Sunday, October 4

Raya Tahun Ini Seperti Kebiasaannya

Seperti kebiasaannya raya kali ini seperti tahun-tahun sudah. Seolah-olahnya seperti apabila usia sudah semakin meningkat keseronokan raya sudah semakin berkurangan pula. Anak-anak kecil yang paling seronok sebab dapat baju baru, kasut baru dan pada hari raya dapat duit raya. Baju dan kasut baru itupun sebenarnya memang saya hendak belikan untuk anak-anak, cuma tunggu 'timing' dan sebab yang sesuai saja. Jadi sebenarnya tiada istilah baju atau kasut raya, cuma barang-barang yang dibeli itu mesti mula digunakan pada hari raya. Bagi saya seronoknya raya sebab dapat berkumpul bersama-sama seisi keluarga dan sanak saudara yang jauh mahupun dekat. Itupun cuma setakat beberapa hari saja sebab lazimnya orang cuma bercuti sampai hari raya ke-3 selepas itu semua sudah kembali bekerja. Keadaan akan kembali sunyi sepi semula dan tinggal rancangan televisyen sajalah buat peneman.

Tahun ini kami beraya di Kota Tinggi. Tidak dapatlah saya merasai kemeriahan raya di kampung emak di Raub. Adatnya kalau sudah berumahtangga ni kenalah berkorban raya ikut giliran. Jangan pula jadi seperti dalam drama di televisyen tu, sampai 'berperang' apabila hendak balik raya. Kalau diikutkan hati memanglah hendak beraya di kampung kita setiap tahun namun perlulah ingat pesan orang-orang dahulu kala ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa jawabnya iya tidak? Raya pertama selesai solat raya di masjid kami berkumpul bermaaf-maafan dan membacakan al-Fatihah untuk atuk-atuk yang telah tiada. Kemudian cuma 'melepak' di rumah saja, waktu petang sedikit barulah berkunjung ke rumah orang itupun cuma sebuah rumah dan jaraknya pun tidaklah begitu jauh. Di sana sudah meriah dengan acara marhaban atau baraan iaitu beraya dari satu rumah ke satu rumah. Rumah ibu bapa mertua saya tidak mendaftar untuk acara itu kali ini. Suasana malam pula meriah dengan bunyi letupan mercun di sana sini. Yang peliknya pihak berkuasa seperti polis dan kastam serta anak-anak mereka pun main mercun juga.

2 comments:

umi adnin said...

askm Faiz,

selamat hari raya aidilfitri. maaf zahir batin ye. kaler tema faiz sama dgn dzilal tahun ni.tonanya saja yg berbeza..faiz dah kurus lah, huhu lama tak jumpa. rindu pada kwn2 kat perak..take care..

MamaHanan said...

wslam, rindunye kat dzilal..lama x nampak kelibat.mana ade kurusnye dzilal..teknik fotografi je tu..kui3x