Sunday, December 20

Yang Dekat Di Hati


"Marilah dik..sepuluh ringgit saja satu pusingan" pelawa pakcik beca itu. "Tak apa ke pakcik? Kami ni berat..kesian pula nanti pakcik nak bawa kami" beritahu suami saya sambil kami tersenyum-senyum pada pakcik beca. "Alah bisa tegal biasa dik.." tambah pakcik beca. "Tak apa, adik pergilah jalan-jalan dulu ambil gambar. Sekejap lagi datang." Kami sekadar menggangguk tanda setuju. Lagipun semua beca yang pada awalnya diparkir di tepi jalan itu semuanya telah dinaiki pelancong dalam kami sibuk tawar-menawar tadi. Nampaknya seperti pakcik itu merupakan pengurus kepada perjalanan sewa beca di kawasan tersebut. Dia tidak mengayuh beca. Cuma menguruskan tawar-menawar dengan pelancong atau bakal penumpang beca sahaja. Jika ada yang berkenan menaiki beca maka pengayuh-pengayuh beca pun dipanggilnya. 




Kami mengambil kesempatan melihat model-model keretapi dan replika kereta lembu yang ada sementara menunggu beca kosong tiba. Negeri Hang Tuah sememangnya tidak asing bagi saya kerana ayah kandung saya adalah anak jati negeri ini. Cuma setelah bertahun-tahun tidak singgah di sini keadaannya sudah jauh berbeza. Saya masih ingat, dahulu Dataran Pahlawan merupakan sebuah padang yang luas, tempat orang menaiki kereta lembu. Sekarang tiada lagi kereta lembu. Yang ada cuma replikanya sahaja. Kota A' Famosa juga sudah tampak begitu kerdil. Bangunan pusat membeli-belah yang gah berdiri telah menenggelamkan tarikan asal  bandaraya tinggalan Parameswara itu. Kami hampir-hampir tidak perasan di mana duduk sebenarnya Kota A' Famosa sekiranya tidak menaiki Menara Taming Sari pada awalnya tadi. 

Selepas agak lama menunggu, beca kami akhirnya tiba. Kami memilih menaiki dua buah beca. Takut nanti tidak terkayuh pula pakcik beca itu kalau kami berempat menaiki satu beca sahaja:) Saya seronok mendengar cerita Pakcik Osman yang mengayuh beca yang membawa saya dan Anfaal. "Yang ini muzium..yang itu mahkamah..Kalau adik nak bezakan bangunan tinggalan Portugis yang berbatu-bata, orang Belanda pulak yang berwarna merah dan kalau 'orang putih' bangunan tinggalannya berwarna putih tu" jelas Pakcik Osman dengan panjang lebar ibarat pemandu pelancong. Pemilik-pemilik beca di situ memang sangat kreatif. Setiap beca dihias indah sekali. Beca Pakcik Osman yang kami naiki siap dipasang pemain cakera padat yang memainkan lagu Hindustan. Saya terasa seolah-olah seperti pengantin yang sedang diarak pula. 




  Melaka alaf baru. Pemandangan dari atas Menara Taming Sari.




Melaka, memang dekat di hati saya. Bukan hanya disebabkan ia adalah tanah asal nenek moyang saya tetapi kerana nilai negeri itu sendiri yang mewah dengan sejarah dan pelbagai tarikan.


 

Thursday, December 17

Beradu Di Atas Ombak

"Di sana tu! Itulah tempatnya" Kami masing-masing melihat ke arah yang ditunjukkan nun jauh ke tengah laut. "Tak bahaya ke untuk budak-budak ni?" soal saya ragu-ragu. "Kena perhatikan betul-betul lah, tak boleh leka. Kalau tidak, boleh terjatuh ke dalam laut." Selepas mengambil sedikit masa untuk berbincang maka akhirnya kami semua bersetuju untuk bermalam di atas rumah rakit itu. Ini kali pertama seisi keluarga mertua saya pergi bercuti bersama-sama. Perancangan oleh ibu mertua saya pada asalnya sedikit berbeza namun alhamdulillah terlaksana juga.


Percutian di atas rumah rakit di Tanjung Buai tempoh hari menyedarkan saya. Sebenarnya terdapat begitu banyak lagi destinasi atau perkara menarik di negara kita ini yang masih belum diterokai oleh warganya sendiri. Pertama kali saya merasakan pengalaman tinggal semalaman di atas rakit. Adakalanya terasa juga sedikit pening kepala ketika gelombang yang kuat tetapi ia ternyata pengalaman baru yang menyeronokkan walaupun kadang-kadang terhoyong-hayang juga dibuatnya.


Melayan karenah Anfaal, Hanan dan Aiman sepupu mereka.


Kemudahan yang disediakan cukup selesa. Bilik tidur dilengkapi dengan kipas angin atau penghawa dingin dan televisyen. Kemudian terdapat bilik air, tempat barbeku, dapur, ruang makan, dan surau. Semua peralatan elektrik menggunakan kuasa generator. Kalau hendak mendapatkan apa-apa keperluan pun tiada masalah kerana bot sentiasa bersedia untuk ke daratan. Tiada caj tambahan yang dikenakan kerana ia termasuk dalam bayaran sewa rakit.

Aktiviti barbeku bersama dan memancing di atas rakit dapat mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan. Menikmati hidangan makanan laut yang segar sambil disapa bayu laut dan dipayungi langit beribu bintang amat menyenangkan. Subhanallah..betapa banyak nikmat yang Allah berikan untuk kita nikmati, hargai dan syukuri. Pertama kali juga bagi saya makan telur belangkas. Rasanya pelik namun setelah lama dikunyah rasanya bertukar agak lemak seperti kacang hijau.



Telur belangkas bakar.

Kami pulang keesokan harinya berbekalkan sekotak ikan kerapu dan siakap, ketam serta belangkas segar dari sangkar di rumah rakit. Tidak lupa, kenangan manis beradu di atas ombak laut Cina Selatan di Tanjung Buai yang sememangnya seakan membuai-buai.






