak. "Mandi sungai memang sedap tapi kalau panas-panas macam ni boleh demam sebab air sungai tu sejuk" beritahu emak. Air sungai agak deras tetapi parasnya tohor (cetek) sahaja. Kalau datang selepas Asar mungkin cuaca lebih redup tetapi kacang buncis perlu dipetik lebih awal kerana lewat petang nanti ada orang yang akan mengambilnya untuk dibawa ke pasar borong di Kuala Lumpur. Saya menolong emak memetik kacang buncis yang sudah matang. Ada juga hasil yang tidak 'menjadi' akibat serangan penyakit. Sebahagian hasil tanaman kacang buncis telahpun dipetik lebih awal oleh salah seorang pekerja Indonesia yang tinggal di pondok kebun itu. Emak sekadar membantu sahaja. Anfaal dan Hanan cuma duduk dengan baba di pondok. Bahang panas terasa seakan menggigit kulit.

Anfaal memanjat tangga buatan menuju ke pondok tempat berteduh.


Opah sedang asyik memetik buncis.

Tanah seluas beberapa ekar ini milik emak saya dan diusahakan oleh seorang rakan secara usahasama. Emak tidak mengenakan sebarang sewa lagi. "Biarlah tanah ni diusahakan daripada terbiar, dapat juga merasa hasilnya" kata emak. Beberapa bulan yang lalu tanah ini cuma dipenuhi semak samun dan belukar tebal. Kalau hendak ke kebun ini tidak boleh menaiki kenderaan biasa. Jalannya tidak berturap, berbatu sungai yang besar dan berlekuk-lekuk boleh merosakkan kereta. Kami datang menaiki Proton Saga emak yang cuma beberapa tahun lebih muda daripada saya. Nampaknya kereta itu sudah jadi kereta kebun dan kenderaan memancing adik lelaki saya sajalah. Emak pula menunggang motorsikal. Bermotorsikal juga mesti pandai mengawal imbangan jika tidak pasti akan terjatuh kerana keadaan jalan yang diterukkan lagi oleh lori mengangkut pasir yang keluar masuk. Memang emak seorang wanita yang serba boleh dan lasak.

Anfaal bermain masak-masak kacang panjang yang sudah tua dan tidak boleh dipasarkan.


Berbakti kepada tanah..inilah hasilnya.

Selepas beberapa lama menemankan opah di kebun. Kami semua berangkat pulang membawa bersama sebakul kacang panjang dan buncis serta beberapa biji labu. "Boleh bawa balik ke Perak nanti. Bawalah lebih untuk sedekah pada jiran-jiran" kata emak.

2 comments:

Anonymous said...

bestnya kak faiz..ada kebun macam tu. kat kampung saya, ada pokok kelapa sawit je. huhu.. siap ada sungai lagi.. best!!

MamaHanan said...

alhamdulillah juga sebab kg akak ni dekat dgn hutan hehe..