Monday, November 2

Menjadi Menantu Kesayangan Mentua


Perkahwinan bukan sahaja mengikat antara sepasang manusia yang bergelar suami dan isteri. Malah ia merupakan pertautan antara dua keluarga, mungkin juga dua bangsa atau dua negara. Justeru, apabila secara sah anda dinobatkan menjadi suami atau isteri, maka serentak dengan itu anda juga menjadi menantu kepada orang yang bergelar ayah dan ibu mentua.

Untuk menjamin kelangsungan sebuah perkahwinan, tidak cukup sekadar pandai menjaga hati, memadu kasih antara suami dan isteri sahaja. Sebaliknya anda juga harus tahu mengambil hati dan menagih kasih mentua.

Mentua adalah orang yang menjadi sebab kepada wujudnya pasangan anda. Merekalah yang bertanggungjawab membesar dan mendidiknya hingga menjadi manusia yang serasi sebagai pasangan untuk anda. Mereka mengenali pasangan anda jauh lebih dahulu daripada anda dan sayangnya mereka kepada pasangan anda tiada taranya.

Oleh itu jika anda ingin bahagia di sisi pasangan anda, disayangi oleh mentua dan disenangi oleh ahli keluarganya perkara-perkara berikut perlu difahami. Sebahagiannya apa yang wajib anda lakukan dan sebahagiannya apa yang mesti anda jauhi.

i. Janganlah anda mengharapkan cinta anda yang baru berputik itu akan menjadi saingan kepada kasihnya mentua anda kepada anaknya. Jangan sekali-kali anda cuba mengalihkan kasih sayang pasangan anda terhadap ibu dan bapanya.

Ingatlah perkahwinan tidak mengubah perintah Allah s.w.t. kepada setiap hamba-Nya. Dia telah berfirman (maksudnya):

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata -mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintah-Nya, maka sesungguhnya dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.”

(Al-Isra’ 17: 23-25)

Maka bantulah dia, berilah dorongan kepadanya agar menjadi anak yang soleh, yang dirahmati dan diredhai Allah s.w.t. Dengan itu secara tidak langsung anda juga mendapat pahala kerana “orang yang mendorong ke arah kebaikan baginya pahala seperti orang yang melakukannya.” (Maksud hadis riwayat Muslim daripada ‘Uqbah bin ‘Amru)

ii. Anggaplah diri anda juga anak mereka dan mereka adalah ibu dan bapa anda. Sayangi dan hargailah mereka yang telah berjasa kepada anda. Mereka telah bersusah payah mempersiapkan seorang insan yang dapat memenuhi citarasa anda, walaupun tidak sepenuhnya, namun ia tetap mengisi tuntutan naluri anda. Allah s.w.t. berfirman (maksudnya):

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan- keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Ar-Rum 30: 21)

iii. Gembirakan hati mereka dengan akhlak dan budi bahasa. Mereka tidak mengharapkan anda menjadi manusia yang sempurna. Jangan malu untuk mengakui kelemahan diri. Misalnya jika anda menantu perempuan yang tidak pandai memasak, nyatakan terus terang kepada ibu mentua dan minta supaya dia ajarkan. Tindakan seperti ini akan akan membuat dia berasa gembira dan dihargai.

iv. Ketahui minat mereka dan cuba fahami apa yang mereka suka dan apa yang mereka tidak suka. Jika mentua anda minat berkebun, maka cuba-cubalah jenguk kebunnya dan bantu apa yang patut. Jika mereka minat menulis, bacalah tulisan mereka dan berilah pandangan anda tentang tulisan mereka sama ada setuju atau tidak. Mereka tidak perlukan pujian. Yang penting mereka mengetahui bahawa anda mengambil berat tentang diri mereka. Walau bagaimanapun jika mereka meminati perkara yang haram di sisi Islam, janganlah anda terikut-ikut pula. Jauhilah dengan cara berhikmah dan bijaksana.

v. Merendah diri dan berkhidmat kepada mereka. Merendah diri tidak bermakna menghina diri. Berkhidmat tidak bermakna menjadi hamba. Dalam hal ini Nabi s.a.w. adalah sebaik-baik contoh kita. Daripada al-Aswad bin Yazid r.a., katanya: Sayidatina Aisyah r.a. ditanya tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika baginda berada di rumah. Beliau menjawab: Baginda berkhidmat kepada keluarganya. (Al-Bukhari). Abu Hurairah melaporkan bahawa baginda bersabda (maksudnya): “Tiada merendah seseorang kerana Allah melainkan diangkatkan darjatnya oleh Allah s.w.t.” (Muslim)

Sebagai contoh, pada waktu makan bersama, jangan bangun ketika mereka sedang makan. Tunggulah mereka selesai dan bersihkanlah hidangan. Kalau terpaksa, mintalah izin sebelum bangun.

vi. Jangan lokek dan berkira dengan mentua terutama apabila mereka datang ke rumah anda atau anda berkunjung ke rumah mereka. Ingatlah! Mereka telah terlalu banyak berkorban untuk membesarkan pasangan anda.

vii. Doakan mentua setiap kali mendoakan kedua-dua ibu bapa anda. Katakanlah: “Ya Allah, ampunilah dosa kedua-dua ibu bapaku dan kedua-dua ibu bapa suami/isteriku dan rahmatilah mereka sebagaimana mereka mendidik kami pada waktu kami kecil.”


Dipetik daripada: http://www.malaysiaharmoni.com


2 comments:

Nurul Izza said...

Kadang..maertua tak seperti ibu kita NAMUN..kitalah yg harus menjadikan mertua sebagai ibu kita.
alhamdulillh takat ni, mertua perempuan mmg mcm kawan.banyak yg kami sharing.adakalanya teras juga dgn kata2nya tapi ambil sebagai nasihat.moga2 berkekalan..amin..

MamaHanan said...

Betul tu Izza..Mak mertua memanglah tak sama dgn mak kita sendiri. Muka pun tak sama apatah lagi sifat dan lakunya. Kita cubalah yang terbaik untuk merapatkan hubungan dan jadikan mak mertua macam mak kita kan. Itulah antara hikmah Allah menyuruh kita berkenal-kenalan antara pelbagai kaum di muka bumi.