"Maka nikmat Rab (Tuhan) kamu yang manakah yang kamu dustakan?" (Surah Ar-Rahman)

Wednesday, December 16

Surah Al-Fatihah dan Yaasin Buat Atuk

Panggilan telefon daripada Pak Uteh sedikit mengejutkan saya. Sudah lama bapa saudara saya ini tidak menghubungi saya kecuali ada hal-hal tertentu sahaja. Hati saya berdebar-debar. Entah mengapa saya dapat merasakan sesuatu. "Atuk dah nazak. Sekarang ni di hospital" beritahu Pak Uteh dicorong telefon. Seakan ditakdirkanNya, saya dan keluarga memang berada tidak jauh dari Hospital Melaka waktu itu kerana berhenti rehat dalam perjalanan pulang selepas bercuti di Kota Tinggi, Johor. Kami sekeluarga bergegas ke lokasi yang dimaksudkan. Hati saya sebak sebaik melihat atuk terlantar di atas katil dalam keadaan yang amat uzur. Sudah 'nyawa-nyawa ikan' bak kata orang. Pernafasan atuk sekadar berbantukan mesin. Mata atuk tertutup rapat, mulutnya pula sedikit terbuka. Kaki kanan atuk rupa-rupanya baru sahaja seminggu diamputasi sehingga paras lutut akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya sudah semakin serius. Tangan kiri juga sudah mula membengkak kesan penyakit itu. Saya sempat mengusap dahi atuk dan membisikkan kalimah syahadah di telinganya. Waktu itu air mata saya tidak dapat dibendung lagi. Sedih dan gementar membayangkan sakaratul maut yang sedang dilalui oleh atuk ketika itu. Selepas berbincang dengan doktor yang merawat, akhirnya keputusan dibuat supaya atuk dibawa pulang ke rumah. Atuk menghembuskan nafas terakhirnya sebaik mesin sokongan pernafasan dibuka lewat petang itu disisi isteri tercinta, semua anaknya, cucu-cucu, cicit-cicit juga sanak saudara pada usia 82 tahun.

Kali terakhir saya bertemu atuk ialah pada Aidilfitri yang lalu. Waktu itupun kesihatan atuk sudah semakin merosot dan ibu jari kaki kanannya baru saja diamputasi namun atuk masih mampu bergurau. Kini, tiada lagi atuk yang selalu menghubungi saya bertanyakan bila saya hendak pulang ke kampung di Tg Minyak? Tiada lagi atuk yang selalu cuba berusaha merapatkan hubungan saya dan adik dengan ayah yang telah meninggalkan kami sejak kecil. Tiada lagi atuk saya yang tidak pernah melupakan saya walaupun cucunya ini selalu tidak ingat akan satu-satunya datuknya yang masih ada sebelum ini. Hanya surah al-Fatihah dan Yaasin buat mengiringi Allahyarham atuk yang sangat saya sayangi. Semoga atuk tenang di sana dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman..amin.


Thursday, December 3

Ke Kuala Kangsar

Kami sekeluarga akan bertolak ke Kuala Kangsar petang ini. Hujung minggu ini bakal berlangsung majlis Perhimpunan Perwakilan Nasional yang diadakan setiap tahun. Istimewa dan mencabarnya tahun ini kami di Perak menjadi tuan rumah. Berdebar sungguh memikirkan majlis yang bakal bermula esok. Seluruh perwakilan dari segenap ceruk tanahair akan berhimpun di Dewan Kolej Islam Darul Ridzuan yang menjadi lokasi mesyuarat. Waktu ini sememangnya dinanti-nantikan saban tahun kerana ia menjadi medan perjumpaan untuk berkongsi citra dan mengukuhkan idealisme perjuangan dakwah. Buat semua ikhwah akhawat yang bakal ke mari didoakan mudah-mudahan selamat pergi dan pulang. Diucapkan selamat datang ke Peghak buat kome semua. Semoga majlis perhimpunan kita akan berjalan dengan lancar dan jayanya..ameen.


Wednesday, December 2

Berita Baik


Mungkin bagi orang lain hal ini bukanlah perkara besar. Saya baru mendapat maklumat yang Malaysia telah menghasilkan keju buatan Muslim yang halal lagi toyyib. Maklumat ini saya perolehi daripada majalah Anis edisi Disember yang turut memaparkan resepi-resepi menarik dan mudah berasaskan keju. Sebenarnya saya bukanlah suka sangat makan keju. Kalau sudah lidah belacan dan tempoyak tetaplah seleranya begitu. Cuma sekali sekala teringin hendak masak kek keju atau makanan yang ada keju. Dengan adanya keju berjenama D'Qisra Tja Cheez ini masyarakat Islam tidak perlu rasa ragu-ragu lagi untuk membeli keju. Cuma buat masa ini pasaran keju Tja ini tidaklah seperti jenama keju lain seperti Cheesdale yang mudah didapati di mana-mana pasaraya. Namun tidak mustahil jenama ini mampu berada sebaris dengan jenama keju yang sedia ada jika kita pengguna Islam memberikan sokongan padu.

Apa yang lebih membanggakan saya ialah teknologi ini dipelopori oleh orang Islam. Setelah meneliti laman web D'Qisra barulah saya tahu rupa-rupanya ladang keju ini terletak di negeri kelahiran saya sendiri. Kalau berkesempatan nanti bolehlah singgah di Janda Baik untuk melihat sendiri proses keju ini dihasilkan.

Cukupkah Pengorbananku?

Tanggal 10 Zulhijjah baru sahaja berlalu. Tarikh yang amat bermakna buat umat Islam seluruhnya kerana menghayati peristiwa bersejarah Nabi Ibrahim a.s mengorbankan anakandanya Nabi Ismail a.s. Begitu klise kenyataan ini. Adakah makna sebenar Aidiladha ini dapat dihayati oleh setiap insan Muslim itu masih belum tentu lagi. Jadi, untuk lebih menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim a.s itu kita perlu meletakkan diri kita di tempatnya. Saya membayangkan sekiranya saya diperintahkan Allah untuk menyembelih salah seorang daripada anak saya Anfaal atau Hanan. Logiknya tentu saya tidak tergamak melakukan yang sedemikian.


Mungkin bagi yang 'berduit' mudah sahaja setakat mengeluarkan sejumlah wang untuk bahagian haiwan yang dikorbankan tetapi menghayati dan melakukan pengorbanan sebenar itu amat mendalam ertinya. Saya amat tersentuh menyaksikan kisah pengorbanan seorang anak yang dipaparkan menerusi Buletin Utama malam tadi. Anak berusia 13 tahun itu menemani ayahnya yang mengalami penyakit otot menunaikan ibadah haji kerana tahu bahawa ada waktunya ibunya akan tinggal berasingan ketika di tanah suci. Anak muda itu begitu sabar melayan dan menjaga
ayahnya yang ternyata amat sukar untuk bergerak. Apa kata anak itu ketika ditemuramah wartawan? "Inilah masanya untuk saya membalas jasa ibu bapa yang telah membesarkan saya." Moga kebaikan anak itu diganjari Allah. Beliau masih terlalu muda tetapi matang benar sikapnya.

Syukur kepada Allah, tahun ini saya dapat menunaikan ibadah korban yang dagingnya dihantar kepada saudara-saudara Islam di Kemboja. Rasanya lebih baik sekiranya daging-daging korban itu diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan berbanding kita di Malaysia yang hampir setiap hari dapat menjamah hidangan daging. Lagipun tidak elok sekiranya selalu sangat makan daging merah. Hal ini juga signifikan dengan kenyataan dalam media elektronik yang menyatakan rakyat negara ini membazirkan 10 tan makanan setiap tahun (opss..bukan setiap tahun tetapi setiap hari). Banyaknya! Hal ini memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan mendenda barangsiapa yang membazirkan
makanan lagi. Sampai begitu pula jadinya. Betapa mewahnya kita dengan makanan ya.

Kalau tidak dihadiahkan, daging itu mungkin juga dibuat sup daging atau gulai lemak daging salai dan terung asam macam yang emak saya masak di kampung
tempoh hari. Sedapnya hingga menjilat jari! (Emm..bilalah agaknya masakan saya akan jadi sesedap masakan emak-emak?) Justeru, menghadiahkan atau memberikan bahagian daging korban kita kepada orang lain merupakan satu bentuk pengorbanan juga bukan..


.Yang ini 'pembantu' emak saya sedang tolong (menyibuk) membancuh adunan kek coklat di pagi Aidiladha. Alhamdulillah kek yang terhasil tidak termasuk dalam kategori 10 tan di atas kerana habis licin:)


Monday, November 23

Hujan, Ihtifal dan Bonsai

Musim tengkujuh menjelma lagi. Begitulah kelaziman cuaca yang melanda bumi bertuah ini pada setiap hujung tahun. Saya kasihan dan simpati sekali terhadap rakyat di kawasan-kawasan yang dilanda bah. Namun apa daya insan yang amat rapuh. Sudah semestinya kita tidak akan mampu melawan kehendak alam. Di daerah ini pun hujan turun sepanjang hari sejak semalam lagi. Hujan lebat dan adakalanya berhenti seketika namun gerimis pula menyambung sehingga malam. Pakaian-pakaian yang dibasuh sekadar berlonggok di dalam bakul menunggu giliran untuk dijemur di teduhan yang amat terhad. Tidak boleh mengeluh kerana hujan, apalagi menyalahkan cuaca ini. Redha sahajalah kerana itu ketentuan yang terbaik. Peluang tidak dapat keluar dari rumah ini harus dinikmati secara positif. Justeru, hari ini saya dan keluarga dapat berehat dan menghabiskan masa bersama sepanjang hari, alhamdulillah.

Saya mengambil kesempatan untuk memindahkan gambar-gambar serta video yang kami rakam semalam ke cakera keras komputer riba. Semalam kami sekeluarga menghadiri Majlis Ihtifal tadika Anfaal yang diadakan di dewan Institut Latihan KEMAS di sini. Tatkala menyaksikan si cilik Anfaal dan rakan-rakan sekelasnya membuat persembahan di atas pentas, air mata saya hampir-hampir hendak tumpah. Hati saya berdetik. "Oh Tuhan, inikah anak yang saya lahirkan empat tahun dahulu?
Sudah semakin besar anak saya." Rasanya macam baru kelmarin Anfaal menyusu di pangkuan saya. Tidak dapat saya bayangkan perasaan saya pada masa akan datang ketika melalui pelbagai lagi detik penting dalam hidup anak-anak saya seiring usia mereka. Anfaal yang kami panggil "kakak" sempat melemparkan senyuman dan melambai-lambaikan tangan sebelum persembahan bermula. Dia kemudian dengan comel dan yakin sekali beraksi bersama rakan-rakannya mempersembahkan dikir dalam bahasa Arab berjudul "Aza abi azadi ummi".

Anfaal di kedudukan lima dari kiri.
(Sayang sekali saiz video terlalu besar untuk dimuatnaik.)



Keriangan Anfaal bertambah lagi selepas menerima hadiah Anugerah Khas Kecemerlangan Kepimpinan untuk kelas 4 tahun. Anfaal bukannya faham pun makna anugerah itu. Yang penting dia gembira kerana mendapat hadiah. Sebagai ibu bapa pastinya saya dan suami bangga dan bersyukur atas sifat kepimpinan yang ditonjolkan Anfaal. Menurut guru kelas Anfaal; Teacher Nurizan, anak sulung saya ini seperti guru kedua di dalam kelas. "Anfaal agak garang tetapi pada masa yang sama seorang pemalu." ulasnya.


Bersama Teacher Nur, guru kesayangan Anfaal.


Bersemangat sungguh menyanyikan lagu untuk guru-guru.


"Anak-anak ibarat pohon bonsai. Susah hendak menjaga serta menghasilkan pohon bonsai yang indah. Ada seni. Perlukan kesabaran yang tinggi. Kalau kita terleka walau sebentar, maka ia akan tumbuh tidak terurus. Justeru, tidak cantiklah pohon bonsai itu dan tidak jadi sepertimana yang kita hajatkan." Kata-kata Ustaz Alias Othman, salah seorang murabbi kami akan saya ingat sampai bila-bila insyaAllah. Munajat saya kepada yang Maha Esa agar 'bonsai-bonsai' saya tumbuh indah, renek dan 'menjadi' hingga sampai ke syurgaNya, ameen..




Saturday, November 21

Masa Oh! Masa

Beberapa minggu ini saya begitu kepenatan sekali. Secara fizikal dan mental. Seolah-olah tidak cukup waktu selama 24 jam sehari yang dikurniakan Allah. Pada kebanyakan hari, pasti kelopak mata saya seakan-akan tidak mampu diangkat lagi sebaik selesai Isya'. 'Mood' untuk menulis juga jadi luntur dek kesibukan mengejar waktu. Lantaran pelbagai agenda penting yang berlaku dan bakal berlaku dalam tempoh 2 bulan ini ada kaitannya dengan diri saya. Maka, mahu tidak mahu perlu lah saya berkorban sementara menunggu cuti yang bakal tiba insyaAllah. Sesungguhnya tanggungjawab kita umat akhir zaman ini memang terlalu banyak berbanding masa yang ada. Hanya doa yang mampu dipanjatkan semoga setiap detik waktu ini mendapat keberkatan daripadaNya.



Thursday, November 5

Ceria Bersama Keluarga Besar


Saat-saat kesibukan menyemak tugasan dan ujian bermula lagi. Begitulah rutinnya setiap kali menjelang hujung semester. Kesibukan urusan tugas hakiki tidak menghalang waktu untuk bersantai seketika. Sekadar menghilangkan lelah lima hari seminggu di tempat kerja. Mujur tahun ini tarikh hari keluarga tempat kerja saya dan suami tidak bertembung lagi seperti tahun-tahun sudah. Sememangnya terkandung pelbagai manfaat daripada amalan sambutan hari keluarga tempat kerja. Di samping dapat mengeratkan silaturrahim antara rakan-rakan seperjuangan, dapat pula mengenali ahli-ahli keluarga mereka dalam suasana santai dan ceria.


Lokasi yang dipilih pada tahun ini ialah di Lost World Of Tambun. Warna biru menjadi warna tema. Ini merupakan kali pertama kami sekeluarga ke sana walaupun sudah beberapa kali melalui kawasan tersebut tidak lama dulu. Jika ke tempat-tempat begini kanak-kanaklah yang paling seronok. Sebaik masuk, Anfaal dan Hanan sudah tidak sabar hendak mandi di pantai buatan yang dibina. Anak-anak staf yang lain pun sama sehinggakan akhirnya acara sukaneka untuk kanak-kanak tidak lagi mendapat sambutan.

Lihat saja gelagat dua beradik ini selepas mendapat 'lampu hijau'.


Naik pening pula kepala setelah hampir sehari suntuk berprogram di situ. Manakan tidak, pusing depan, belakang, kiri atau kanan 'bersepah' orang-orang mendedahkan aurat masing-masing. Yang bukan Islam itu suatu hal, yang Islam pun tanpa segan silu berjalan di khalayak ramai dengan hanya berbaju mandi..masyaAllah. Tidak fasal-fasal pula dapat 'dosa kering' bak kata orang tu. Namun kali ini sudah jadi 'dosa basah' pulalah nampaknya sebab berada di taman tema air!

Selesai menunaikan yang fardhu, kami berjalan kaki ke kawasan zoo mini di bahagian belakang. Lebih baik lihat haiwan yang sudah tentunya dijadikan Allah tidak berpakaian. Kemudian dapatlah merasa menaiki keretapi mini selepas menjenguk 'Pak Belang' yang pernah disiarkan dalam rancangan Majalah 3.


Kecilnya 'tali pinggang' Raja Sulaiman.



Alhamdulillah tuah kami kali ini dapat cabutan hadiah yang dihajatkan dan yang belum ada di rumah.


Keesokan harinya kami ke Taman Herba Papan di Batu Gajah bagi merai hari keluarga tempat kerja saya pula. "Amboii..hujung minggu ini berjalan-jalan saja kome ye!." Usik jiran di sebelah rumah semasa hendak keluar pagi itu. Saya hanya tersenyum mengiyakan. Bukannya selalu dapat peluang begini.


Bersama keluarga besar tempat kerja saya.



Monday, November 2

Merai Kejayaan Anak-Anak Didik


Seminggu yang lalu saya di Melaka atas tiket wakil kolej sebagai AJK Majlis Konvokesyen yang diadakan di sana. Sekalung tahniah untuk semua bekas anak didik yang kini membawa haluan hidup masing-masing. Sebagaimana kata-kata yang sering saya kongsikan dengan pelajar-pelajar saya di dalam kelas "sekarang masa kamu hidup untuk belajar supaya selepas ini kamu boleh belajar untuk hidup." Kata-kata azimat ini saya perolehi daripada salah seorang guru saya tidak lama dahulu.

Bertemu semula para pelajar yang telah tamat pengajian di kolej dengan pelbagai ragam dan gaya sedikit menyentuh hati. Saya bersyukur melihat dan mendengar tentang mereka yang telah berubah ke arah yang lebih positif namun turut berdoa agar yang masih tercari-cari arah hidup dan jatidiri segera mendapat petunjuk.

Wajah-wajah ceria pada hari konvokesyen.



Ada antara mereka yang telah menjawat jawatan di bank-bank, membuka perniagaan sendiri dan bekerja di syarikat-syarikat swasta. Tidak kurang juga yang masih meneruskan perjuangan menuntut ilmu di IPTA dan IPTS tempatan. Yang bakal dan telah mendirikan rumahtangga hadir diiringi pasangan yang ada di kalangannya merupakan bekas rakan sepengajian dahulu. Wah! Semakin ramailah 'cucu' kami para pendidik di kolej nanti nampaknya ya. Sebagai guru tiada apa yang lebih membanggakan selain dapat melihat anak didiknya menjadi 'manusia'. Bukan intan permata atau pujian yang diharapkan. Cukuplah sekadar secebis ingatan dan ucapan terima kasih yang diterima. Itupun kalau ada yang sudi mengucapkan terima kasih.

Mengukir kenangan bersama rakan-rakan setugas.




Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Menjadi Menantu Kesayangan Mentua


Perkahwinan bukan sahaja mengikat antara sepasang manusia yang bergelar suami dan isteri. Malah ia merupakan pertautan antara dua keluarga, mungkin juga dua bangsa atau dua negara. Justeru, apabila secara sah anda dinobatkan menjadi suami atau isteri, maka serentak dengan itu anda juga menjadi menantu kepada orang yang bergelar ayah dan ibu mentua.

Untuk menjamin kelangsungan sebuah perkahwinan, tidak cukup sekadar pandai menjaga hati, memadu kasih antara suami dan isteri sahaja. Sebaliknya anda juga harus tahu mengambil hati dan menagih kasih mentua.

Mentua adalah orang yang menjadi sebab kepada wujudnya pasangan anda. Merekalah yang bertanggungjawab membesar dan mendidiknya hingga menjadi manusia yang serasi sebagai pasangan untuk anda. Mereka mengenali pasangan anda jauh lebih dahulu daripada anda dan sayangnya mereka kepada pasangan anda tiada taranya.

Oleh itu jika anda ingin bahagia di sisi pasangan anda, disayangi oleh mentua dan disenangi oleh ahli keluarganya perkara-perkara berikut perlu difahami. Sebahagiannya apa yang wajib anda lakukan dan sebahagiannya apa yang mesti anda jauhi.

i. Janganlah anda mengharapkan cinta anda yang baru berputik itu akan menjadi saingan kepada kasihnya mentua anda kepada anaknya. Jangan sekali-kali anda cuba mengalihkan kasih sayang pasangan anda terhadap ibu dan bapanya.

Ingatlah perkahwinan tidak mengubah perintah Allah s.w.t. kepada setiap hamba-Nya. Dia telah berfirman (maksudnya):

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata -mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintah-Nya, maka sesungguhnya dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.”

(Al-Isra’ 17: 23-25)

Maka bantulah dia, berilah dorongan kepadanya agar menjadi anak yang soleh, yang dirahmati dan diredhai Allah s.w.t. Dengan itu secara tidak langsung anda juga mendapat pahala kerana “orang yang mendorong ke arah kebaikan baginya pahala seperti orang yang melakukannya.” (Maksud hadis riwayat Muslim daripada ‘Uqbah bin ‘Amru)

ii. Anggaplah diri anda juga anak mereka dan mereka adalah ibu dan bapa anda. Sayangi dan hargailah mereka yang telah berjasa kepada anda. Mereka telah bersusah payah mempersiapkan seorang insan yang dapat memenuhi citarasa anda, walaupun tidak sepenuhnya, namun ia tetap mengisi tuntutan naluri anda. Allah s.w.t. berfirman (maksudnya):

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan- keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Ar-Rum 30: 21)

iii. Gembirakan hati mereka dengan akhlak dan budi bahasa. Mereka tidak mengharapkan anda menjadi manusia yang sempurna. Jangan malu untuk mengakui kelemahan diri. Misalnya jika anda menantu perempuan yang tidak pandai memasak, nyatakan terus terang kepada ibu mentua dan minta supaya dia ajarkan. Tindakan seperti ini akan akan membuat dia berasa gembira dan dihargai.

iv. Ketahui minat mereka dan cuba fahami apa yang mereka suka dan apa yang mereka tidak suka. Jika mentua anda minat berkebun, maka cuba-cubalah jenguk kebunnya dan bantu apa yang patut. Jika mereka minat menulis, bacalah tulisan mereka dan berilah pandangan anda tentang tulisan mereka sama ada setuju atau tidak. Mereka tidak perlukan pujian. Yang penting mereka mengetahui bahawa anda mengambil berat tentang diri mereka. Walau bagaimanapun jika mereka meminati perkara yang haram di sisi Islam, janganlah anda terikut-ikut pula. Jauhilah dengan cara berhikmah dan bijaksana.

v. Merendah diri dan berkhidmat kepada mereka. Merendah diri tidak bermakna menghina diri. Berkhidmat tidak bermakna menjadi hamba. Dalam hal ini Nabi s.a.w. adalah sebaik-baik contoh kita. Daripada al-Aswad bin Yazid r.a., katanya: Sayidatina Aisyah r.a. ditanya tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika baginda berada di rumah. Beliau menjawab: Baginda berkhidmat kepada keluarganya. (Al-Bukhari). Abu Hurairah melaporkan bahawa baginda bersabda (maksudnya): “Tiada merendah seseorang kerana Allah melainkan diangkatkan darjatnya oleh Allah s.w.t.” (Muslim)

Sebagai contoh, pada waktu makan bersama, jangan bangun ketika mereka sedang makan. Tunggulah mereka selesai dan bersihkanlah hidangan. Kalau terpaksa, mintalah izin sebelum bangun.

vi. Jangan lokek dan berkira dengan mentua terutama apabila mereka datang ke rumah anda atau anda berkunjung ke rumah mereka. Ingatlah! Mereka telah terlalu banyak berkorban untuk membesarkan pasangan anda.

vii. Doakan mentua setiap kali mendoakan kedua-dua ibu bapa anda. Katakanlah: “Ya Allah, ampunilah dosa kedua-dua ibu bapaku dan kedua-dua ibu bapa suami/isteriku dan rahmatilah mereka sebagaimana mereka mendidik kami pada waktu kami kecil.”


Dipetik daripada: http://www.malaysiaharmoni.com


Thursday, October 29

Tiga Kisah, Satu Pengajaran


Kampung Kepah

Encik Ali begitu asyik dengan gajet GPS yang baru dipasang pada kenderaannya. "Sekarang tidak perlu bimbang lagi kalau hendak ke mana-mana, kita tidak akan sesat jalan selagi ada alat ini. Mana-mana lokasi boleh dikesan oleh alat ini pada bila-bila masa sahaja" Kata Encik Ali dengan bangganya. Justeru, berdasarkan keyakinan terhadap alat tersebut Encik Ali sekeluarga telah bertolak pulang dari kampung pada sebelah malam. Perjalanan dari Pantai Timur ke negeri Perak makan masa agak panjang. Tambahan lagi Encik Ali sekeluarga telah memilih untuk melalui jalanraya yang sedang dalam pembinaan di kawasan tanah tinggi Cameron Highland. Jalanraya tersebut memang sunyi kerana jarang dilalui kenderaan. Keadaan persekitarannya pula gelap gelita kerana tiada lampu jalan. Namun, Encik Ali tidak gusar dengan keselamatan anak isteri atau tersalah jalan kerana adanya alat GPS yang canggih. Perjalanan yang bermula pada awal malam membawa mereka sekeluarga melalui kawasan tanah tinggi itu pada waktu tengah malam.

Sedang kenderaan Encik Ali melalui jalan yang semakin sempit tiba-tiba kelihatan sebuah papan tanda bertulis 'Kampung Kepah'. "Betulkah jalan ni bang?" tanya Puan Fatimah kebimbangan. "Itulah..abang pun rasa ini bukan jalan yang biasa kita lalu" ujar Encik Ali pula. "Ahh..tak mungkin GPS ni boleh tersilap pula". Kedua-dua orang anak Encik Ali yang duduk di bahagian belakang kereta turut dilanda kerisauan. Malam kian melarut. Tiba-tiba nun jauh di hadapan mereka
kelihatan susuk sebuah kenderaan sedang bergerak perlahan. Hati kecil Encik Ali sedikit lega. Encik Ali lantas menekan pedal minyak sedikit kuat bagi merapati kenderaan di hadapan. Rupa-rupanya di hadapan mereka itu ialah sebuah van berwarna biru seakan van kilang. Mereka sekeluarga diserang perasaan terkejut yang amat sangat ketika semakin hampir dengan van di hadapan. Didapati kesemua penumpang van itu berpakaian serba putih dan berdiri tegak seperti patung. Bulu roma Encik Ali meremang. Puan Fatimah pula terkumat-kamit membaca segala ayat suci al-Quran yang dihafalnya. Manakala anak-anak Encik Ali hampir-hampir terbuang air kecil kerana ketakutan. Selepas bersusah-payah akhirnya kenderaan Encik Ali berjaya memintas van misteri itu. Setibanya di rumah mereka Encik Ali berusaha menjejak lokasi Kampung Kepah melalui Internet dan peta namun gagal. Akibat keadaan kesihatan yang terganggu, beliau kemudiannya terpaksa dimasukkan ke hospital.


Kucing Hitam

Sejak akhir-akhir ini banyak kejadian kecurian yang berlaku di kawasan blok asrama siswi di kampus. Malam itu Hanim tinggal berseorangan di bilik kerana Aliya rakan sebiliknya pulang ke kampung. Jam hampir mencecah angka sebelas. Mata Hanim pun sudah tidak mampu untuk menatap helaian mukasurat buku di hadapannya. "Hanim, kau jangan lupa kunci pintu dan selak sekali sebelum tidur nanti tau! Maklumlah sekarang kan banyak kes kecurian, nanti tak pasal-pasal bilik kita kena ceroboh." Hanim masih teringat pesan Aliya petang tadi semasa hendak meninggalkan bilik. "Kau jangan risau lah..kan kita dah pasang selak tu. Bilik orang lain mana ada selak sebab tu pencuri boleh masuk" kata Hanim meyakinkan rakannya.

Selepas beberapa jam dibuai mimpi tiba-tiba Hanim dikejutkan oleh bunyi yang datang dari bawah katilnya. "Miow..miow.." Sekonyong-konyong muncul seekor kucing berbulu hitam pekat berkilat dari bawah katil. Kucing itu kemudian melompat ke atas meja belajar Hanim. Hanim tergamam sambil memikirkan dari mana dan bagaimana kucing itu boleh berada di dalam biliknya sedangkan pintu bilik terkunci rapat. Kucing itu mengiau-ngiau lagi sambil memandang ke arah Hanim. Ia lalu melompat ke arah tingkap dan lenyap begitu sahaja. Hanim lantas mengucap panjang dan teringat semula akan kata-katanya petang tadi.


Ayat Kursi

Ustaz Ahmad baru saja menikahi Aisyah seorang wanita berbangsa Cina yang baru memeluk agama Islam. Satu malam sebelum meninggalkan rumahnya untuk beberapa hari Ustaz Ahmad telah berpesan kepada isterinya supaya mengunci pintu dan tingkap sambil membacakan ayat Kursi bagi menjaga keselamatan isterinya itu yang tinggal berseorangan di rumah. "Jangan lupa baca ayat Kursi ketika mengunci pintu dan tingkap. InsyaAllah Aisyah takkan apa-apa" pesan Ustaz Ahmad. "Petang esok insyaAllah abang baliklah" tambahnya lagi. Selepas bersalaman dengan suaminya Puan Aisyah pun mengunci pintu tetapi dia kemudiannya baru tersedar yang suaminya masih belum mengajarnya membaca ayat tersebut. Oleh kerana tidak tahu apakah ayat yang dimaksudkan oleh suaminya, Puan Aisyah sekadar menyebut perkataan 'kursi Allah' sahaja setiap kali mengunci tingkap dan pintu rumahnya.

Keesokan paginya Puan Aisyah terkejut apabila mendapati ramai orang kampung berkumpul di hadapan rumahnya. Dia semakin terperanjat ketika dimaklumkan oleh orang kampung bahawa terdapat seorang lelaki di hadapan pintu rumahnya. Lelaki tersebut tidak dapat bergerak seolah-olah kaki dan tangannya terikat. Selepas diasak oleh orang kampung lelaki itu akhirnya mengakui sebenarnya dia berniat hendak memecah masuk dan merompak rumah Ustaz Ahmad dan Puan Aisyah. Waima niatnya itu tidak kesampaian kerana secara tiba-tiba muncul puluhan kerusi memagari dirinya. Kemudian kaki dan tangannya juga menjadi kaku.


Kisah-kisah ini bukanlah rekaan. Sengaja saya coretkan di sini selepas membuat sedikit perubahan pada watak-wataknya. Ia merupakan kejadian yang benar-benar berlaku yang diceritakan kepada saya. Saya segera teringat akan firman Allah dalam surah al-Ikhlas:
"Allah ialah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu."

Menyedari hakikat bahawa kita sebagai manusia tidak mempunyai kuasa walau sebesar zarah pun ke atas diri kita maka Allah berhak menegur kita dengan apa cara atau melalui makhluk-makhlukNya yang lain. Kisah-kisah yang saya dengar ini secara tidak langsung mengingatkan saya bahawa apapun kehebatan yang kita ada kita hanya boleh bergantung kepada Dia..hanya Dia.





Monday, October 19

Rindu Pada Yang Jauh

"Mokde nak main bola ke tu mama?"
"Taklah..mokde ambil gambar kat situ je"

"Mokde kat mana tu?"

"Kat Manchester la.."
"Manshester? Mokde buat apa kat situ?"

"Mokde belajar kat situ"
"Ooo.." (Konon-kononnya fahamlah tu)


Macam-macam soalan yang diajukan oleh Hanan apabila melihat gambar yang dikirim oleh mokde ni. Kadang-kadang susah juga hendak menerangkan kepada anak-anak saya bahawa emak saudara mereka sekarang berada di suatu tempat yang jauh dari sini. Semasa di kampung Anfaal pula asyik bertanya di mana mokde. "Tak seronokla mokde takde..takde orang nak main dengan Anfaal."
Baru sebulan lebih mokde tidak ada di rumah. Dahulu semasa mokde buat A level di Kuala Lumpur tidak pula kecoh sebut tentang mokde. Boleh jadi sebab waktu itu Anfaal masih kecil, belum ingat sangat tentang emak saudara kesayangannya.

Sekarang kalau ada sahaja e-mel daripada mokde, mesti Anfaal dan Hanan tidak sabar-sabar hendak melihat kalau ada gambar-gambar mokde yang terbaru. Untung ada kemudahan Internet dan telefon yang canggih pada zaman ini. Yang jauh di mata pun tidak terasa. "Anfaal rindukan mokde.." luah Anfaal. "Hanan pun indukan (rindukan) bokde (mokde) uga (juga)" sambung Hanan pula. Bukan Anfaal dan Hanan saja yang rindukan mokde, mama pun rindukan mokde. Opah apatah lagi. Semoga mokde jadi muslimah yang solehah dan dapat menyumbang kepada agama, bangsa dan negara selepas tamat pengajian di sana kelak.

Pemandangan dari tingkap rumah mokde. Daun-daun pokok sedang berguguran.



Mokde dengan kawan-kawannya. Macam rusa masuk kampung..=)


Thursday, October 15

Jom Kita Beri Sokongan

Pulang dari tempat kerja kelmarin saya singgah di kedai runcit Rahmath, kedai yang tidak asing lagi bagi penduduk di sekitar kawasan tempat tinggal saya ini. Capai sahaja beberapa barang yang sudah ada dalam fikiran. Saya lalu di tepi peti sejuk aiskrim dan tiba-tiba teringat pula hendak belikan sesuatu untuk anak-anak kecil saya yang berdua itu. Hajat hendak membeli aiskrim di situ saya batalkan kerana teringatkan sesuatu. Lantas saya terus saja ke kaunter dan membuat bayaran. Selesai menjemput anak-anak di rumah pengasuh, kami singgah di stokis HPA dan membeli aiskrim di situ. Itulah hal yang saya teringat tadi. "HPA kan ada jual aiskrim!" Aiskrim Toyyibah ini terjamin halal tanpa gelatin. Rasanya pun pada pandangan saya lebih sedap dan lebih berkrim. Hanan kalau makan aiskrim ini susah hendak berhenti. Hendak suap sendiri pula tu. Habis comot satu badan terpalit aiskrim.

Setakat ini cuma perisa vanila saja yang belum kami cuba. Perisa kopi Radix agak pahit sedikit jadi tidak begitu digemari oleh anak-anak. Khabarnya ada perisa baru tetapi masih belum terdapat di stokis di sini lagi. Mesti rasanya lebih sedap. Apabila makan pun tiada rasa ragu-ragu, dapat makan dengan tenang dan tanpa rasa bersalah.


Sedekad dua yang lalu mungkin kita tiada pilihan. Sejak zaman atuk nenek kita lagi jenama-jenama seperti Nestle, Colgate, Pampers, Milo dan Maggi sudah sebati dengan kehidupan seharian. Tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh jenama-jenama ini cukup kuat. Sehinggakan pada zaman sekarang pun kita masih merujuk
ubat gigi sebagai Colgate walaupun sebenarnya ia jenama lain. Begitu juga dengan Pampers. Apa juga jenis lampin pakai buang yang anak-anak pakai pun orang masih menyebut ia sebagai Pampers.

Alhamdulillah sekarang sudah timbul kesedaran bahawa kita perlukan produk yang dikeluarkan oleh orang Islam sendiri. Maka, ramai pengusaha dan usahawan Muslim yang mula mengorak langkah menunaikan fardhu kifayah dengan menghasilkan produk alternatif. HPA salah satu daripadanya. Tahniah kepada mereka dan semoga Allah memberi ganjaran yang baik atas usaha yang dilakukan. Sekarang tidak payah beli Milo atau Nescafe, kita boleh minum koko dan kopi Radix. Lagipun jenama-jenama biasa itu keluaran syarikat Israel. Mesti kita boikot dan elakkan selagi mampu.

Untuk bersugi sudah ada ubat gigi Mukmin yang halal dan tanpa fluorida. Fluorida yang berlebihan sebenarnya boleh mendatangkan mudarat. Cuma masyarakat kita saja yang sudah terbiasa dan terpengaruh dengan iklan televisyen. Saya dapati HPA pun sudah ada keluarkan lampin pakai buang yang boleh menggantikan Pampers dan Huggies (buatan Israel). Pilihan lainnya gunakan cloth diapers moden yang lebih mesra alam dan menjimatkan wang bagi tempoh jangka panjang. Selain HPA ada pelbagai lagi produk jenama Muslim terdapat di pasaran sebagai contohnya Az Zain, Halagel, Hiraq, Mukmin, Adabi, Ramly dan macam-macam lagi.

Pernah saya mendengar orang berkata "Bolehke kita bantu Islam dengan beli produk ni?" Jawapannya tentu saja boleh. Tiada apa yang mustahil dengan izin Allah. Walau sekecil mana pun usaha kita ia tetap dikira menyumbang untuk agama Allah. Memanglah ada sesetengah produk yang lebih mahal berbanding jenama biasa tetapi lama-kelamaan tentu harganya dapat dikurangkan jika permintaan semakin meningkat.

Justeru, kita sebagai pengguna Muslim seharusnya tidak boleh beri alasan lagi yang kita tiada pilihan.
Tambahan pula pada masa kini logo halal sahaja tidak dapat menjamin bahawa produk itu benar-benar halal dan suci. Marilah sama-sama sokong produk keluaran Muslim. Kalau orang Islam sendiri tidak membeli produk keluaran orang Islam bagaimana hendak mengharapkan orang bukan Islam untuk membelinya?

Wednesday, October 14

This is me..who are you?


I got this from a website and found it quite interesting. Eventhough the descriptions from this kind of personality quiz are not necessarily accurate and reliable but some of the points here do describe me perfectly.

You Are Dreamy and Distracted (am I?)

You are very intuitive and wise.
You understand the world better than most people.
You also have a very active imagination.
You often get carried away with your thoughts.
You are prone to a little paranoia and jealousy.
You sometimes go overboard in interpreting signals.
You are well rounded, with a complete perspective on life.
You are solid and dependable.
You are loyal, and people can count on you.
At times, you can be a bit too serious. You tend to put too much pressure on yourself.

You are wild, crazy, and a huge rebel. You're always up to something. (obviously not me..i may say that i am a 'i-heard- and-i-obey' person especially in my organization...haha=)
You have a ton of energy, and most people can't handle you.
You're very intense.
You definitely are a handful, and you're likely to get in trouble. But your kind of trouble is a lot of fun.
You are loving, compassionate, and ruled by your feelings.
You are able to be a foundation for other people... but you still know how to have fun.

Sometimes your emotions weigh you down, but you generally feel free from them.
You are usually the best at everything ... you strive for perfection.
You are confident, authoritative, and aggressive.
You have the classic "Type A" personality. (yeah..i like this one..
don't know what is a classic "type A" personality really means anyway..=)
You tend to be pretty tightly wound. It's easy to get you excited... which can be a good or bad thing.
You have a lot of enthusiasm, but it fades rather quickly.
You don't stick with any one thing for very long.
You have the drive to accomplish a lot in a short amount of time.
Your biggest problem is making sure you finish the projects you start. (this one is very me..i have a few of writing projects that are still pending..too hard to find time to finish them..humm)

You are incredibly wise and perceptive.
You have a lot of life experience.
You are a natural peacemaker, and you are especially good at helping others get along.
But keeping the peace in your own life is not easy.
You see things very differently, and it's hard to get you to budge.
You are truly an original person.
You have amazing ideas, and the power to carry them out.
Success comes rather easily for you... especially in business and academia. (ameen..)
Some people find you to be selfish and a bit overbearing.
You're a strong person.

http://www.blogthings.com/whatsyournameshiddenmeaningquiz/

Monday, October 12

Tidak Cukup Makan atau Terlebih Makan??


Pagi ini ketika saya lalu di hadapan papan kenyataan ada notis dan pengumuman baru lagi. Kebanyakannya berbunyi begini 'Semua staf dan kakitangan dijemput ke Majlis Sambutan Aidilfitri pada....di....pada jam berapa hingga berapa'. Minggu lalu jemputan oleh Peladang diikuti dengan Bank Rakyat, selepas itu beberapa orang individu yang tidak begitu dikenali (boleh jadi kontraktor atau petender kolej) dan di kalangan pensyarah dan kakitangan sendiri turut sama bermurah hati menjemput ke rumah terbuka masing-masing. Ikhwah akhawat juga tidak ketinggalan sama. Tidak kurang juga dengan jemputan ke majlis kenduri kahwin yang meriah di sana sini. Hujung-hujung minggu adalah masa untuk kembara rumah terbuka dan kenduri kahwin. Nampaknya sudah jadi 'trend' sekarang orang kahwin pada bulan Syawal, kiranya 2 dalam 1 - majlis kahwin dan rumah terbuka dalam satu acara. Satu hari sampai 4 atau 5 buah rumah dikunjungi.

Kasihan pada perut kita bukan? Sebulan diberi rehat tetapi selepas itu 'didera' pula.
Kalau selepas pulang dari rumah terbuka ada simptom-simptom sakit perut, loya dan pening kepala itu biasa. Almaklum makan pelbagai jenis menu makanan. Makanan berasid, pedas dan kurang serat. Waktu-waktu begini nasihat daripada yang ahli kena diambilkira. Antara tips yang diberi oleh seorang doktor dan pakar pemakanan semasa ke rumah terbuka ialah makan SATU jenis menu sahaja. (Boleh tahankah godaan menu lain yang sedap-sedap tu?) Minum air masak kosong, jangan minum air manis. Pilih makanan yang berserat seperti lodeh dan buah-buahan. Susah juga hendak ikut tips-tips ini ya..

Ingat semula tujuan rumah terbuka sebenarnya bukan sekadar hendak menjamu selera semata-mata. Yang lebih penting ialah mengeratkan silaturrahim dan merapatkan ukhuwwah. Tidak makan pun tidak mengapa asal dapat memeriahkan majlis. Bolehkah begitu? Tetapi kalau pergi kemudian tidak makan, takut berkecil hati pula tuan rumah. Hendak tidak hendak kenalah jamah sedikit. Makan lagi!

Apabila difikir-fikirkan betapa mewahnya kita di sini sedangkan saudara-saudara kita di Padang sedang kelaparan. Mangsa-mangsa taufan Ketsana menunggu-nunggu bantuan makanan. Warga kebanyakan negara di benua Afrika pula mati kebuluran tidak cukup makanan. Ya Allah, adakah makanan yang banyak ini sebenarnya nikmat ataupun ujian bagi kami? Ampunilah kami ya Allah.


"Ya Tuhan kami, tunjukkilah kami tentang apa yang hak itu adalah yang hak dan apa yang batil itu adalah yang batil agar kami tidak tersesat"

Sunday, October 4

Jom Kita Ke Kebun Opah!


Seronoknya Anfaal dan Hanan dapat melawat ke kebun opah. Ada tanaman seperti kacang panjang, kacang buncis, terung, labu dan pokok cili. Biarpun cuaca petang itu panas terik, iyalah waktu itu baru jam 3 petang namun ia tidak menghalang kami anak-beranak daripada menikmati pemandangan di tepi sungai yang menyegarkan. Bosan sekadar duduk di rumah menonton rancangan sempena Aidilfitri di televisyen. "Panasnya! Rasa macam nak terjun ke dalam sungai aje!" luah saya pada emak. "Mandi sungai memang sedap tapi kalau panas-panas macam ni boleh demam sebab air sungai tu sejuk" beritahu emak. Air sungai agak deras tetapi parasnya tohor (cetek) sahaja. Kalau datang selepas Asar mungkin cuaca lebih redup tetapi kacang buncis perlu dipetik lebih awal kerana lewat petang nanti ada orang yang akan mengambilnya untuk dibawa ke pasar borong di Kuala Lumpur. Saya menolong emak memetik kacang buncis yang sudah matang. Ada juga hasil yang tidak 'menjadi' akibat serangan penyakit. Sebahagian hasil tanaman kacang buncis telahpun dipetik lebih awal oleh salah seorang pekerja Indonesia yang tinggal di pondok kebun itu. Emak sekadar membantu sahaja. Anfaal dan Hanan cuma duduk dengan baba di pondok. Bahang panas terasa seakan menggigit kulit.

Anfaal memanjat tangga buatan menuju ke pondok tempat berteduh.


Opah sedang asyik memetik buncis.

Tanah seluas beberapa ekar ini milik emak saya dan diusahakan oleh seorang rakan secara usahasama. Emak tidak mengenakan sebarang sewa lagi. "Biarlah tanah ni diusahakan daripada terbiar, dapat juga merasa hasilnya" kata emak. Beberapa bulan yang lalu tanah ini cuma dipenuhi semak samun dan belukar tebal. Kalau hendak ke kebun ini tidak boleh menaiki kenderaan biasa. Jalannya tidak berturap, berbatu sungai yang besar dan berlekuk-lekuk boleh merosakkan kereta. Kami datang menaiki Proton Saga emak yang cuma beberapa tahun lebih muda daripada saya. Nampaknya kereta itu sudah jadi kereta kebun dan kenderaan memancing adik lelaki saya sajalah. Emak pula menunggang motorsikal. Bermotorsikal juga mesti pandai mengawal imbangan jika tidak pasti akan terjatuh kerana keadaan jalan yang diterukkan lagi oleh lori mengangkut pasir yang keluar masuk. Memang emak seorang wanita yang serba boleh dan lasak.

Anfaal bermain masak-masak kacang panjang yang sudah tua dan tidak boleh dipasarkan.


Berbakti kepada tanah..inilah hasilnya.

Selepas beberapa lama menemankan opah di kebun. Kami semua berangkat pulang membawa bersama sebakul kacang panjang dan buncis serta beberapa biji labu. "Boleh bawa balik ke Perak nanti. Bawalah lebih untuk sedekah pada jiran-jiran" kata emak.